Followers

Thursday, December 31, 2009

SAYA MENDAHULUINYA....MAAFKAN SAYA

Assalamualaikum..
Hanya ada beberapa jam lagi, 2009 akan meninggalkan kita. Tidak seperti tahun-tahun lain, pengakhiran tahun ini agak berbeza dirasakan. Langsung tidak teruja menunggu tahun sebagaimana tahun-tahun yang sebelumnya. Saya mula terkenangkan banyak hal. Banyak perkara yang tertangguh dalam hidup saya. Saya merasa waktu itu sangat pantas berlari. Tidak terkejar oleh saya. Jika ditanya pada saya soal azam, saya pantas menjawab. Biasa-biasa aje. Tidak ada apa azam yang dapat saya perkatakan. Mati ke, semua cita-cita saya? Soalan yang saya sendiri sukar untuk menjawabnya. Saya memicit kepala saya yang tidak sakit. Apakah sebenarnya yang saya inginkan dalam hidup saya, karier saya sebagai seorang penjawat awam? Atau karier saya sebagai seorang penulis? Siang tadi saya tergerak untuk menghubungi kawan sekolej saya Zha. Teman yang tidak akrab namun sentiasa ada di ingatan saya. Dia yang sering menceriakan kelas, bergurau namun saya bukanlah sahabat yang dipedulikannya.
Pada penutup 2008, menjelang 2009 yang lalu Zha menghubungi saya. Jauh dari Riyad. Saya agak terkejut dengan panggilan dari jauh itu.
“Awak masih ingat sy emi?” Soalnya kendengaran sayup.
“Ingat. Suara awak tak berubah?”
“Masih ingat awak pada suara saya..kita tak akrab sangat.”
“ Kita tak pernah bergaduh. Dan saya tak melupakan sahabat saya, termasuk awak,” Jawab saya sambil tersenyum sendiri.
“Jauh awak menghilang ya Zha.” Tambah saya menutup rasa hiba yang mula menyerkup hati saya. Wajah sahabat saya, anak Batu Pahat itu jelas di ingatannya saya. Terkenang saya bagaimana Zha membaling cendawan kayu sewaktu kami sedang di tepi hutan untuk subjek Land survey.
“Di situ bumi dipijak, di situ langit dijunjung, mi.” Ujarnya di hujung talian. Kami bercakap panjang, nama-nama sahabat bermain di bibir kami.
“ Selamat menyambut tahun baru 2009, emi.” Ungkapnya.
“Saya doakan awak bahagia seisi keluarga.” Itulah penutup percakapan kami.
Dan hari ini saat saya mendahului sebelum dia sempat menghubungi saya, pesanan yang sama, doa yang sama, cuma ungkapan saya sedikit berbeza.
“Andaikata saya yg mendahului awak, Zha, tolong maafkan segala2 kesilapan saya sepanjang kita kenal dan tolong sampaikan hal yang sama pada kawan2 kita.” Ucap saya tenang namun jelas.
Zha terdiam sesaat.
“Awak, kenapa awak cakap macam tu?” Soalnya dengan suara tersekat. Baru saya sedar sahabat saya itu sangat sensitive.
“Boleh saya tanya sikit.” Tambahnya sebelum sempat saya menjawab.
“Tanyalah.” Jawab saya ringkas.
“Ada rahsiakan sesuatu dari saya?” Soalnya.
“Maksud awak?”
“Awak..awak ada masalah kesihatan ke..atau penyakit lain yang disembunyikan selama ni?” Owh…saya tersenyum. Baru saya dapat membaca apa yang bermain di fikirannya.
“Ajal maut di tangan Tuhan Zha. Besok kita tidak tahu, samada kita masih bernafas atau tidak lagi. Cuba kita tengok, daun yang gugur. Bukan hanya daun kering yang gugur, malah daun yang masih hijau turut gugur.” Jawab saya dalam perasaan sedikit terharu. Seorang sahabat yang tidak akrab ttp sentiasa ada dalam ingatan, masih tidak mampu menerima kehilangan sedangkan sedia memaklumi suatu hati kita akan kehilangan juga.
“Emi, saya doakan agar Emi sentiasa sihat dan bahagia di samping keluarga tercinta dan berjaya dalam dunia penulisan.” Saya tidak mampu mengulas kata-katanya selain dari ucapan terima kasih dan
“SELAMAT MENYAMBUT TAHUN 2010”
Dan itulah ucapan penutup percakapan kami, saya mendahuluinya, seperti yang dia lakukan pada saya sewaktu menyambut tahun 2009.
Di sini, ucapan yang sama Ndah hulurkan juga kepada pembaca budiman. Salam maaf dan sayang dari Indah.
Wassalam.

Wednesday, December 23, 2009

TUHAN PUN TAHU..


