Followers

Thursday, February 19, 2009

Apa Yang Tak kena Ni?

Pagi ini, seperti pagi-pagi sebelumnya. Keluar dari rumah, memandu dengan damai sekalipun sesekali diganggu oleh kesesakan jalanraya. Biasalah..jalanraya bukan milik kita sorang. Walaupun kadang2 geram dengan pengguna2 yang agak nakal mencelah, mengaum dan macam2 lagak. Ada yg terenjut-enjut macam cari rumah sewa lagaknya. Apapun kita tetap terima, stering mereka, kereta mereka...walaupun hati sedikit sakit dalam keadaan kita terburu mengejar waktu...akhirnya seperti biasa tiba juga saya ke tempat kerja. Tetapi..kenapa bosan tiba-tiba menjengah perasaan saya?Mood saya juga musnah. Senyum saya seakan seakan turut hilang. Apa dah jadi ni? Saya cuba membelek-belek ingatan. Kelmarin, semalam dan hari-hari lepas. Tentang tugas, tentang janji, tentang apa saja yg mungkin menjadi penyebabnya. Aduhai...saya seperti sesat dalam fikiran sendiri. Apa yang tak kena pada pagi ni? Atau apa yang tak kena pada saya ni? Saya mengambil masa sejenak di dalam kenderaan saya. Memejam mata sambil membawa minda berlari.

Oh oo...Februari dan nak pergi..tapi apa yang saya rancang untuk dunia saya belum bergerak2. Ini puncanya... Saya mengeluh...Rupanya saya yang tak kena..Malam ini, malam yang mulia, penghulu kepada segala malam. Dan malam ini, saya akan mulakan segalanya. Saya kembali tersenyum.

Wednesday, February 18, 2009

Cindai, Puteri Bunian. Realiti dan Fantasi...

' Cindai ditenun menggunakan rambut puteri bunian'
Saya tersenyum..itulah anggapan-anggapan sesetengah daripada kita mengenai tekstil tradisi itu. Cindai..ada yang tahu dan ada yang tak tahu. Ada yang pernah menyentuhnya dan ada yang tak pernah melihatnya. Namun bila lagu cindai, nyanyian Datuk Siti Nurhaliza berkumandang saya yakin pasti ada yang ikut menyanyi. Untuk makluman pembaca, Cindai sebenarnya adalah tekstil yang dihasilkan melalui teknik ikat. Ia itu benang diikat terlebih dahulu kemudian barulah ditenun. Agak berbeza dengan kain pelangi yang juga menggunakan teknik ikat celup. Pelangi diikat selepas ditenun. Cindai dikatakan berasal dari daerah Gujerat India, dan datang ke Tanah Melayu pada awal abad ke 14 melalui perdagangan. Keunikan cindai bukan hanya terletak, pada motif, corak dan warnanya, tetapi ia mengambil kira teknik penghasilannya yang memerlukan kesabaran, ketelitian dan kepakaran yang tinggi. Di India, cindai disebut Patola atau Patolu. Di Indonesia pula, cindai disebut Chinde, Cinde dan cindai. Di India, kain ini digunakan sebagai pakaian wanita. Namun demikian, apabila berada di alam Melayu, wujud kepercayaan dan mitos mengenai cindai. Dan ia dikaitkan dengan puteri-puteri bunian dan kayangan. Selain itu ia dikatakan juga mempunyai kepentingan dalam pengubatan dan pembomohan. Dikatakan juga kain ini terbahagi kepada dua, iaitu Cindai Jantan dan Cindai Betina. Apapun semua itu adalah kepercayaan masyarakat lalu. Rasanya sudah tidak relevan lagi dalam dunia serba moden ini. Apalagi, kain itu masih ada hingga sekarang.


Ya! itulah serba ringkas tentang cindai. Kepada pembaca yang ingin tahu dengan lebih detail...insyaallah saya akan bicarakan tentangnya pada penulisan akan datang





Tuesday, February 17, 2009

Wasabe dan Gamelan

Salam..
Kumpulan yang diterbangkan khas dari matahari terbit yang dianggotai berbagai latarbelakang pendidikan dan pengkhususan muzik. Malah antara mereka mempunyai pengalaman dalam mengajar gamelan Joetsu University of Education, Niigata dan Kanda Universiti of International Studies, Chiba City. Sering membuat persembahan di sekitar Tokyo, Jepun dan Bali, Indonesia. Saya sempat bersembang dengan mereka dengan selesanya. Ini adalah mereka mampu menguasai bahasa Indonesia dengan baik.


Monday, February 16, 2009

Idea Melimpah....

