Followers

Wednesday, January 5, 2011

INGATAN TERMAHAL - Sebuah dedikasi buatmu

Saya dedikasikan puisi ini buat semua guru-guru, menghargai jasa mereka sebagai insan yang mendidik masyarakat menjadi siapa yang mereka inginkan. Puisi ini saya pernah deklamasikan semasa majlis pelancaran novel saya RINDU BERBISIK ( DBP ) dan HANYA SEBATAS INI ( BUKU PRIMA) yang disempurnakan oleh yg. Berhormat Tn. Hj. Razif Abd. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu. Pelancaran tersebut adalah bersempena majlis persaraan sifu saya Ali Jusoh yang lalu. Sifu yang sering merasa bangga dengan pencapaian saya. Terima kasih cikgu.
INGATAN TERMAHAL

Ingatannya melingkar
saat pertama menjengah siang
dan memberi salam pada matahari
di perbukitan daerah ilmu yang kumuh itu
seorang anak tidak bersepatu
dan berbaju putih lusuh
terduduk di bangku kayu
menunggu di bawah atap rumbia
dan berlantai tanah hitam
tanpa kertas dan pena.

Mata polos itu merenung tajam.

Dengan penuh rasa cinta
dia menghulur
sejumlah abjad
sebatang pena
selembar kertas
untuk disusun menjadi kosa kata
mencatat mimpi
dan melakar cita
yang sebelumnya tersangkut pada batu-batu sungai.

Dengan penuh rasa kasih
dia mengutip setiap abjad yang gugur
menajamkan pena yang tumpul
dan melakar kembali lembar yang luntur
pada setiap kali anak itu tertidur.

Kelmarin
saat dia terduduk
menakung lelah yang berdekad itu
seorang anak muda berdiri dengan senyum
menghulur selembar kertas
ada tercatat kata-kata.

“ TERIMA KASIH CIKGU”


Indah Hairani