Followers

Sunday, January 31, 2010

Bilakah saya akan kembali...


Assalamualaikum...
Telah lama saya tidak mengambil peluang untuk berada di dada pantai pada waktu-waktu malam, melihat bulat wajah rembulan atau merasai elus angin dan sesekali menghirup aroma asin air laut. Rindu saya pada suasana indah itu. Kalau selama ini saya hanya menguak daun jendela dan berlama sambil melihat keindahan anugerah TUHAN itu dengan penuh khusyuk sekadar dari jendela. Namun keindahan tidak sama yang saya rasakan sewaktu berdiri di dada pantai. Dan saya besyukur kerana saya dilahirkan di bumi yang sangat menarik ini dengan hamparan pantai yang mengunjur. Malam tadi saya mengambil peluang untuk menghayati suasana yang indah itu, tetapi bukan di pantai tempat biasa menghabiskan waktu-waktu damai saya, tetapi kali ini saya mengambil peluang ke Dataran Shah Bandar, taman yang berdepan dengan muara sungai dengan laut yang damai. Sewaktu saya melangkah keluar dari kenderaan, saya terus mendonggak dan melihat wajah bulan di celah daun rhu. Indahnya suasana yang tidak tergambar dengan kata-kata. Saya memimpin Nabila dan melangkah ke dataran. Semalam saya terima perkabaran Gieeka dan rakan-rakan akan kembali membuat persembahan di sini, dan terkebetulan dengannya juga, saya mengambil peluang untuk berada di dataran ini. Sambil mendengar alunan muzik dan suara Kanda Hasnor, saya turut menikmati dingin elusan angin pantai. Kalau tidak kerana saya Nabila bersama saya, sudah tentu saya akan lebih berlama di dataran. Saya meninggal Dataran Syah Bandar setelah hanya sempat mendengar 3 persembahan. Namun apapun saya tetap puas dengan segalanya. Dan sepanjang memandu pulang saya kembali memutarkan lagu-lagu Abiet G Ade sementara Nabila telah lena di belakang. Dan saya tidak pasti bilakah saya akan kembali menikmati keindahan2 seperti itu.
Salam sayang buat semua pembaca dan pengunjung

Tuesday, January 26, 2010

SEJAMBAK RINDU DAN GARIS-GARIS LUKA


Aku menunggumu
sambil menyusuri pantai
mengutip kelopak ingatan yang gugur
antara malam yang kian tua
dan dinihari yang semakin basah
lalu kuhitung mimpi yang ranum

Di celah debur ombak
dan desir angin
aku mengutip bait-bait puisi
yang kau tuliskan
dan syair-syair sufi
yang kau senandungkan sepanjang malam
pada pertemuan itu

ketika aku terlena
kau berangkat meninggalkan
sejambak rindu
dan luka di dadaku

Mentari merah yang menyapa sesudahnya
tidak lagi tersenyum.

Monday, January 25, 2010

Saya melihat mata along berkaca...saya tahu along menangis.