Menulis..berkarya..dua hal yang saling berkait. Hampir dua bulan saya tidak mengetuk keyboard untuk sebarang penulisan..kenapa? Saya sendiri tertanya-tanya. Sedangkan minda saya sarat dgn idea..apa yang yang dilihat, didengar..semuanya sumber idea. Namun kenapa waktu saya terbuang sebegitu rupa..permulaan dan penamat dah tersedia. Selebihnya bagaimana menggarapnya. Konflik, penyelesaian. Itu saja..Saya sangat kagum dengan rakan2 yang mampu menghasilkan karya dengan pantas. Sedangkan saya tidak seperti mereka..kengkangan waktu, tugas mungkin penyebabnya. Atau mungkin saya agak lemah dalam mengurus masa..aduhai..

Gemersik Muzik Gamelan Sedunia

Assalamualaikum,

Waktu sangat pantas berlari. Banyak yang tertinggal yang belum sempat dikongsikan bersama pembaca sepanjang 2008. Program-program besar yang turut menyenaraikan saya sekalipun sekadar menyibuk diri. SIMPOSIUM MUZIK GAMELAN DAN FESTIVAL GAMELAN SEDUNIA 2008 antara yang ingin saya kongsikan. Berlangsung 26 hingga 29 Ogos 2008. Peluang yang ada saya penuhi sepenuhnya. Menghayati muzik gamelan dan tari dari Jawa, Bali, Malaysia sendiri malah turut membawa kumpulan Muzik Gamelan dari United Kingdom dan Jepun. Saya sempat mendekati dan menginterview beberapa orang. Bukan sahaja menekankan kepada muzik gamelan itu sendiri malah turut mengambil peluang untuk meneliti costume mereka.




Kumpulan Gamelan Gianyar Bali dari Bali, di bawah pimpinan Dr. I Wayan Berata, Adiguru di Institut Seni Indonesia ( ISI).




Dari Surakarta












Prof. Dr. Rahayu Supanggah
Seorang komposer, penggubah, penulis. Antara sentuhan beliau adalah 'soundtrack' untuk 'Sureq Gahjo' yang diadaptasi daripada novel epik Indonesia pada abad ke 14.






Menjadi perhatian ramai, kumpulan Dendang Anak. Keunikan muzik dan lagu-lagu mereka. Turut dijemput pada malam pertama festival.



Selebihnya saya akan paparkan nanti. InsyaALLAH.

Wednesday, February 11, 2009

INNALILLAH HIWAINNA ILAIHIROJI UN

Telah pulang Lin ke Rahmatullah.

"Ya Allah ya Tuhanku, Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, engkau sembuhkanlah penyakit sahabatku sekaligus adikku, Haslinda Hashim dan sekiranya sudah sampai waktunya, engkau permudahkanlah segala urusannya. Sesungguhnya Ya Allah, Engkau Maha Pengasih...lantas saya ungkap, ' Amin'. Dada saya tiba-tiba berdegup kencang. Saya mengelusnya. Along muncul dan berdiri sejenak di depan pintu musolla tanpa sepatah ucap. Saya mendonggak melihat wajah sahabat saya itu. Cara Along merenung saya, saya seakan mengerti apa yang ingin along beritahu saya.
"Lin telah tiada lagi." Bisik along dengan suara separuh tertelan bersama tangis. Saya bangkit lantas melangkah ke arah along dan merangkulnya. Saya menenangkan along supaya menerima hakikat kehilangan itu. Saya memujuk supaya jangan menangisi pemergian itu. Saya nasihatkan along dan beberapa rakan yang ada supaya tenang dan tabah, sedangkan dalam diam saya menangis.
Sesaat saya bertafakur memikirkan keadaan Lin sebelum saya pulang ke pejabat. Saya membaca Surah Yaasin sebelah katilnya. Sambil membaca, saya beberapa kali menjeling pada angka-angka di mesin yang menyambung ke beberapa anggota badannya. Angka-angka yang semakin menurun dan menurun itu meruntum hati saya. sebaik sahaja selesai membaca, saya berdiri dan merenung wajahnya puas-puas sambil membisikan namanya, sekalipun saya menyedari, mungkin saat itu saya sudah tidak wajar membisikkan kata-kata lain selain dari ungkapan dan kalimah suci ALLAH. Setelah puas, saya meninggalkan Lin. Bukan untuk tempoh yang lama, sekadar pulang ke pejabat utk menunaikan solat zohor. Dan akan kembali sesudah itu. Namun segalanya terlambat, Lin menghembuskan nafas sebelum sempat saya kembali. Subhanallah..hanya Allah perasaan saya ketika itu. Sesungguhnya, bila ajal telah sampai saatnya, ia tidak boleh dilambatkan atau dipercepatkan walau sesaat.
Hari ini sudah 3 hari Lin pergi meninggalkan kami. namun namanya sering tersasul dari bibir saya sewaktu memanggil kawan-kawan saya yang lain. Pada petang tadi saya diberitahu kakaknya, dilaptopnya, hanya ada gambar-gambar saya bersendirian dan bersama-samanya. Dan dalam albumnya juga tersimpan banyak gambar kami berdua gambar saya bersendirian. yang disusun dengan rapi. Baru saya menyedari, sesungguhnya selama ini saya sentiasa ada di hatinya. Terima kasih Lin. Lin tetap di ingatan saya sekalipun Lin sudah tiada lagi di dunia ini. Dan tanggal 9 Febuari 2009-Isnin, tidak mungkin saya lupakan.
Kepada, pembaca blog budiman, kiranya ada kesudian di hati, marilah bersama-sama saya membaca surah Al Fatihah untuk disedekahkan kepada Allahyarhamah Haslinda binti Hashim atau Lin dan orang yang terdahulu daripadanya kembali ke Rahmatullah. Semuga roh mereka dicucuri Rahmat dan ditempatkan bersama roh para solihin. Amin.

