Followers

Wednesday, March 31, 2010

Rinduku Terjaring di Muara



Ketika mentari melarik kerawang jingga
pada dada langit senja
tatkala fluit menjerit
pelataran itu kembali sepi
ada sepasang camar terbang
mengintai bayang di air
dan menggugurkan mimpi-mimpi mereka

Aku datang menjaring rindumu
yang tertumpah di muara
Kulihat wajahmu terdampar
pada buih-buih yang memecah
menyapa ingatanku padamu
yang tak pernah kering

Pada sejuring senyum
sepasang mata jerih
ada mimpi yang sangat sarat
ketika selamat tinggal kauucap

lalu rinduku
terjaring di muara.

Sunday, March 28, 2010

Ku syairkan kembali.....


Izinkan aku berlama di dadamu
menguliti setiap luka
mendengar setiap rintih
dari setiap calar yang tergaris
dan darah yang mengalir
agar aku bisa merasa pedih luka
dan ringismu
sambil menyapunya
dengan telapak tanganku

Akan kuungkap kembali
cinta kita yang pernah kita
kita semai benihnya di bukit
dan menjalar akarnya ke lembah
lalu meneguk segarnya di muara
ia terus segar bertunas
menumbuh dahan-dahan dan ranting

Kini
aku kembali di daerah ini
mengusir sepimu
dan mensyairkan cinta kita.

Saturday, March 27, 2010

LAGI ..DAN LAGI..



border="0" alt=""id="BLOGGER_PHOTO_ID_5453285838176533858" />


Assalamualaikum..
Masih lagi dan masih lagi, berkisar pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Bertemu dengan diva-diva ALAF 21 juga nama-nama besar. Siapa tidak kenal dengan NOR ZAILINA NORDIN, MEEN ZULAIKHA, SALINA IBRAHIM? Ketika penulis lain beredar, saya mendekati mereka. Memperkenalkan diri sebagai peminat, saya mengambil peluang bergambar bersama mereka dan saya yakin sehingga saat ini mereka tidak kenal saya. Alhamdulillah, sempat saya merakam semua itu, kalau selama ini saya hanya berpeluang menonton di kaca atau di dada-dada akbar. Mudah-mudahan tahun depan menemukan kami lagi.
Salam syg buat semua..

Thursday, March 25, 2010

CINTA YANG GERING

Ketika kakiku
Melangkah ke beranda sepi itu
kulihat sekujur cinta yang gering
terbaring di ranjang malam
dengan mata terpejam
dan bibir pudar senyumnya

Lalu aku bersimpuh di sisinya
sambil merenung seraut wajah yang kian pucat
kuletakkan telapak tanganku pada alisnya
kugenggam erat temulang derita jemarinya
kurebahkan kepala di dadanya
dan kubisikkan rindu yang telah tua

Kudengar ada tangis yang melirih
mendalam dan menjauh
saat manis yang mahu pergi
lalu kubiarkan airmata kami bersatu
dan sepanjang malam kubisikkan namanya

Ketika syuruk menguak jendela hari
wangi kasturi mendakap pilu
lalu kuhantarkan rindu
mengiringi keberangkatan itu

Pada senja yang suram
aku melangkah meninggalkan beranda sepi
dan sekujur kenangan di ranjang malam.

Monday, March 22, 2010

PERTEMUAN YG CUKUP BERMAKNA......





