Followers

Wednesday, April 27, 2011

Agaknya siapa saya di mata mereka suatu masa nanti..CATATAN SANTAI-SANTAI SEORANG INDAH HAIRANI

“30th Kuala Lumpur International Bookfair 2011” seperti tahun-tahun yang lepas, saya turut tersenarai dalam jemputan dari pihak penerbit setelah bergelar penulis. Diberi ruang untuk bertemu dan bermesra dengan pembaca, bersua wajah dengan penulis-penulis hebat, berpeluk mesra dan bertukar fikiran yang barangkali tidak mungkin jika tidak bergelar penulis. Pengalaman pertama berada di meja penulis jemputan adalah pada tahun 2008, atas jemputan DAWAMA untuk novel pertama saya RINDU BERBISIK, terbitan DBP. Saya masih ingat, ketika saya digandingkan dengan beberapa penulis hebat, termasuk Faisal Tehrani. Kecilnya saya saat itu, malah perasaan itu masih berbekas sehingga ke hari ini. Untuk bertanya banyakpun saya menjadi kelu. Pada tahun itu, saya sempat bercakap beberapa patah dengan Sasterawan Negara A. Samad Said termasuk sempat bergambar dengan insane hebat itu. Waktu sangat pantas berlalu, setelah empat tahun berlalu, saya melihat dunia kepenulisan tanahair begitu berkembang. Kemunculan penulis-penulis baru seperti cendawan tumbuh di musim hujan. Ini menunjukkan satu perkembangan yang positif dalam dunia kepenulisan tanahair. Penulisan novel menjadi padang kepada geberasi muda yang berbakat untuk menajamkan pena. Semua orang boleh jadi penulis. Pada saya penulis bukan sekadar mampu membuat pembaca tersenyum dan menangis tetapi penulis mempunyai peranan yang lebih besar. Penulis adalah guru dan pendidik yang mampu menstimulasikan pemikiran pembaca untuk berfikir. Sementara karya pula adalah bayangan atau imej penulis dan pembaca dapat menilai pemikiran, nilai, sikap melalui karya-karya yang dihasilkan. Mungkin tidak ramai yang bersetuju dengan pendapat saya. Tapi inilah hakikat sebenarnya. Saya mula belajar darinya. Hari ini saya mula berfikir, apa yang bakal diperkatakan oleh anak cucu saya apabila karya-karya saya jatuh ke tangan mereka suatu masa nanti. Setiap kali memikirkannya, saya akan kembali membelek karya-karya saya. Agaknya siapa saya di mata mereka….

Monday, April 4, 2011

DIA YAN G KUTEMUI....


Sejak zaman remaja saya mengenali beliau, menyukai puisi2 beliau dan meminati beliau. Namanya sangat gah di hati saya. Saya kagum dengan bahasa beliau dan kecintaan beliau terhadap dunia sastera Melayu. Pertama kali saya berdepan dengan beliau 10 tahun yang lalu, sebelum saya bergelar penulis. Seterusnya saya hanya menyoroti perkembangan beliau dari jauh. Hari ini, saya kembali berdepan dengan beliau, sempat bersembang tentang karya dan dunia kepenulisan tanah air. Lalu sempat saya mencapai nashkah kumpulan puisi beliau DI SINI TEMPATNYA JAUH serta NYANYIAN PUISI – SELALU milik beliau. Sepanjang memandu pulang, saya kumandangkan lagu2 puisi iyu. Sangat indah alunan dan getar suara beliau….Sayapun tersentuh menghayati catatan isteri beliau Puan Selina s f Lee, Lim Swee Tin – penyair, suami dan puisi,saya menjadi semakin kenal beliau melalui melalui kacamata seorang isteri.
Beliaulah penerima S.E.A write, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin. Terima kasih kepada penganjur BENGKEL PENULISAN FIKSYEN SAINS DAN TEKNOLOGI - Universiti Teknologi Malaysia ( UTM) KUMPULAN UTUSAN dan Persatuan Sasterawan Terengganu ( PELITA ) yang menemukan penulis-penulis Pantai Timur dengan beliau.

Friday, April 1, 2011

Bila BERIKAN AKU RINDU ditemui

Setiap kali novel baru saya terbit dan mula di pasaran, saya sering menjadi orang lain dan bersama-sama membelek novel-novel dan mencari-cari novel sendiri di rak sambil memerhati khalayak pembaca. Siang tadi kesempatan yang ada, saya berlegar di dua buah toko buku kawasan saya. Jenuh mencari, tiba-tiba mata saya mula menjamah apa yang saya cari. Sebuah BERIKAN AKU RINDU terselit di celah-celah susunan novel lain. Hanya sebuah? Getus hati saya. Saya menariknya dan membalik-baliknya. Seorang pembantu toko mendekati saya.
“Dik..hanya satu ni yg ada dik?”
“Ya kak..tak banyak yang sampai. Hanya beberapa buah.” Jawab gadis itu dengan senyum.
“Kalau akak nak, beli teruslah kak, tu aje yang tinggal. Nanti tak sempat. Novel baru ni kak.” Saya terkedu. Novel di tangan saya, saya renung dengan sayu. Tidak hairanlah ramai yang merungut, sukarnya mendapatkan novel-novel saya di toko2 buku. Saya mengelus dada, barangkali nama saya tidak tersenarai dalam pesanan mereka. Saya memeluk BERIKAN AKU RINDU.
“Akak nak ke?” Tiba-tiba gadis itu bertanya.
“Ya ya saya nak.” Jawab saya ringkas.
Saya terus ke kaunter. BERIKAN AKU RINDU hulurkan kepada petugas toko untuk membayarnya.
“Novel2 lain penulis ni, tak ada ke?” soal saya sekadar ingin mendengar jawapannya.
“Entah…kalau tak ada kat atas rak tu, tak adalah kak. Kenapa kak? Akak peminat Indah Hairani ke?”
“Tak…saya baru nak kenal dia…maksud saya, baru nak baca karya-karya dia.” Jawab saya sambil menghulurkan not limapuluh. Sebaik sahaja lebihan dikembalikan, saya terus melangkah ke kereta. Saya meletakkan BERIKAN AKU RINDU di atas kusyen sebelah. Saya teringatkan FAEN, saya juga teringatkan THANIA. Saya seperti kembali berbicara dengan FIQRI dan tidak ketinggalan SYED SOPHIAN. Kalian berempat, kekuatan BERIKAN AKU RINDU.
Aku ingin sekali membawa mereka mendekati kalian dan belajar dari cinta, kesetiaan dan penderitaan kalian. Bisik saya seakan-akan mereka itu hidup dan wujud bersama saya. Saya memandu pulang dengan membawa BERIKAN AKU RINDU. Tenanglah duhai Indah Hairani. Kau hanya orang kecil yang belajar berdiri dan melangkah.