Assalamualaikum..
Saya sengaja mengambil 3 hari untuk berlama di rumah, dengan berusaha untuk tidak memikirkan satu apapun tentang kerja dan tugas. Sekalipun sangat sukar, bila bayangan tugas sentiasa ada dalam kepala, namun ia tetap memberi satu ketenangan yang sudah lama saya tidak lalui. Bersendirian dengan sekali-sekala mendengar kicau burung di sekeliling. Suasana yang redup.Ya ALLAH, sangat indah. Kalau mampu, saya nak menahan waktu bergerak, biar ia terus begini. Mana mungkin! Waktu tetap bergerak. Sangat pantas. Dan malam saya tidur sangat lewat hampir menjejak ke 3.00 pagi. Waktu-waktu malam memberi banyak ilham dan malam tadi saya diberi sesuatu yg sangat bererti. Sangat indah. Saya katakan TUHANpun tahu. Saya meluahkannya dan terus merakam di hati saya sebagai sebahagian daripada ilham. Dan sepanjang saya memenuhi waktu, saya seakan menyiap sebuah manuskrip. Dan saya merasa puas. Dan pagi ini, sewaktu bangkit saya semakin bersemangat untuk melahirkan sebuah lagi novel berdasarkan ilham semalam. Dan sudah tentu keindahan itu akan saya kongsikan bersama semua pembaca. Tunggu kehadirannya nanti.
Salam sayang dari Indah buat semua.

Monday, December 21, 2009

VILLA CINTA .....



Assalamualaikum..
Sebaik sahaja menghantar manuskrip terbaru ke penerbit, saya seperti ’merdeka’. Lapang dada. Saya boleh berlama tanpa memikirkan penulisan yang sering tersangkut kerana kekeringan ilham. Saya mula ada ruang untuk membelek buku rakan-rakan penulis dan sekali sekala bersembang dengan mereka melalui YM atau telefon. Malah saya boleh berlama-lama termenung. Saat begini buat saya rindu pada kenangan-kenangan yang pernah saya tinggalkan lebih-lebih pada pahit manis sepanjang menyiapkan novel-novel saya sebelumnya. Pada saya novel paling romantis dan menyentuh perasaan adalah RINDU BERBISIK.
Watak-watak ADAM, IDHAM, ISKANDAR dan ZULAIKHA buat saya kembali membelek-beleknya bila saya rindu. Ada sesuatu yang sangat bermakna dalam novel itu. Sementara DI HUJUNG RANTING, pada saya DHR agak mengigit perasaan, dan saya banyak menerima kritikan dan kemarahan dari beberapa pembaca.
< Pernah saya dihubungi seorang lelaki dengan marah-marah kerana menghasilkan novel sebegitu rupa. Saya hanya terdiam dan membiarkan lelaki itu melepaskan segala ketidakpuasan hatinya. Kalaulah dia menghayatinya secara mendalam, dia dapat melihat bagaimana saya mengangkat darjat seorang suami sebegitu rupa supaya adil sebagaimana saya meletak watak MAWARDAH. Sebagai isteri yang sentiasa mengalah dan pasrah. Maafkan saya. dan terima kasih kerana sudi menghayati DHR.
Namun pengalaman menulis HANYA SEBATAS INI sangat meninggalkan kesan mendalam dalam diri saya. Imaginasi saya sangat kuat sehingga pada suatu masa saya seakan berada di sebuah daerah pergunungan Indonesia. Bunyi air yang mengalir dicelah-celah batu kecil seakan kedengaran di telinga saya dan kejernihan yang menampakkan dasar kali. Kewujudan VILLA CINTA adalah diilhamkan daripada sebuah villa di tepi pantai Teluk Ketapang yang saya kunjungi setiap hujung minggu.

Semua itu membuat saya terkenangkan DANI RAMDANI, watak utama yang menggerakkan seluruh cerita dalam HSI. Semalam saya kembali ke Teluk Ketapang dan melihat ’Villa Cinta’ itu. Saya berlama di pantai berhadapan villa tersebut dan mengenangkan bagaimana NUR QASEH menangis dan HARIS terhiris dengan dengan kemelut perasaan bersama NUR QASEH. Mungkin tidak semua orang seperti saya namun itulah hakikat bila saya menghasil sesebuah penulisan novel. Dan saya sangat ingin berkongsi dengan semua orang. Salam sayang dari Ndah buat semua.

Thursday, December 17, 2009

DENDANG ANAK dan “Sulalatus Salatin”...






