Followers

Friday, July 31, 2009

RUPANYA ITULAH PELUKAN TERAKHIR SAYA....

Assalamualaikum..
Pagi ini, saya tiba-tiba di himpit rindu. Rindu pada orang-orang yang telah pergi meninggalkan saya. Nenek, Chek, anak saudara dan orang-orang yang pernah saya kenal dan dekat di hati saya. Ingatan saya menular pada sahabat rapat saya, Lin yang telah dijemput pada Febuari lepas. Rindu saya pada Lin sangat mendesah di dada saya. Apa lagi saat Ramadhan semakin hampir. Kami sering keluar bersama-sama berbelanja. Saling menemani untuk memilih pakaian dan keperluan hariraya. Dengan isyarat mata dia akan memahami saya akan mengajaknya keluar begitu juga sebaliknya. Ingatan itu semakin mekar di ingatansaya. Saya lantas membelek-belek folder mencari wajah Lin. Airmata saya menitis saat melihat wajah-wajah segar arwah. Ingatan bersama mengimbau. Seorang insan yang baik. Tidak banyak kerenah. Alangkah amannya dunia persahabatan kalau ramai yang bersikap seperti beliau. Kepergian beliau banyak mengajar saya erti persahabatan dan bagaimana menghargai persahabatan. Saya masih ingat hari-hari terakhir bersama arwah sewaktu dia hanya mampu bercakap beberapa patah sehari sebelum saya ke Kuala Lumpur untuk urusan peribadi. Dia tersenyum memandang ke wajah saya. Bahasa renungannya saya faham. Dia menderita. Saya mengelus pipinya. “Lin…Lin sabar ya..nanti kita jumpa lagi.” Janji saya. Dia mangangguk-angguk lemah. Saya sempat menyapu kesan darah yang mengalir dari bibirnya. Rupa-rupanya itu percakapan terakhir yang mendapat respon darinya. Selepas itu hanya bisikan-bisikan saya pada setiap kali saya di sisinya. Lin mengalami koma. Selepas seminggu koma, Lin meninggalkan saya dan semuanya dengan kenangan-kenangan manis yang tak mungkin terluput dari ingatan saya. Al Fatihah buat Lin…

Saya tak sangka inilah pelukan terakhir saya


Along juga sahabat baik Lin.

Monday, July 27, 2009

Mencelah Pagi

Assalamualaikum...
Salam pagi seindah matahari..
Saya celah-celah masuk sebelum bertolak. Sekejap lagi saya akan bertolak ke Shah Alam untuk satu convensyen berkaitan bidang tekstil. Antara peluang yang sangat-sangat saya tunggu. Dapat bertemu dengan orang-orang hebat dan bertukar pandangan. Selalunya saya menggunakan ruang dan peluang ini untuk menimba sebarapat banyak pengetahuan tentangnya. Dr. Norwani Hj. Nawawi ( Adik Johan Nawawi, ipar Nora ), Pfor. Siti Zainun Ismail, Prof Sulaiman Ghani dan ramai lagi. Dr. Norwani salah seorang pembentang kertaskerja. Dan saya yakin ramai lagi yang akan saya temui. Semalam saya sempat bersembang pendek dgn Dr. Norwani melalui phone, dia ketawa bila saya tanya, program macamana? dengar cerita UITM ditutup sementara dan cuti semester diawalkan? Program ttp proceed...kita jumpa besok. Alhamdulillah...kata hati saya. Semua di tangan TUHAN kan, setiap apa yang terjadi, sakit, sihat, susah, senang....InsyaALLAH...mudahan TUHAN akan memberi ubat penyembuhnya...Dan kita sebagai manusia, berusaha untuk mengelak dan berusaha untuk mengatasinya..salam sayang buat semua.
.
Wassalam

Thursday, July 23, 2009

DI HUJUNG RANTING


DADA SAYA BERGETAR.....