Assalamualaikum buat semua,
Rindu! Dan rindunya tak menulis. Dah berhabuk dan bersawang anjung PIH ( Pena Indah Hairani ). Ada kesempatan yang sedikit dan terhad ini, saya terus mengambil peluang untuk berkongsi banyak hal. Sudah tentu berkisar pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Hari kedua saya menjejak kaki di Dewan Tun Hussein Onn, menempatkan khusus KARANGKRAF SDN. BHD, dan merujuk pada pelan tapak di tangan saya, nama ALAF 21 SDN. BHD jelas dengan tulisan warna merah. Mana Buku PRIMA? Tak adapun…tak adapun! Kalau ada Alaf, adalah Prima, Cuma Buku PRIMA tak dituliskan pada pelan tapak..owh! saya melangkah masuk. Fuh! Kelewatan datang membuat saya terkedu sesaat. Wah! Barisan penulis Alaf 21, hebatnya…beberapa nama-nama besar yang selama ini hanya saya lihat di dada akhbar dan majalah, saya melangkah lambat-lambat sambil merenung novelis yang saya minati. Guru saya dalam diam. Ramai! Sempat jugak menghulurkan tangan pada beberapa orang yang agak tidak sibuk melayani peminat. Rata2 mereka dikerumuni peminat. Saya terus ke meja hujung, beberapa orang penulis Buku Prima telahpun sedia di meja. Siti Nur Dhuha dan Dyza Ainun yang bersama saya tidak menang tangan menandatangani buku yang dibawa peminat. Siti Nur Dhuha khususnya, penulis paling muda di Buku PRIMA sangat membanggakan karya kedua CINTA UNTUKMU, laris seperti goreng pisang panas turut melonjakkan karya sulung Dhuha, AKHIR SEBUAH CINTA. Tahniah sayang! Beberapa kali saya bisikkan di telinga Siti. Kehadiran novelis tersohor SITI ROSMIZAH, meja penulis diserbu lagi. Masih ramai peminat ANDAI ITU TAKDIRNYA dan CINTA KAU DAN AKU. Saya tidak tahu bagaimana Siti menjawab, bila peminat-peminat Siti bertanya, “Bila lagi buku baru Siti?” Siti Rosmizah tersenyum. “Jawab Siti, jangan tak jawab.” Kata saya bila Siti ke meja saya. Aduhai! Macamana dengan CASTLE CINTA DEADAY saya? Kedua-dua Siti berkali-kali bisikkan pada saya, “Jangan risau KNdah, percayalah CCD akan diterima peminat.”itulah mereka. Saya sayang mereka. Kata-kata mereka doa untuk saya dan CCD. Kehadiaran KUCC, RINN, SUE…Geng Kicap. Terima kasih..terima kasih semua…sempat bergambar dengan mereka. Di sebelah, orang yang paling dekat dengan saya hari tu, penulis ANAKKU CELIK KOMPUTER, TN. HJ. SYAHRUL NIZAM JUNAINI. Jauh datang dari Sarawak. Rupa-rupa seorang Pensyarah di UNIMAS. Sentiasa senyum. Alhamdulillah senang bersembang dengan beliau. InsyaALLAH kami akan jumpa lagi di Terengganu bila Tn. Haji ke Terengganu nanti dalam rangka kerja di UMT. Dan tidak lupa dalam kesibukan melayani pembaca, tanpa saya sedari Lensa Kamera Canon merakam scenario di meja saya memokuskan pembaca dan pembeli Castle Cinta Deaday, terima kasih kepada insan budiman yang akhirnya turut merakam foto bersama Dyza Ainun. Apapun paling tidak dilupakan sempat bertegur sapa dengan Sri Diah, Anis Ayuni, Meen Zulaikha dan beberapa yang lain. Hilang rindu saya pada Hani Fazuha, Ramlah Rashid ( Ila ) dan tidak disangka2 ketemu Ebriza yang sentiasa senyum. Krew Karang Kraf, Editor-editor Buku Prima siapa lagi, Tn. Hj. Mohd Ali Mohd Noor, Suraya ( Sue ), Aisyah ( Cah ), yang sentiasa senyum walau dalam keletihan. Dan…siapa lagi CEO, Cik Syarah. Cik Nora juga. Tahniah! Dan gembira berada di PBAKL 2010.
Sampai ketemu lagi, salam sayang buat semua.

Friday, March 12, 2010

DENGARLAH DENGAR CERMAT......