Assalamualaikum,
Ketika saya menulis entri ini, suasana sangat sepi. Kedengaran hanya suara-suara cengkerik malam, seakan syair-syair rindu melatari waktu. Saya tidak mampu melelapkan mata sekalipun keletihan saya bermalam di hospital masih belum berbayar. Ingatan saya berlegar, wajah anak saudara saya dari Kota Damansara yang siang tadi kembali memenuhi benak. Pertanyaan abang long tentang mati membuat saya tergamam sesaat. Cerita tentang mati juga meremang roma saya.
“Pernah mimpi mati?” Soalan pertama along. Saya mengeleng kepala sebagai jawapan untuk soalan itu.
“ Along pernah bermimpi, along mati.” Anak saudara saya memulakan ceritanya. Pada saya mimpi tentang mati adalah normal. Saya hanya mengangguk-angguk tanpa ada segala makna anggukan itu.
“Waktu itu along nampak semua sanak saudara berkumpul I rumah along, semua duduk di sebelah jasad along yang terbaring. Along melihat dengan jelas mereka memandikan along, mengkapankan along dan semua proses untuk kematian along disempurnakan. Tidak ada seorangpun yang bersedih atas kematian along. Masa along hati along seakata beranya, jahat sangatkah aku sehingga kematian aku tidak sedikitpun menyedihkan orang?
Persiapas seterusnya hinggalah along dibawa ke tanah perkuburan.” Sampai di situ along terhenti dan merenung saya sambil menunjukkan lengannya yang mula berbiji dan meremang.
“Tahu apa yang along nampak lagi?” Soalnya pada saya. Sekali lagi mengeleng kepala tanpa rasa sabar untuk mengetahui apa yang dilalui anaksaudara saya selepas itu.
“Mereka menurunkan along ke dalam liang. lahad, mereka betulkan kedudukan along sewaktu mereka menutup sekeping papan dan semuanya menjadi semakin gelap. Hanya TUHAN yang tahu ketakutan along, tiba-tiba along terjaga. Along mengigil seluruh badan along berpeluh. Along menangis tersedu pada malam yang sangat sepi. Waktu itu along bersyukur kepada ALLAH bahawa along masih hidup, namun hanya itu yang along rasakan, sedangkan tidak bertindak untuk bangun malam untuk sekurang-kurangnya sembahyang malam dan keinsafan along waktu itu hanya setakat itu.
Cerita along tidak terhenti di situ. Pengalaman ajaib yang dilalui selepas mimpi itu membuat mimpi ngeri itu memberi makna yang mendalam dalam diri anak saudara saya itu. Pada satu senja selepas itu, dia mengalami satu kejadian yang lebih anih.
“ Perut along tiba-tiba memulas, along berlari-lari ke bilik di tempat kerja along, anihnya semua deretan tandas berpenghuni. Tidak pernah berlaku selama ini. Hanya satu tandas yang tidak digunakan, sebuah tandas surau yang jauh dari tempat kerja along. Along terus menyelesaikannya. Untuk pengetahuan, sepanjang along berkerja, along tidak pernah solat di surau tersebut, malah solatpun kerap terabai. Namun pada hari itu, sangat anih. Along teringin sangat untuk solat, along terus mengambil wuduk, dan sewaktu along memandang ke dalam surau, tidak ada seorang pun di dalamnya, namun apa yang along nampak adalah satu cahaya putih yang sangat terang memenuhi surau di depannya itu, sukar untuk along ceritakan. Along terus melangkah masuk dan bersolat. Along tidak tahu berapa lama along bersolat dalam keadaan along lama meninggalkannya, sewaktu along memberi salam terakhir, along tersentak melihat ramai para jemaah lain di belakang along.” Along berhenti sejenak.
“Sejak itu itu satu perubahan yang sangat ketara pada cara hidup along, along tidak lagi berlengah untuk menunaikan solat apa yang lebih memberi erti lagi, along akan menggigil setiap kali along melengah waktu.” Along menamatkan ceritanya. . Saya masih ingat sewaktu di sekolah rendah, along sering menjadi imam dan bilal pada waktu-waktu solat di sekolah. Namun pada meningkat remaja, along berhijrah ke kota cosmopolitan. Dan pada saya penghijrahan itu banyak merubah along dan identity sewaktu zaman awal remaja. Dan peristiwa yang dilalui along saya anggapkan sebagai nurhidayah ALLAH kepadanya untuk menjadi dirinya yang sebenarnya.
“Along, along tahu tak? Along antara hamba yang bertuah. Apa yang along lalui dan along nampak adalah cahaya Hidayah ALLAH pada Along. Jarang dilalui oleh orang lain” Ungkap saya sambil memegang lengan along dengan penuh rasa bersyukur. Saya melihat mata along berkaca. Saya tidak tahu apa yang menigisi kotak fikiran along saat itu. Namun pada saya pengalaman along banyak membuat saya berfikir, tentang diri, kehidupan dan kematian. Mati itu wajib.
Kepada semua pembaca, salam sayang dari Indah, Mudahan apa yang Indah rasa turut dirasai oleh pembaca entri ini.Wassalah.

Sunday, January 17, 2010

MENELANJANGI HATI....

