Followers

Tuesday, November 17, 2009

SETIA


Antara keriukan engsel pintu
dan gesekan telapak kaki
ada segumpal ingatan
yang kau tinggalkan
pada selasar dan beranda usang
saat kita menghitung sarang labah-labah
dan sejumlah mutiara embun di celahnya
lantas antara seringai mentari
kita menghimpunnya di telapak tangan
namun kering di celah jemari
dan kita saling berteleku

Kini keriukan engsel
gesekan telapak kaki
hanyalah desir angin
yang menyusur daun pintu
dan aku tetap setia di sini.

Sunday, November 15, 2009

Rindu menggigit seluruh jiwa saya..


Assalamualaikum..
Hujan datang lagi, dari tempat saya menulis jelas dapat dilihat butir-butir hujan yang jatuh di cermin tingkap. Di langit masih kelihatan gelap. Ini bermakna hujan susulan akan turun lagi. Fikiran juga turut beku. Idea mungkin turut sejuk. Terasa kosong sangat. Untuk menulis sebaik puisipun tak mampu. Ke mana hilang semua yang pernah berlabuh dalam fikiran saya selama ini?. Saya memerhati lagi butir-butir hujan yang jatuh. Ingatan saya berlari mendekat kengangan berdekad. Musim yang basah. Hari pertama ke sekolah. Saya memegang lengan ayah sementara ayah menggalas adik lelaki saya untuk dihantar ke sekolah. Sebelah tangan ayah membimbit sebaldi air untuk mencuci kaki yang dicemari selut. Ayah akan mencuci kaki saya dan adik kemudian menyarungkan sepatu dan stoking. Setelah selesai ayah akan mengangkat kami melepasi pagar. Dalam hujan ayah menunggu sehingga saya dan adik hilang dari pandangannya. Ia berlangsung sehingga musim hujan berhenti dan saya dan adik tidak perlu lagi dicuci kaki dan disarungkan kasut dan stoking. Semua memori itu telah berlalu, namun setiap kali musim-musim hujan datang, saya seakan terdengar nafas ayah. Kini saya melihat butir-butir hujan seperti melihat butir-butir kenangan. Butir-butir kenangan yang sempurna sifatnya. Tanpa sedar terasa panas di sudut mata. Pandangan saya berbalam. Subhanallah…hanya DIA yang mengerti perasaan saya saat ini. Rindu menggigit seluruh jiwa saya. Ya ALLAH…
Kepada semua pembaca, maafkan saya kerana membawa semua ke dunia kesedihan saya. Salam sayang buat semua.

Wednesday, November 11, 2009

SEPI ITU INDAH? SEPI ITU PILU.....

Assalamualaikum..
Saya terjaga pada jam 1.30 pagi tanpa mampu menyambung tidur. Saya bangkit lantas membancuh se mug susu. Menyendiri di ruang tamu sambil mencicipnya. Ya ALLAH sepinya. Kata orang sepi itu indah, malah saya sering meminjamkan ungkapan yang sama bila bercakap. Indah? Saya teringat kata-kata Ann, teman sekerja saya. Katanya SEPI ITU PILU. Saya memejamkan mata saya, menelenjangi ungkapan itu. Ya! Sepi buat saya terkenang banyak hal. Kehilangan, kepergian dan kepulangan ke alam kekal. Subhanallah. Pilu bertukar menjadi negeri dan gementar. Muhasabah seakan berbisik. Apa yang telah dihimpun untuk dibawa pulang dan apa yang bakal ditinggalkan. Teringat saya wajah anak-anak saudara Aidil, Arash, bersama Nabila yang terkebil-terkebil mendengar cerita saya tentang mati dan pembalasan. Harus berbuat baik kepada semua orang dan jangan sesekali lupakan TUHAN. Sembahyang adalah saat kita berbicara dengan TUHAN dan membaca ALQURAN adalah saat TUHAN berbicara dengan kita. Kata-kata itu saya pinjamkan dari radio IKIM yang saya dengan beberapa hari yang lalu. Sebelum bersurai, saya ceritakan kiamat dan kedahsyatan goncangan-goncangannya supaya anak-anak itu mengerti tentang hidup, mati dan hari pembalasan. Pendidikan awal pada saya penting menjadi asas dalam kehidupan mereka. Tiba-tiba Nabila mendekati saya dan menangis.
“Adik sayangkan ummi…adik tak nak ummi mati. Adik janji adik tak nak buat ummi marah lagi” Ungkap Nabila tiba-tiba. Aidil yang berumur 11 tahun memandang saya kemudian tunduk. Saya tahu anak itu turut menangis. Saya tersenyum. Berkesannya cerita-cerita itu kepada jiwa anak-anak. Dan sekarang dalam sepi ini, cerita-cerita saya itu turut menghambat perasaan saya sendiri. Waktu itu pasti datang. Mati itu pasti. Pembalasan juga pasti. Mahasuci ALLAH. DIA memiliki segalanya dan DIA Maha mengetahui.
Kini jam tepat menunjukkan ke angka 4.00. Saya harus tidur sejenak. Ya ALLAH tenangkan jiwa saya dalam sepi ini. Salam sayang buat semua.