Dekapkan telingamu
dengarlah dengan cermat
getar dan degup jantungku
ambillah sekeping kartu
dan sebatang pena
tulislah dengan hemat
setiap ungkap dan desis
yang kautafsir

Kirimkan padaku
ketika syuruk yang hening
atau saat mentari belum hangat
dan malam yang sangat larut
ketika rembulan berwajah bening
akan kubaca dengan cermat
catatan yang kau pahat.

Atau ..
Dengarlah dengan cermat
getar dan degup jantungku
dan bisiklah padaku
tanpa perlu pena dan kartu
tanpa menunggu syuruk
dan menunggu suam mentari
pun bening wajah rembulan
kerna aku tidak sabar mendengar
bahasa diamku yang kauucap.

Wednesday, March 10, 2010

Saya kembali tidak lagi nampak senyum itu seperti tangis.

Assalamualaikum…
Apabila perasaan bercelaru, semua jadi tidak kena. Nak senyumpun tak bersemangat, apa lagi ketawa. Malah tengok wajah senyumpun, nampak menangis. Demam sedikit dirasa sangat parah. Itulah yang saya alami semalam. Kenapa dengan saya ni….dalam kecelaruan, seorang sahabat dari jauh menghubungi saya. Kami bersembang panjang, bermula dari isu-isu penulisan hinggalah kepada isu-isu menyentuh kepada mengubah pemikiran dan kehidupan. Kata sahabat saya, kita mampu menjadi apa yang kita inginkan.
“Dengan syarat kamu memiliki kesungguhan dan keyakinan.” Katanya.
“Sekali kamu berdoa dan disusuli dengan seribu ribu kesungguhan dan keyakinan, adalah jauh lebih baik dari seribu doa dengan satu kesungguhan dan keyakinan.” Sambungnya lagi. Subhanallah…
Terpegun saya sejenak. Berbagai pertanyaan yang ingin saya ajukan. Namun saya tidak ingin pertanyaan saya membuat saya tertinggal setiap patah perkataan yang keluar dari percakapannya. Minda saya serasa terbuka, dada saya benar-benar lapang.
“Jangan pernah menyebut, Ah! Saya ini sakit, saya ini rungsing, saya ini begini, saya ini begitu.” Saya tersenyum. Itulah saya. Sakit hanya sedikit, malah sangat besar pada saya. Tangan yang luka sedikit, balutannya sudah cukup besar. Pernah saya ditanya bila jari saya berbalut. Dengan muka sedih memberitahu, tangan saya luka. Terkena pisau sewaktu memotong kertas di ofis tadi. Bila diminta untuk melihatnya, dengan penuh hati-hati saya membuka balutannya. Sehingga selesai luka saya tidak kelihatan. sakit juga sudah hilang bila lukanya tidak ternampak kesannya. Sedangkan sewaktu mengadu, saya masih terasa ngilu lukanya. Begitu kuatnya manipulasi fikiran…
“Kalau nanti, Indah beritahu pada sesiapa yang Indah temui, tentang sakit itu, ia semakin parah. Kalau aku, aku cuma diam dan membiarkannya. Akhirnya kesakitan itu dengan sendirinya akan hilang. Faham maksudku?”
“Ya..Ya..saya faham.” Jawab saya.
“Cuma agak sukar untuk saya menerangkan tetang apa yang saya fahami.” Kata saya seperti lagak seorang budak yang baru selesai bercakap dengan gurunya. Dia tertawa.
“Indah…Indah..dalam keadaan apapun, selagi kamu fahami. Itu sudah cukup memadai.”
“Kamu dengar baik-baik. Kalau kamu tidak mampu menjadi pembicara yang petah, cukuplah menjadi pendengar yang baik.”
Sepanjang mendengar percakapan sahabat itu, sudah banyak saya terpukul. Semuanya membuat saya berfikir banyak. Saya terlalu 'manja' dengan dugaan. Terima kasih buat sahabat saya. Saya perlu menjadi dewasa yang benar-benar dewasa.
Saya akan ingat sampai bila-bila.
Saya kembali tidak lagi nampak senyum itu seperti tangis.
Salam sayang buat semua.