Assalamualaikum buat semua,
Pertama kali saya menyaksikan persembahan kumpulan ini pada Festival Gamelan Sedunia pada tahun 2008. Persembahan mereka memukau perhatian lebih-lebih lagi kumpulan berada di barisan hadapan antara kumpulan gamelan dari berbagai pelusuk dunia. Saya yang kebetulan terlibat secara langsung dalam program itu, mengambil tempat di barisan depan dan tidak berganjak dari tempat duduk sehingga persembahan itu selesai. Saya teruja dengan muzik dan lagu-lagu yang dibawa, apa yang unik adalah peralatan muzik yang mereka gunakan. Dan pada saya yang bukan hanya mendengar, menghayati, saya juga seorang pemerhati semua aspek termasuk costume mereka. Sangat menarik dan sesuai dengan konsep muzik mereka bila mereka memilih hitam putih sebagai asas costumes kumpulan mereka.
Semalam saya sempat bercakap dengan saudara Izam ( Izamir ) selaku pengurus produksi. Menurut beliau, mereka banyak menerima jemputan VIP, VVIP termasuk dari Istana yang juga pernah saya saksikan di Vistana Hotel pada Malam Gema Irama Inderapura bersama jemputan diRaja Pahang. Saya masih ingat, dewan menjadi syahdu sepanjang mereka mendendang lagu-lagu mereka.
Menurut sdr. Izam, nama “Dendang Anak” adalah manifestasi daripada buku sejarah Melayu lama “Sulalatus Salatin”.
Antara alat muzik yang terlibat adalah Keyboard/Vocal Classical Guitar, Bass Guitar,Bamboo Flute,Percussion/Rebana, Percussion/Gendang Sund, Rebana/Gendang Silat,Percussion/Rebana
Percussion/Jidur, Gong. Apa yang menarik mereka mempunyai peminat mereka tersendiri dan pada setiap persembahan ‘fans’ mereka akan sama-sama datang memberi sokongan yang padu. Tahniah buat Kumpulan Dendang Anak’ Semuga anda semua sukses dan mampu memberi kesan positif pada anak-anak muda.

Wednesday, December 16, 2009

BERNALAM SAKAN DI LAMBO AMBA- pameran solo sifu

Assalamualaikum,
Saya baru selesai mesyuarat ahli jawatankuasa Grup Teater Asyik ( GTA ), antara yang dibincangkan adalah program PAMERAN DEKLAMAPUISI dengan jodol BERNALAM SAKAN DI LAMBO AMBA. Deklamapuisi terbit daripada Pameran dan Deklamasi Puisi oleh Marzuki Ali, dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, Pulau Pinang. Apa yang menarik adalah jodolnya, Bernalam bermaksud Bersajak dalam Bahsa melayu Lama, Sakan bahasa daerah Terengganu bermaksud banyak, Lambo bermaksud sebuah selasar kecil selepas anak tangga sementara amba adalah hamba. Dalam kata mudahnya MARI BERAMAI-RAMAI BERSAJAK DI SELASAR KITA. Hamba ganti diri pertama masyarakat Terengganu pada zaman dahulu. Pameran secara solo ini bakal berlangsung selama 3 bulan. Sebagai salah seorang warga GTA, sudah tentu saya salah seorang gembira dan menyokong penuh sdr sifu saya, MARZUKI ALI yang membawa bersama 43 puisi karya-karya beliau. BERNALAM SAKAN DI LAMBO AMBA akan diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu 15 Disember 2009 hingga 15 Mac 2010. Peminat-peminat Marzuki Ali dan GTA, dijemput hadir dan sama-sama menyaksi dan menikmati karya beliau.
Wassalam.

Monday, December 14, 2009

SEBUAH KEBERANGKATAN

Telah gugur sehelai daun
yang tertulis namamu
pada mentari yang suam
dalam lembut angin semilir
seperti yang dijanji
ketika engkau dihantar ke sini
akan kembali dijemput
waktu tidak terlewat
tidak juga tercepat
walau sesaat.

Lalu pada senja yang merah
kami hantarkan kalam Tuhan mengiringi
keberangkatan pulangmu
menemani malam pertamamu
dalam kapan pengantin
dan melangirkan aroma kasturi
pada dinding kamar
dan pada dedaun kemboja
kami tinggalkan salam wangi.

Sunday, December 13, 2009

NONG SAKTI, MUDA DI AWAN MEMBAWA SAYA KE DUSUN RENDAH SEKEBUN BUNGA...akan kemanakah nanti kesenian ini?

Assalamualaikum…

Sehari suntuk saya bersama krew etnologi mengendali program Warna-warni Terengganu 2009 yang kali ini membawa persembahan Kebudayaan Daerah Dungun dan Setiu.