Assalamualaikum...
Musim demam melanda lagi. Tidak terkecuali ahli keluarga saya. Dua hari lepas, Nabill, kini emak pula dilanda demam. Semalam saya bawak mak ke kelinik bila jam 5.00pagi, mak menggigil kesejukan sekalipun tidurnya beralas tilam sauna. Dalam mengejar waktu untuk menghadiri beberapa sesi perbincangan, saya tetap sabar menunggu giliran untuk berjumpa doktor. Waktu, pada saat menunggu sangat lambat bergerak. Kegelisahan menunggu saya sembunyikan dari mak. Sebaik sahaja selesai, saya memandu agak menggila ke tempat kerja. 15 minit! Alhamdulillah saya masih selamat, tetapi agak tersumbat telinga, bila pulang pada petangnya saya ditegur.

”Macam ribut memandu..ofis tak lari...” Saya hanya tersenyum bila diperli.

Malam tadi saya agak senang hati melihat perkembangan mak. Badan sejuk dan kelihatan normal. Hilang risau saya sejenak. Tetapi jam 4.00 pagi, tadi saya dikejutkan, mak kembali menggigil. Saya bangkit dan memasang tilam sauna untuk memanaskan kesejukannya. Saya tidur di sebelah mak sambil memeluk mak sekemas-kemasnya. Lama saya tidak tidur di bersama mak sebegitu rupa. Teringat saya masa silam saya. Kata mak, sayalah anak yang paling manja dan susah diurus bila saya demam atau tidak sedap badan. Malah hingga ke saat inipun, saya masih lagi dianggap demikian. Namun saya tetap menolak anggapan itu.

Pagi tadi keadaan mak sedikit berubah namun agak lemah. Saya gelisah. Kerja banyak perlu dibuat. Ambil cuti dan urus mak atau ke ofis urus kerja. Fikiran saya mundar-mandir mencari keputusan. Tiba-tiba mak bersuara. Pergilah kerja, tinggalkan mak di rumah. Tak apa. Aduhai....Saya mengambil keputusan untuk ke pejabat. Sepanjang perjalanan saya seperti menyesal. Saya pentingkan tugas dari keluarga dan mak. Saya meneliti satu demi satu, selama saya bertugas. Banyak sekali yang saya korbankan. Saya melebihi tugas melebihi kepentingan peribadi. Malah saat inipun saya masih di pejabat sedangkan fikiran bercelaru mengenangkan mak di rumah. Saya mula mengenang dua kakak dan dua adik lelaki. Kalaulah dua kakak saya tinggal di kampung, saya tidak sesukar ini. Sekurang-kurangnya kami boleh berbagi masalah. Sorang adik lelaki bongsu juga berhijrah. Yang tinggal berdekatan mak hanya saya dan adik lelaki. Namun, pekakah anak lelaki tentang ibu? Itu persoalan yang bermain di benak saya. Subhanallah...setiap lelaki harus menelanjangi hati dan menghitung jumlah kasihnya pada ibu. Bahagianya hidup di dunia ini tanpa luka di hati ibu.

Salam sayang buat semua dari Indah.

TETAMU REMBULAN



Saat beburung senja pulang ke sarang
unggas-unggas malam bertasbih
embun mula menimpa ilalang
kau mengetuk daun pintu
dan berlama jendela
kau lukiskan wajah rembulan
di pucuk cemara
sambil mensyairkan rindu

waktupun mulai cemburu

Sebelum melangkah pergi
kau gantung wajah rembulan
pada dinding-dinding
dan kau untai syair cinta mewangi
menjadi tenda kamarku
Agar bisa kucium aromanya.
pada setiap datangnya pagi

Saturday, January 16, 2010

Villa Cinta ; Saya tidak akan kemari lagi..