Monday, March 8, 2010

AMPUNKAN SAYA....

Apa dah jadi...
Kecuaian buat kita hilang banyak hal.
Entri...kenangan, catatan malah dengan kecuaian kasih sayang boleh hilang. Silapnya cuma sedikit. Terselect dan kemudian tertekan, semua hilang dalam sekelip mata. Hal yg sama pernah berlalu pada manuskrip saya, silap hanya tidak back up, berbulan memerah otak, hanya seminit hilang. Walaupun kecuaian itu tidak 100% dilakukan saya, namun kecuaian dan kealpaan itu buat usaha saya hilang begitu sahaja. Manus krip BILUR-BILUR DI HATI lenyap sekelip mata. Berkali-kali budak di kedai komputer meminta maaf dari saya. Namun ia tidak dapat membayar banyak perkara dalam menyiapkan manuskrip itu. Begitu juga manuskrip saya AKU BUDAK MAINTANANCE, juga menerima nasib yang serupa. Aduha.... Dan hari ini entri saya tentang mak juga serupa. Apapun saya tetap ingin mengungkapkan ampunkan saya. Salam penuh kasih buat mak dan saya tahu mak juga sayangkan saya seperti anak2 mak yang lain, sekalipun sy tidak sehebat anak-anak mak yang lain dalam memberi kasih sayang dan menjalankan tanggungjwb sebagai seorang anak.
wassalam

Saturday, March 6, 2010

SEPASANG SELIPAR MERAH...


Assalamualaikum…
Penatnya…baru sampai rumah setelah setengah hari di padang garing di tepi pantai Dungun biarpun tak sempat nak menjeling kebiruan laut yang terbentang. Setiba di lokasi pagi tadi. Perserta berpusu-pusu. Ramai juga warga Dungun turun ke lokasi. Sempat saya berbisik pada seorang rakan yang bermalam di sana.
“Ada tengok matahari?”
“Matahari? Matahari apa?”
“Laa dah sah tak tengok. Rugi. Tidur di tepi pantai tapi tak tengok matahari naik.” Sahabat saya tersenyum mendengar kata-kata saya.
“Mana ingat tu semua.” Jawab sahabat saya lagi. Saya diam, macam tak puas hati dengan jawapan tu. Saya masih ingat sewaktu bermalam di sebuah chalet di Pantai Bari, sayalah orang pertama keluar dari chalet dan bergegas ke pantai. Sepeti hilang diri merenung keindahan ciptaan ALLAH. Dia tak ubah seperti sebuah bebola api yang keluar dari perut laut dan tertampal di dinding langit. Subhanallah…keindahan pandangan bersatu dengan aroma asin laut dan damai pagi. Saya seakan lupa diri sejenak. Itu hanya sebahagian kecil keindahan di dunia. Sedangkan ALLAH menjanjikan keindahan yang tidak terfikir oleh manusia kepada hamba-hambanya yang layak di alam kekal nanti. Namun keindahan yang sementara inipun jarang saya nikmati. Sedangkan saya dilahirkan di bumi Terengganu ini, bumi yang memiliki keindahan pantai dan laut yang mengunjur. Dan pagi tadi sepanjang perjalananan menyusuri pantai, mentari tidak menyerlah sebagai yang saya harap-harapkan, Yang terlihat hanyalah pantai yang damai dan beberapa buah perahu nelayan yang berdada di dadanya.
Satu tamparan hinggap di bahu saya.
“Erm berangan lagi. “ Kata seorang sahabat sambil menghulurkan microphone. Telah bermulalah tugas saya pagi ini. Alhamdulillah sepanjangnya, program berjalan lancar. Selesai semua tugas, Along sahabat saya tersenyum memandang ke arah saya. Saya tahu makna pandangan Along, di kaki saya, tersarung sepasang selipar 100% getah asli, selipar kesayangan saya dengan warna merah kesumber sangat menyerlah. Mungkin ramai peserta dan pengunjung tersenyum melihatnya. Dengan nada letih saya menjawab.
“Pagi sangat long, hanya ini yang tersarung di kaki ni.” Along tergelak mendengar kata-kata saya. Dan sepanjang perjalanan pulang saya tertidur di bahu along.
Salam sayang buat semua.

