Followers

Thursday, October 13, 2011

Wednesday, October 12, 2011

Maafkan saya..BERIKAN AKU RINDU sentiasa ada di bibir dan di hati saya



Kisah cinta yang menyayat hati, FAEN THAHERAH dan THANIA KHALEDA terhadap FIQRI seorang pelukis yang memiliki jiwa yang luhur. Siapakah yang dapat memiliki cinta FIQRI? Apakah pilihan FIQRI mampu membahagiakan? BERIKAN AKU RINDU merungkai episod-episod cinta, kesetiaan, keluhuran budi seorang lelaki bernama FIQRI dan melihat kecewa seorang lelaki bergelar SYED SOFIAN dalam meraih cinta.

"Ketika cinta mendekat. Kita menjauhkan diri. Ketika cinta pergi, kita tercari-cari. Cinta itu aneh. Ada rindu pada setiap tapak-tapak yang ditinggalkan. Buat peminat karya Indah Hairani, saya titipkan BERIKAN AKU RINDU sebagai tanda kasihnya saya pada semua. Salam terindah dari saya." – Indah Hairani

SEPINTAS LALU DUNIA PENULISAN INDAH HAIRANI..saya tersenyum setiap kali saya membacanya..apalah saya ni!



Melihat masa lalu, saya tidak pernah terfikir bahawa hari ini saya sudah disebut penulis. Walaupun pada hakikatnya, saya mengimpikan untuk menjadi pengarang ( merujuk sepertimana kata-kata seorang rakan penulis, pengarang adalah penulis yang mampu menyusun aksara dengan indah dan baik )Saya tersenyum..

Saya bermula dengan mudah. Pada pandangan saya, untuk mula menulis kita harus menulis perkara-perkara yang dekat dengan kita. Kita akan mampu menulis dengan baik dan berkesan. Penulisan berkesan akan memberi kesan yang besar juga di hati dan dikenang pembaca sampai bila-bila. Saya masih ingat antara karya-karya besar yang kekal hidup di hati dan ingatan saya, adalah seperti karya HAMKA, TENGGELAMNYA KAPAL VANDERWICH, HARTINI karya AZIZ AFKAR dan SAGA, MERPATI PUTIH TERBANG LAGI dan beberapa karya lain. Saya sering bermimpi untuk melahirkan karya-karya sebaik itu.
Penulisan saya sebenarnya bermula dengan genre puisi kemudian melangkah setapak ke penulisan skrip drama radio, akhirnya saya tidak mampu menipu perasaan saya, bahawa saya meminati genre penulisan novel. Lantas pada awal tahun 2000, saya kembali membeli novel-novel dan kembali menjadikan novel sebagai sebahagian daripada teman hidup saya. Anehnya setiap kali selesai menghayatinya, berbagai persoalan berlegar di benak saya, kenapa begitu dan kenapa begini. Saya sering tidak berpuas hati dengan apa yang baru saya baca. Dari situlah terdetik di hati saya untuk menulis novel dan menghasilkan karya-karya mengikut keinginan sendiri. Setelah menulis, saya mula sedar, untuk menjadi seorang penulis dan memenuhi kehendak dan kepuasan setiap pembaca tidak semudah yang saya fikirkan sebelumnya. Seorang penulis harus mampu menjadi sesiapa juga. Dia harus mampu menjadi doktor, jurutera, hakim, polis dan sebagainya malah juga harus mampu menjadi penjenayah. Kemampuan mewujudkan watak dengan berkesan akan membuat pembaca boleh menjiwainya dan penulisan dianggap berjaya.
Novel pertama saya, RINDU BERBISIK terbitan DBP, 2008 setelah mengambil masa hampir 2tahun untuk diterbitkan dan telah meraih anugerah Buku Terbaik Kategori Remaja 2008. Pada tahun yang sama, novel kedua pula muncul, HANYA SEBATAS INI terbitan Buku Prima di bawah Grup Buku Karangkraf. Sementara tahun-tahun selepasnya lahir DI HUJUNG RANTING, CASTLE CINTA DEADAY terbitan yang sama. Terbaru dan telah dilancarkan baru-baru ini berjudul BERIKAN AKU RINDU juga diterbitkan oleh Buku Prima.