Assalamualaikum..
Saya kembali mendekatinya, sebuah villa yang saya namakan Villa Cinta setelah dua tahun meninggalkannya.
Villa yang mengadap laut itu kelihatan bersendiri. Berlatar belakang pohon-pohon yang menjadi semak dan di hadapan hamparan pantai. Saya berdiri di hadapan villa merenung setiap sudut. Terasa sangat terasing dan menjauh. Dua tahun yang lalu, saban minggu saya ke sini melihat pasir putih di halamannya, mendengar debur ombak sambil memerhatikan anak-anak bermain di dada pantai.
Di sini saya mengadap laut dan mengumpul ilham sepanjang menyiapkan HANYA SEBATAS INI. Saya seperti melihat Puteri dan Yuyun berlarian di gigi ombak. Saya seperti juga merasai kesedihan Haris sedang memerhatikan Nur Qaseh dari jauh yang berdiri di gigi air mengadap mentari yang sedang menjengah dada laut. Kegelisahan Haris mendengar percakapan Nur Qaseh dengan Dani Ramdani sehingga tertidur di luar pintu. Semuanya mengingatkan saya pada watak-watak dalam HSI.
Namun villa di depan saya hari ini bukan lagi seperti dahulu. Tidak ada lagi pasir yang memutih di halamannya, yang ada hanyalah rumput hijau dengan daun-daun kering memenuhinya. Sepohon cempaka berdiri dengan ranting dan daun2 yanghapir gugur.
Saya meninggalkan villa itu dengan rasa sayu. Saya tidak akan kemari lagi tidak ada apa-apa lagi untuk dikenang.
Salam sayang buat semua pembaca blog dan karya-karya indah.
Wassalam.

Friday, January 15, 2010

SEDIKIT NAMUN TETAP BERMAKNA

Assalamualaikum…
Jam menunjukkan tepat ke angka 3,00 pagi. Saya masih belum mampu melelapkan mata sekalipun badan saya sangat letih. Sakit kepala masih belum reda. Siang tadi saya bersama Nabila ke Klinik. Petang semalam sepulang dari pejabat, badan Nabila panas. Saya mula risau, kepala saya ikut sakit. Kebetulan berjumpa doktor terus saya ikut membuat pemerikasaan selepas urusan pemeriksaan Nabila selesai. Sebelah bahu kiri saya lenguh-lenguh. Sebeban ubat yang saya bawa pulang dengan membawa bersama pesanan doctor supaya saya banyak rehat. Saya hanya tersenyum. Teruk ke tugas saya selama ini? Sepanjang perjalanan pulang saya tercari-cari jawaban kepada persoalan itu. Saya dikatakan tidak cukup rehat. Bila saya fikir-fikirkan, saya akui, saya tidak cukup rehat dan tidur. Dan dinihari ini membuktikan saya masih di depan laptop dengan terkial-kial mengumpul segenap idea untuk novel terbaru saya. Novel yang agak berat sebaris dengan novel HANYA SEBATAS INI. Kata-kata seorang INSAN saya jadikan sebagai pendorong saya dalam menyiapkan manuskrip baru ini.
“Garaplah sebaik dan seindah mungkin Indah. Indah mampu. Percayalah.” kata insan itu menjadi perangsang dalam menyiapkan manuskrip ini.
“Terima kasih” Jawab saya ringkas. Bahagianya saya dikelilingi orang-orang yang mengambil tentang berat tentang saya dan dunia saya. Kenapa insan yang selalu memberi dorongan saya , terimakasih banyak-banyak atas segalanya, walaupun hanya sedikit namun ia tetap bermakna.
Kepada semua pembaca, Ndah ucapkan terima kasih kerana sudi singgah dan menghayati setiap coretan saya.
Wassalam.

Tuesday, January 12, 2010

KUTULISKAN PUISI INI BUAT MU



Kutuliskan puisi ini buatmu
pada suatu malam yang sangat diam
bersaksikan rembulan
gemerlapan bintang-bintang
Saat embun mulai gugur menimpa jemari
dan kartu yang mulai basah
Pena ku menari
Menyusun kalimat yang tidak bersuara

Dan kulukiskan senyummu
dari bening kolam matamu
saat engkau merenungku
dan membaca setiap
abjad-abjad rindu di dadaku
pertemuan itu menjadi syahdu

Kutuliskan puisi ini buatmu
tanpa rasa jemu.

Sunday, January 10, 2010

DAMAINYA MENYUSURI HATI....