Semalam saya ke kedai buku..saja-saja nengok rak-rak novel. Memantau novel-novel saya...dan novel novel rakan-rakan lain, Street Vandeta yang sama bulan dilahirkan dengan DI HUJUNG RANTING. Kira kembarlah tu..Cuma SV lebih dahulu memasuki pasaran. Ada di semua rak-rak buku di kedai-kedai buku di Kuala Terengganu. Ternyata SV mendapat pilihan remaja...Tahniah penulis Street Vandeta..Dan kini giliran novel saya memasuki pasaran. Terima kasih kepada pengedar.
Saat saya melangkah masuk, saya teruja melihat DI HUJUNG RANTING dah terusun. Saya mendekati DHR yg teratur dari dekat sambil memerhati susunan novel-novel lain. Tiba-tiba datang seorang gadis dan mencapai 3 buah DHR. Dada saya bergetar. Saya memandang ke arahnya. Dia senyum.
”Banyak?” Ujar saya. ”
Kawan kirim.” Jawabnya pendek. ”A
kak dah baca ke?” Tanya gadis itu tiba-tiba. Saya menggeleng-eleng kepala.
”Ok ke?” Tanya saya lagi.
”Best kak!”. Ya ALLAH. Hanya Dia yang tahu. Perasaan saya sebagai orang yang menulisnya..Saya menjadi bukan sebagai seorang INDAH HAIRANI. Bukan untuk menipu tetapi sekadar untuk melihat sejauh mana penilaian dan penerimaan pembaca terhadap DHR.
”Saya menangis membacanya..”beritahunya lagi. Saya merenungnya.
”Betul kak.” Sambungnya. Saya hanya mengangguk sambil tersenyum. Saya Bersyukur kepada TUHAN dan sesungguhnya sewaktu dan sepanjang manuskrip itu disiapkan, saya tidak putus-putus berdoa, agar DHR mendapat tempat di hati pembaca. Saya ingin apa yang saya sampaikan dapat dihayati oleh pembaca. Kepada pembaca yang telah memilih di DHR, saya mengucapkan jutaan terima kasih..terima kasih dan terima kasih.

Wednesday, July 22, 2009

EPILOG JANJI KEKASIH


Puisi ini saya tuliskan pada tahun 1427 Hijrah dan pernah dideklamasikan pada Ramadhan tersebut di Trg. FM, dan sempena Ramadhan yang bakal hadir, saya bawa ke blog untuk dihayati oleh pembaca..



EPILOG JANJI KEKASIH


Telah ku baca warkah cintaNya yang Agung
penuh tartil dan tajwid
syahdunya menyentuh kalbu

Tertulis janjiNya
pada malam yang damai
bulan berwajah penuh
akan datang anugerah terindah
menemui setiap kekasih yang beriktikaf
dan menunggunya dengan rindu yang sarat
pohon-pohon tunduk munajat
laut-laut menjadi tenang
langit kirmizi menukar wajah
pintu-pintunya terbuka luas
akan turun Ar-Ruh menebarkan kepaknya
lalu menggugurkan luk-luk dan merjan
tertebar ke segenap maya
dan syuruk sesudahnya mentari putih tanpa sinar.

Pada saat bulan yang paling sabit
Aku mengusap lagi butir-butir airmata yang gugur
Luk-luk dan merjan tidak jua terpungut olehku.


Bukit Losong, Kuala Terengganu
Ramadhan 1427

Saturday, July 18, 2009

KENAPA IA HARUS BERLAKU?

RAMAI ISTERI YANG TUNTUT CERAI emel yang saya terima mengenengahkan isu yang mungkin bagi setengah orang ia merupakan isu remeh. Nikah lawannya cerai...normallah...semakin tinggi keilmuan, semakin berkembang pembangunan semakin sempit pemikiran... kenapa dan mengapa? cuba kita lihat kenyataan di bawah:

SUATU ketika dahulu di Malaysia, kita sering mendengar bahawa ada pasangan yang bercerai kerana berbeza fahaman politik. Ternyata sekali fenomena itu bukan sahaja melanda negara kita malah di Indonesia.
Hakikat itu terbukti apabila baru-baru ini Ketua Pengarah Pembangunan Masyarakat Islam, Prof. Nasarudin Umar mendedahkan, angka perceraian kerana perbezaan fahaman politik atau parti meningkat berikutan pelaksanaan pilihan raya umum atau Pemilu dan pemilihan ketua daerah di seluruh Indonesia.
Apa yang membimbangkan agensi tersebut ialah kecenderungan kadar perceraian itu yang terus meningkat dari tahun ke tahun.
''Ini harus diperhatikan kerana dapat menganggu keutuhan dan masa depan bangsa,'' katanya.
Oleh itu beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak menjadikan perbezaan fahaman politik antara suami dan isteri sebagai masalah utama sehingga perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian.
Ketara
''Urusan politik adalah urusan sementara, sementara urusan keluarga adalah urusan seumur hidup, bahkan sampai akhirat," katanya.
Selain itu kadar perceraian di Indonesia juga semakin meningkat dan ia semakin ketara sejak tiga tahun kebelakangan ini.
''Setiap tahun ada dua juta perkahwinan, tetapi yang memilukan perceraian bertambah menjadi dua kali ganda, setiap 100 orang yang menikah, 10 pasangannya bercerai dan umumnya mereka yang baru berkahwin," jelasnya.
Apa yang lebih membimbangkan ialah di enam bandar besar di Indonesia seolah-olah wujud satu fenomena baru iaitu tindakan isteri menuntut cerai.