Saya sering ditanya, bagaimana saya mendapat idea untuk melahirkan sesebuah novel. Kehidupan kita seharian dikelilingi oleh alam dan khalayak yang berbagai karakter. Saban hari kita berdepan dengan pelbagai kisah masyarakat. Semua itu menjadi sumber inspirasi kepada setiap penulis termasuk saya sendiri. Gabungan idea dan garapan akan dapat menghasilkan sebuah novel. Dunia penulisan menuntut kita banyak berfikir. Malah untuk menghasilkan satu-satu penulisan, kita harus kreatif dan inovatif. Pada saya seorang penulis adalah seorang pendidik dan mempunyai tanggungjawab sosial yang besar. Mereka harus menyediakan penulisan yang bermutu yang mampu mendidik masyarakat. Tema-tema keganasan dan penyakit sosial perlu diteliti terlebih dahulu agar tidak menjadi pendorong masalah tersebut berleluasa seperti yang kita depani hari ini. Dan setiap penulis harus berani bertanggung jawab terhadap apa yang dituliskan.

Dewasa ini, kemunculan penulis muda yang berbakat begitu ketara. Syarikat penerbitan juga tumbuh dengan agak pesat, sudah tentu karya-karya juga diterbitkan dengan cepat. Senario ini merupakan satu perkembangan positif kepada dunia penulisan tanah air. Penulis-penulis sedia ada tidak harus merasa terpinggir sebaliknya jadikannya sebagai satu perangsang untuk bersaing dalam nada yang sihat.

Sekadar catatan skrip untuk wartawan dan setiap kali saya membacanya saya pasti tersenyum. Malupun ada...berlewah-lewah saya ni.
Salam sayang buat semua pengunjung Pena Indah Hairani.

Monday, October 3, 2011

TWIN TAK SEIRAS



Mereka berbeza dalam banyak hal, banyak bertentang pendapat, namun bila berpisah mereka saling merindu itulah Deaday dan Onie..

DUNIA BUKU - KEDEKUTKAH SAYA?



Jika ada yang kata saya kedekut, dengan pantas saya menjawab; Yes! saya memang kedekut. Banyak buku saya hilang bila terlalu bermurah hati. Kata sifu saya; buku adalah harta seorang penulis. Harta perlu dijaga, jika hilang suka untuk dapat kembali. Secara kasarnya melebihi 20 buah buku saya tidak dikembalikan oleh peminjam. Saya banyak belajar darinya. Kini semua orang yang dekat dengan saya faham. Oh...saya tak berani. Itu jawapan mereka, bila ada yang sampaikan hasrat untuk meminjamnya. Kini saya senang hati sebahagian darinya telah tersusun rapi di rak. Selebihnya...ah..ruang saya sangat terhad....

JANJI SAYA PADA NABEL



Masa saya bawak dan beri pada Nabel, saya mengharapkan dia senang dengan hadiah ini. Saya tahu dia sangat sukakan mainan begini. Rupanya anggapan saya meleset. Nabel menumbuk dan memukulnya. Bila saya tanya kenapa, dia jawab baby ni hanya patung, dan patung elok dipijak-pijak. Diketuknya dengan remote TV. Tak baik di syg. Adik tak nak sayang dia. Tak.. mana ada orang syg2dan sanjung patung. Adik jeles ya? Tanya saya. Adik tak jeles tapi adik benci. Kenapa? Sebab dia mcm Chiaki..adik benci Chiaki. Bila malam, Nabel ambil dan letak di luar. Saya tanya dia, kenapa. Tak baik. Saya tersenyum. Nanti ummi tanya ustaz, ya. Janji saya pada Nabel.

Sunday, October 2, 2011

Saturday, October 1, 2011

AKU SANGAT INGIN KAU TAHU




Ketika suara rimba mulai diam

deru kotapun beristirehat

tujuh samudera tenang

fluit tidak lagi menjerit

camar-camar bertenggek

di tiang labuhan



Kuantarkan untukmu

lewat angin yang berhembus

lembut dan damai

melewati gunung ganang

rimba dan samudera

nukilan syair-syair rindu

menemani lenamu

biar mimpi-mimpimu ada aku



Aku sangat ingin kau mengerti

setiap bait-bait kuantar hanya buatmu

akupun ingin

ketika kau bangkit menyapa matahari

nukilan-nukilanku masih melekat di dadamu.

.by Indah Hairani Latif on Saturday,