Assalamualaikum...
Pagi ini sangat indah. Menyusuri jalan dan menghayati keindahan sambil menyedut udara pagi. Melihat sungai yang damai, sangat membahagiakan lebih-lebih pagi ini saya dihantar dan bukan memandu sendiri seperti hari-hari biasa. Lantas segalanya dapat saya hayati sepenuhnya.
Sebelah kiri saya kelihatan deretan kapal-kapal dan perahu nelayan di pangkalan dan di sebelah kanan saya sebuah pulau kecil yang separuh dilitupi kabus pagi. Pemandangan yang jarang-jarang dapat dilihat beberapa bulan kebelakangan ini. Aduhai...Indah dan menakjubkan bumi ciptaan TUHAN ini. Sampai bila ia mampu dinikmati sekiranya ada tangan-tangan yang memusnahkannya dengan nada pembangunan. Saya sering berdoa agar sisa-sisa yang sedikit itu tidak terkorban. Dan anak cucu dan generasi akan datang masih mampu menikmati damainya. Ya!...Sekejap lagi saya akan bertolak ke Kuala Lumpur atas urusan tugas dan seperti biasa saya tinggalkan meja kerja dengan sedikit kemas berbanding dengan hari-hari biasa. Dan bila balik nanti hati akan senang melihat semuanya teratur.
Sampai ketemu lagi pada entry akan datang, salam sayang dari Indah buat semua.
Wassalam.

Saturday, January 9, 2010

KATAKAN PADA MALAM - menghargai persahabatan..


Assalamualaikum buat semua pengunjung,
Saya bukan orang yang pandai menulis puisi, saya akan tulis bila ada bisikan hati dan ketika saya menemui bait-bait indah dan makna yang mendalam, namun saya sangat suka mendengar dan menghayati deklamasi puisi. Pada saya puisi akan lebih indah jika dideklamasikan dengan baik, suara, intonasi yang baik serta kejelasan sebutan dan vocal. Penilaian itu hanya dari kategori Mutu Suara, namun jika ia dipertandingkan perkara-perkara lain diambilkira pergerakan, penghayatan dan kreativiti.
Mengenali Moyank, seorang penulis dari negara seberang bermula dengan mengenali puisi-puisi beliau. Setiap puisi-puisi beliau akan saya hayati. Bermula dari situ saya mula meminati penulisan-penulisan Moyank. Dalam era dunia tanpa sempadan, semuanya terasa dekat dan akrab. Saya pernah mendengar dan melihat Moyank menyanyi lagu2 puisi sambil memetik gitar. Suara beliau bergema di ruang menulis saya, Sehingga satu hari dia bertanya pada saya.
“Indah, mahu kamu dengar sebuah deklamasi puisi?” Soal beliau pada suatu perbualan kami. Wah! Seperti orang mengantuk disorongkan bantal.
“Siapa deklamator itu?” Tanya saya.
“Aku! Maksud ku, saya sendiri.” Jawabnya. Saya tersenyum sendiri, sekalipun dia tidak melihat senyum saya. Ada sesuatu yang membuat saya senyum. Antara ‘saya’ dan ‘aku’. Pada saya ‘aku’ itu terlalu kasar namun saya yakin, pada dia, ‘aku’ itu sudah cukup lembut.
“Saya sangat menghargainya dan mendahuluinya dengan ucapan terima kasih.” Dengan bahasa yang sangat berhati-hati agar tidak disalaherti oleh beliau. Bahasa kita serupa dengan bahasa mereka tetapi belum tentu sama maksudnya. Kerana itu beliau sendiri selalu menggunakan bahasa inggeris apabila masing-masing sukar memahami maksudnya. Lucu bukan?
Saya menerima emel darinya, sebuah deklamasi puisi KATAKAN PADA MALAM yang sangat baik pada saya. Pertama kali saya mendengar, saya gementar. Sangat bagus dan mengesankan. Selepas itu beliau turut mendeklamasi puisi saya EPILOG JANJI KEKASIH juga sangat menusuk hati.
KATAKAN PADA MALAM saya simpan dan sering mendengarnya sewaktu saya menulis sehingga saya suatu hari saya menemui seorang rakan saya, saya memperdengarkan puisi itu dan meminta supaya beliau create untuk saya supaya saya dapat menjadikan puisi itu latar kepada blog saya dan mampu didengari oleh semua orang. Ya dia lakukannya dan berjaya didengari dgn baik dan jelas lengkap dengan covernya.
Secara jujur, ianya tidak mampu saya lakukan termasuk pemilik puisi sendiri. Saya menarik semua kebenaran itu dan meminta sahabat saya PRIVATE kannya. Kepada Moyank saya mohon maaf. Dan izinkan saya menyimpannya sebagai milik pribadi, sebagai tanda persahabatan kami. Kepada pembaca atau peminat puisi…maafkan Indah. Kepada adik saya, fairuz. Terima kasih banyak-banyak. Satu hasil yang sangat menarik.
Salam sayang dari Ndah untuk semua.