Thursday, November 5, 2009

TUNAS CIPTA NOVEMBER 2009

Assalamualaikum..

Saya bergegas ke toko buku setelah diberitahu oleh seorang sutradara pada pertemuan yang tidak disengajakan waktu makan tengahari. Mata saya melilau mencari majalah Tunas Cipta November 2009. Saya tersenyum bila mata saya tertancap pada majalah di hadapan saya.

"Hanya satu tu aje kak." Beritahu gadis pembantu toko raman sambil tersenyum.

"Ya, saya hanya nak satu." Jawab saya berseloroh. Gadis itu tersenyum. Saya dengan tidak sabar membelek-belek dan sebagaimana diberitahu RINDU BERBISIK terpampang di dada majalah. Saya terus memandu pulang. Sesampai di rumah saya membelek dan meneliti nama penulis resensi. Terima kasih Sdri. ZULIANA ZAINOL atas resensi tersebut.

Monday, November 2, 2009

ABJAD..


Kutulis abjad rindu
di pundak mentari
di dada rembulan
biar menyusur bersama fajar
dan gugur bersama sinar
di halaman rumahmu
agar kau bisa mengutip
dan menyusunnya satu persatu
menjadi kosa kata
lalu mengerti
Rinduku
tidak pernah ada sempadan
dan tidak pernah padam

Sunday, November 1, 2009

Sinopsis

RINDU BERBISIK
Sinopsis :
Seperti angin, kadang-kadang rindu itu berbisik”

Rindu Berbisik mengungkapkan tema kemanusiaan yang tebal dalam dua masyarakat dari latar sosial yang berbeza. Cinta dan rindu yang menjadi tonggak kepada penceritaan disulami falsafah yang ringan. Konflik cinta yang terisi dengan kekecewaan antara watak-watak dan kesinambungan harapan hanya melalui rindu yang sentiasa berbisik……….

Setiap manusia punyai perasaan, namun jarang orang mampu menyuarakan perasaan, apatah lagi menghayati perasaan orang lain. Zulaikha, Adam, Idham dan Iskandar adalah antara watak-watak yang mewakili insan-insan lain yang melalui kegetiran dalam perasaan.

Zulaikha seorang gadis sepi, mangsa keporandaan perkahwinan abah dan mama sewaktu kecil. Hidup bergantung kasih dengan nenek dan abang sepupunya Adam seorang anak yatim piatu. Sewaktu di sekolah rendah dia dilarikan mama ke kota kosmopolitan dan tinggal bersama ayah tirinya syed Mukhris dan abang sepupunya Syed Iskandar. Perpisahan itu membenih rindu di hati Zulaikha. Kasih sayang Iskandar abang tirinya, tidak mampu melunturkan rindu Zulaikha kepada Adam, keadaan menjadi lebih parah apabila Iskandar menyambung pelajaran ke negera matahari terbit, Jepun. Sebagai pelarian rindu, Zulaikha menerawang ke ruang-ruang dan pertemuan dengan Rajuna merupakan satu bentuk pelarian resah dan rindu Zulaikha terhadap Adam dan Iskandar. Tawaran jawatan baru di Pantai Timur memberi peluang kepada Zulaikha untuk kembali mengimbau segala kenangan indah bersama Adam. Sewaktu di tempat baru, dalam diam hatinya disapa Idham. Rindu terhadap Adam menenggelamkan insan lain di mata dan hati Zulaikha. Idham dibiarkan sendiri menanggung perasaan cinta yang semakin hari semakin sarat.

ADA YANG TERTINGGAL


Saat kau datang
aku bukakan jendela
lalu kita saling berbicara.

Saat kau pergi
aku tutup jendela
namun
seperti ada yang tertinggal.