SELAMAT MALAM SAYANG

Assalamualaikum
Besok pagi-pagi lagi saya akan ke Dungun, untuk satu program. Aduh! Jam 6.00 pg saya mesti bertolak dari rumah. Takkan sembahyang dalam kereta. Ish! Macam tu pulak… Kalau terlewat bas tak kan tunggu. Takkan saya nak memandu sorang2 ke sana? Awal sgt, memang tak berani, lewat sangat, saya pengacara. Paling-paling bila merentasi sepanjang pantai. Tahan ke saya melihat bebola mentari yang muncul dari laut? Saya tukar dengan makan. Hilang lapar. Hilang dahaga. Dah jam 12.00 mlm. Mata masih segar, aduhai. Semua keperluan saya dah sedia. Cuma acara selingan, saya memang tak prepare langsung. Ingat nak sediakan beberapa soalan, sementara menunggu keputusan. Ternyata tak sempat. Jadual mcm penuh sangat, walaupun 3 hari tak masuk opis. Saya kena masuk tidur ni. Saya tidur dulu…selamat malam dan salam sayang.

Thursday, March 4, 2010

DIA YANG DITUNGGU.....



Terindah buat semua...

Wednesday, March 3, 2010

AKU SEPASANG KASUT?



Assalamualaikum,
Ketika saya terlihat objek itu, saya terus mencapainya. Bukan sepasang, malah berpasang-pasang. Teringat saya pada zaman awal remaja, menulis tentang ‘aku sepasang kasut’. Kalaulah waktu itu saya melihat kasut ini sudah tentu cerita sepasang kasut saya tidak menerima nasib malang, berakhir di dalam himpunan api. Dan mungkin bukan kasut lagi yang menjadi wataknya. Saya tersenyum sambil membelek kasut kayu di tangan saya. Apa yang menghairankan saya, semua kasut itu dihasilkan hanya sebelah. Kenapa ya? Saya tercari-cari pengukirnya, sehingga saya keluar dari ruang pameran, pengukirnya tidak muncul-muncul kecuali seorang datang mendekati saya.
“Kak, tukang ukirnya hanya meminta saya tolong menjualnya.” Beritahu lelaki di depan saya.
“Owh ..keluh saya. Tak apa dik, terima kasih.” Ucap saya sambil meninggalkan gerai itu. Bukan itu yang saya inginkan, tetapi apa yang ingin saya tahu, kenapa kasut yang menjadi subjeknya. Pelik jugak saya. Itupun buat saya seakan merajuk. Hasrat untuk mendapatkannya, saya abaikan. Mungkin agak kecewa kerana tidak menemui pengukirnya. Terpikir sejenak, bagaimana penjualannya akan bergerak sekiranya penjualnya tidak ada di tapak jualan. Saya yakin, saya bukanlah orang pertama yang berminat dengannya. Ia agak unik di mata saya. Alang bagusnya kalau saya dapat memiliki beberapa kasut itu. Saya telah berkira-kira di mana akan saya tempatkannya. Saya bukanlah orang yang sabar menunggu, Akhirnya saya meninggalkan sudut ukiran kayu dan terus mencari pengusaha tekatan. Merupakan tujuan utama saya berada di tapak pameran. Dan, ternyata saya sangat merasa puas dengan apa yang saya perolehi sebagai titik mula kajian saya mengenai tekatan Melayu. Alhamdulillah. Dan sudah tentu selepas ini, saya akan banya berkongsi dengan pembaca mengenai keintelektualan dan kehebatan orang terdahulu dalam mencipta dan menghasil sesuatu. Sampai jumpa lagi salam sayang dari Indah.