Saya teruja melihat pergerakan penari-penari yang diiringi lagu Anak Burung Baniong oleh Pn. Wan Nursaidi atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Zah. Gemersik suara Kak Zah seakan bersatu dengan gerak tari dan gesekan Anak Umban. Alangkah indahnya seni tradisi ini...desis saya. Sesekali tanpa saya sedari bahu saya ikut bergerak-gerak mengikut irama di pentas. Namun roma saya agak meremang saat tarian Awang Gila Kasim dipersembahkan, teruja melihat gerakan penarinya yang mengikut rentak bunyi paluan gong dan gendang sambil mengelilingi pohon Saba. Kalau boleh saya tidak ingin membiarkan tarian itu berhenti secepat itu. Aduhai..agaknya dalam tubuh saya turut mengalir darah seni tradisi itu. Saya tersenyum sendiri. Sehabis tarian itu dan saya mengumumkan kepada pengunjung sedikit sebanyak mengenai kumpulan itu, saya segera menarik tangan Kak Zah ke meja saya. Saya ingin menyoroti apa itu Saba dan saya ingin menggali sejarah kesenian itu sendiri sehingga Pak Ngah dan Siso turut menjejak Kak Zah. Itu belum lagi, jika Noraniza Idris berkesempatan menghayatinya. Mungkin akan lahir lagu baru berasaskan nyanyian dalam tarian tersebut. Sempat saya menyoal Kak Zah tentang hak cipta. Kak Zah hanya tersenyum. Saya tak faham maksud senyuman Kak Zah. Keisitmewaan Kak Zah mencipta lirik dan lagu sehingga terlahir Anak Tedung, Anak Udang, Awang Gila Kassim, Anak Burung Baniong dan sebagainya. Terfikir saya, bagaimana nanti jika Kak Zah tiada? Siapa pelapis kesenian ini. Selesai meninterview Kak Zah, saya melakar bentuk pakaian penari-penarinya dan dalam masa yang sama bibir saya menyebut-nyebut Abang Paduan, Nong Sakti, Dusun Rendah Sekebun Bunga, Saba Renik Saba Berjunjung juga Muda di Awan. Sangat menarik. Saya berbisik pada diri saya, saya tak akan biarkan ia hilang. Kak Zah akan saya temui untuk penyelidikan secara khusus. Sekurang-kurangnya, dapat membantu candidate yang memerlukannya. Akan saya usahakan juga untuk entry di sini lirik lagu tersebut.

Salam sayang dan hormat dari Ndah.

Monday, December 7, 2009

KESIAN LAURA!


Assalamualaikum
Saya tersenyum melihat seekor anak kura-kura di dalam tabung milik anak saudara saya Iyyin. Sekian lama saya tidak melihat binatang itu apa lagi bersaiz sekecil itu. Sangat cantik dalam pandangan mata saya. Percaya atau tidak, kura-kura adalah binatang kesukaan saya, malah melebihi kesukaan saya pada ‘Kembang’ kuching peliharaan saya. Kalaulah si Kembang itu mampu bersuara sudah pasti dia meluah rasa kurang senang melihat bagaimana asyiknya saya membelek dan merenung si kecil kura-kura itu. Sehingga hari ini saya sendiri tidak dapat menjawab kenapa saya begitu gemarkan binatang bercengkerang seperti topi combat itu. Atau mungkin kerana binatang itu sangat pemalu dan selalu menyorok di bawah 'topi'nya.
Semua ahli keluarga memahami kesukaan saya. Malah mereka akan membawa pulang untuk saya sekiranya mereka terjumpa binatang itu di jalan. Dan saya sendiri, pernah memberhentikan kenderaan apabila melihat binatang kesayangan saya itu melintas jalan. Mahu saya tidak dimarahi, menunggu kura-kura melintas jalan sedangkan di belakang saya ada yang menunggu. Kita nak menunggu kura-kura melintas jalan, Sedangkan Arnab sempat tertidur menunggu kura-kura. Saya tiba-tiba merenung Iyyin yang memasukkan tangannya ke dalam tabung. Gadis kecil itu memandang ke arah saya.
“Namanya LAURA.” Beritahunya tiba-tiba. Saya tergelak. Sah! Pengaruh sitcom Indonesia menular dalam diri anak saudara saya. Siapa tak tahu, Upik, Abu & Laura.
Alahai……terkenang saya ungkapan " Oh my God!! yang sering meniti di bibir Laura dan menjadi ikutan anak-anak kita. Apa akan jadi kalau pengaruh ini semakin menular??? Mari kita fikirkan.
Saya kembali merenung LAURA di dalam balang di tangan anak kecil itu. Kesian Laura!
Salam sayang buat semua dari Ndah.

Thursday, December 3, 2009

MIMPI YANG TERCICIR

Sekeping mural kenangan
yang kugantung di dinding
terbiar dimamah waktu

Saat rindu meranum
aku kembali mengusapnya
sambil mengutip mimpi
yang tercicir di lantai

Sewaktu melangkah pergi
namamu kusebut berkali-kali.