Friday, January 8, 2010

KERING KE HATI SAYA? Tak kesian langsung...

Assalamualaikum…
Saya baru saya melangkah keluar dari kederaan saya di depan rumah mak dan baru saja melabuh duduk di bangku kayu, tempat saya biasa bersembang dengan mak setiap kali pulang dari kerja. Tiba-tiba pandangan saya terarah pada susuk seorang lelaki, berkemeja, bersongkok dan menggalas sebuah beg sedang melangkah ke arah sy dan mak. Kehadiran wajah asing itu menimbulkan tanda tanya. Dari raut wajahnya saya meramalkan usianya dipertengahan 20 an.
“Assalamualaikum..”
“Waalaikumussalam “ Jawab saya. Lelaki itu memandang saya.
“I’m Mohd Arshad. From Pakistan, I got a big problem to continue my study at UMT…” Dia memulakan ceritanya. Saya membiarkannya.
“You know UMT?” Dia tanya saya. Saya tersenyum. UMT hanya 10 minit dari rumah saya. Anak muda itu terus bercerita, visanya hanya 20 hari sedangkan dia nak sambung belajar dan bla…bla dia bercerita. Pandainya dia bercerita. Saya hanya diam dan mengangguk-angguk. Bila dia d selesai bercerita, pendek sahaja sy cakap.
“May I see your student card?” Dia merenung saya. Jelas nampak serba-salah dari sorot matanya.
“I’ve just told you my problem….”
“Yaaa….but before I help you, I want to see your student card! Just simple!” Tegas suara saya. Berkecai bahasa saya...
“I’m not cheat you…this is my qualification.” Aduhai, dia mengeluarkan beberapa keping sijil-sijil dari negaranya yang telah lusuh dan keruyuk. Saya merenung ke dalam anak matanya. Kejernihan dan rayu simpati boleh buat orang lemah hati sekalipun nyata dia berbohong. Dalam masa sama, saya tidak dapat lari dari rasa geram dan diperbodohkan. Cerita-ceritanya tidak masuk akal. Terus saya cakap, saya tak boleh tolong, dan warning saya jangan meminta-minta di kawasan ini. Orang di sini tidak dapat membantu apa-apapun. Dia melangkah meninggalkan kami dengan salam. Mak tiba-tiba menegur sikap saya. Kenapa susah sangat nak tolong orang susah? Aduhai….itu bukan sifat saya sebenar. Selalunya saya tak hampakan sekalipun org mengetuk cermin kereta untuk menjual produk. Janji ada jual beli yang sah dan apa dijual ada manfaatnya. Selalunya produk berbentuk buku-buku Ilmiah.
“Kesian.” Suara mak kedengaran lagi. Saya merenung mak saya dalam-dalam. Kesian, saya rasa semua orang tua seperti mak saya, cepat kesiankan orang. Tidak menghairankan, sebab orang dulu-dulu hidup dalam kasih sayang, tidak terhad dlm keluarga malah dalam masyarakat. Suka menolong orang-orang susah. Sakit satu anggota, semua anggota merasa sakit. Itulah analogi masayarakat dulu. Tapi semua itu sudah hampir pupus sehingga kita tidak tahu membezakan antara penipuan mahupun kebenaran. Sedangkan setiap hari kita kebanjiran pendatang sehingga kita sendiri tenggelam dalam ketakutan di tempat sendiri. Aduhai..saya sendiri akan mengajar hati saya supaya tidak mudah kesian dan lemah dengan rayuan mata dan berharap janganlah saya didatangi oleh orang seperti itu. Lebih baik tidak jumpa daripada kita tidak mampu berbuat apa-apa.
Salam sayang buat semua pembaca.