Wednesday, July 8, 2009

SIAPA PEMILIK BAYANG ITU

Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Saya berdiri di anjung rumah kakak saya mengadap ke kawasan perumahan mewah betul-betul di hadapan rumah kakak saya. Tahun lepas, ia hanya sebuah bukit milik Orang Asli. Cerita kakak saya, kadang-kadang kita dapat mendengar jerit tawa anak-anak penghuninya bermain di celah pokok yang merendang. Betapa pesat pembangunan. Saya sendiri kaget. Hutan-hutan hijau bertukar menjadi hutan batu yang mewah. Seperti antara dua darjat. Kalau dulu, dari tempat berdiri yang sama saya merasakan betapa bezanya dengan pondok di atas bukit. Tetapi saat ini, semuanya telah tiada. Semua itu membataskan pandangan saya pada keindahan sebelumnya. Tiada sebarang pohon-pohon yang hijau dan merendang. Saya merenung deretan rumah mewah di hadapan saya. Siapa pemiliknya nanti? Dan siapa pemilik rumah yang telah kelihatan lampu-lampu terpasang. Tiba-tiba mata saya tertancap pada bayang-bayang di balik langsir salah sebuah kamar di tingkap atas rumah yang betul-betul di hadapan saya. Dan satu alunan petikan gitar menyentuh pendengaran saya. Saya memejamkan mata sejenak. Syahdunya. Soalan saya bertukar. Siapa pemilik bayang itu. Siapakah yang memetik gitar itu.
“Seorang lelaki muda. Jarang keluar rumah. Berkurung. Itulah kerjanya. Kadang-kadang seperti bunyi orang menjerit” Beritahu kakak saya tiba-tiba datang dengan menatang secawan kopi panas. Saya merenung wajah kakak saya dengan seribu soalan.
“Hanya sesekali, ada orang datang. Mak dan ayah dia agaknya.” Ujar kakak saya lagi.
“Ada seorang Wak kerja.” Semakin menarik perhatian saya.
Saya terdiam sambil meneguk kopi yang dihulurkan pada saya. Ada kisah, ada plot, ada konflik bergabung dalam benak saya. Tiba-tiba saya tersenyum. Malam itu saya mencoret-coret synopsis. Besok pagi-pagi saya bangkit untuk bertolak ke Kuala Terengganu. Satu nota ditinggalkan di atas meja bersama synopsis saya.
Sedap synopsis. Tulis cepat-cepat. Sorry tak dapat nak bye-bye. Bawak kete elok-elok. Salam pada mak.
Saya tersenyum. Rumah mewah di atas bukit yang membataskan pemandangan saya itu memberi idea pada saya. Alhamdulillah. Sepanjang perjalanan saya banyak mengelamun…

Thursday, July 2, 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Semalam saya ke Perpustakaan Negeri Terengganu bersama Wikunilla ms untuk berbincang tentang program bicara karya anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Grup Teater Asyik. Antara karya yang bakal dibincangkan adalah antologi puisi, Skrip drama dan novel kanak-kanak. Bila sebut novel kanak-kanak, ini bermakna Rindu Berbisik tidak terlibat dalam bicara tersebut. Walaupun pada awalnya Rindu Berbisik tersenarai untuk dibicarakan. Rindu Berbisik sebenarnya dikategorikan novel remaja.Novel sahabat saya Dyza Ainun, Wajah Seorang Diya Hanum telah dipilih. Satu perkembangan yang cukup menarik bila karya terpilih. Tahniah Dyza. Dan sebagai rakan seangkatan, saya juga berharap karya saya juga terpilih untuk dikritik dan dibincangkan. Hasil perbincangan, program tersebut akan diadakan pada 16 Julai nanti. Sayangnya pada tarikh tersebut saya tidak ada di Terengganu…..Apapun kepada Dyza, tahniah!
Wassalam