Tuesday, January 5, 2010

SAYA SANGAT KEDEKUT - satu kelemahan


Assalamualaikum....
Melihat rak buku dan buku-buku yang tersusun rapi di ruang bacaan saya, di tempat kerja mahupun di rumah, menyedarkan saya, hidup saya dikelilingi oleh buku-buku. Buku adalah lemari ilmu, dalam bentuk apa sekalipun. Buku tetap memberi ilmu. Namun sejauh mana saya sempat membeleknya dan berlama dengan buku-buku itu. Saya bukanlah book worm tetapi memiliki buku satu kemestian dan setiap kali ke toko buku saya tidak bosan berlama dan membelek seterusnya menelitinya. Novel bukanlah pilihan utama dan setiap kali saya melangkah masuk, saya terus menuju ke rak-rak motivasi. Aduhai bila bawak keluar, saya tidak hairan jika ditegur, yang beli bulan lepas tu dah habis baca semua? Pada saya, yang penting kita milikinya, sebab kalau dan habis di pasaran, sukar nak dapat. Dan, saya tetap akan membeleknya bila saya betul sedia untuk membacanya. Semalam saya baru menghabiskan sebuah buku yang saya beli tiga bulan yang lalu. Dan saya seorang yang sangat kedekut buku. Jangan nak cuba pinjam buku milik saya lebih-lebih buku dari luar yang tidak ada di pasaran. Tapi bila dirayu, tidak sampai hati nak kata TIDAK. Dan perasaan saya akan tertekan selagi buku tidak dipulangkan. Mungkin ramai yang tidak setuju dengan saya. Namun Itulah hakikat dan kelemahan saya.
Salam sayang buat semua dari Indah.

Saturday, January 2, 2010

TERIMA KASIH INDERA

Assalamualaikum buat semua pengujung blog Indah dan peminat2 Dendang Anak.
Entry saya DENDANG ANAK - tak kenal maka tak cinta, mendapat perhatian salah seorang anggota kumpulan Dendang Anak, SDR.INDERA, saya mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Indera yang sudi membetulkannya. Di sini saya entrykan emel dari Indera pada saya.
Kepada Indera, terima kasih Indah ucapkan atas segala keperihatinan Indera pada coretan tentang Dendang Anak di blog Indah.

Indera sent you a message.

--------------------
Subject: AssalaMualaikum

maaf indah sekiranya ini agak menggangu indah, cuma sy nk perbetulkan berkenaan dendang anak yg indah coretkan di blog indah.... mulanya sy perkenalkan ahli2nya dan posisi dulu yer....
1) zul abg - guitarist utama ( ketua kumpulan)
2) azizi - pemain bass
3) ku ayie - fluetist
4) ku bad - pemain diggiridoo & b/up vocal
5) indera - pemain gendang sunda, darbuka & rebana
6) geeka - pemain gendang silat & rebana (ketua percussion)
7) farick - pemain jidur
8) fendi aboh - pemain rebana
9) man bota - pemain gong
10) aidil @ edy - darbuka (pelapis percussion)
11) hasnol - penyanyi utama
12) khairul - back up vocal
13) badrol @ baded - back up vocal
14) helmi - back up vocal
15) mc nadir - MC & back up vocal
16) mawi - shaker
kami masih ada lagi ahli cuma punya urusan maka tk dpt libatkan diri pada hari tersebut

1) dakmie - pemain keyboard & back up vocal...
komposer, pencipta lirik, pencirta lagu dendang anak ini adalah guru kami yg juga kami anggapnya sebagai ayah, panggilan yg di gelar padanya adalah ABG KU...
sy harap indah dpt perbetulkan yer sebarang kesilapan tentang perincian dendang anak....

walaubagaimanapun, sgt2 berterima kasih skali lg di atas sanjungan dan sokongan indah dan teman2 pd kami kump dendang anak, semoga impian kami bg memartabatkan budaya Melayu kita dan mengembalikan Melayu kita mencapai kejayaannya.... perjuangan kami adalah demi melayu dan yg pentingnya kerana agama islam...
salam sayang... INDERA

MENUNGGU REMBULAN



Tika mentari merangkak ke peraduan
dan rembulan menyerlah senyum
kau datang mengetuk kamar
mengucap salam wangi
lalu bersimpuh
dan menyalami pertemuan kita.

Sepanjang malam kauukir kalam
pada dinding-dinding dan lantai-lantai
dan mendendangkan lagu sepi
lewat siang yang datang
dan malam yang bakal pergi
malam-malam kita menjadi syahdu.

Ketika mentari bangkit
kau melangkah pergi
lagu-lagu itu masih bersenandung
dan aku menjadi tidak sabar menunggu
rembulan datang lagi.