Tuesday, February 3, 2009

KAMI INGIN KAMU ADA

ASSALAMUALAIKUM

Telah melebihi 15 hari saya tidak menulis di blog, itu bermakna telah melebihi tempoh tersebut juga resah mendesah dada saya. Wajah sahabat juga adik pada saya memenuhi ruang ingatan saya. Linda atau saya memesrakannya dengan menyebut Lin terlantar di hospital dan sudah hampir seminggu di tempatkan di bilik rawatan rapi. Bernafas dengan bantuan alat bantu pernafasan. Kelmarin, saat saya mengunjungi Lin, beberapa wayar kelihatan tersambung di beberapa bahagian badan dengan beberapa buah mesin di sebelah menyebelah. Hati saya redah melihat keadaan itu. Saya merenungnya seperti tidak ingin saya lepaskan daqri pandangan mata saya. Senda guraunya bermain di ingatan saya. Sekalipun Lin tidak banyak bercakap, namun di mata saya Lin memiliki ‘sense of humor’ yang tinggi. Saya sering tersenyum bila mengenangkan lawak-lawak spontan Lin. Namun semenjak Lin terlantar, semuanya tidak lagi saya dengari. Saya tidak lagi mendengar suara tawanya. Saya tidak lagi melihat senyumnya. Apa yang tampak di mata dan hati saya adalah kekuatan semangat Lin berjuang melawat sakitnya. Semalam seperti selalu, saya mengunjunginya. Saya menyentuh jemarinya. Saya mengelus lengannya, pipinya. Saya bisikkan ungkapan semangat untuk Lin.
“Lin…kuatkan semangat. Lin akan sihat. Kami semua bersama Lin..kami sayangkan Lin” Bisik saya.
“Lin jangan lupakan ALLAH. ALLAH..” Bisik saya beberapa kali. Saya terkedu melihat sudut mata Lin yang basah. Ya ALLAH. Saya yakin dia dapat mendengar ungakapan saya. Lantas saya terus membaca surah YAASIN sambil menggenggam erat jemarinya. Sepanjangnya airmata saya mengalir tanpa henti. Saya tidak hiraukan beberapa pasang mata doctor yang memandang ke arah saya. Setelah selesai Kalam TUHAN itu saya bacakan, sekali lagi berbisik.
“Lin…kami ada dan akan selalu jenguk Lin.” Kemudian saya melangkah meninggalkan Lin. Malamnya saya tidak mampu melelapkan mata. Dan saya yakin, Along, Kin, Dah dan Da seperti saya. Mereka antara rakan-rakan yang sering bersama-sama Lin. Minum Pagi, Lunch dan sesekali mengenakan minuman petang bersama. Semua itu membuat saya rindukan saat sihat Lin. Saya rindukan senyum Lin. Saya yakin hal yang sama juga dirasai oleh teman-teman lain selain daripada kami berlima. Semua itu jelas dilihat pada kunjungan rakan sepanjang Lin di hospital. Ruang yang menempatkan sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi, sentiasa penuh dengan pelawat. Tidak putus-putus, malah ada yang bersembahyang hajat memohon agar Lin cepat sembuh. Itulah petunjuk TUHAN bahawa Lin adalah seorang insan yang disayangi ramai orang. Dan di pejabat kami, setiap orang menghimpunkan doa untuk Lin supaya cepat sembuh. Supaya dia kuat dan supaya dia tabah dalam menghadapi ujian TUHAN.
Kepada rakan-rakan pembaca, saya memohon agar sama2 berdoa untuk Lin.
YA ALLAH TUHAN YANG MAHA PENGASIH DAN PENYAYANG, TUHAN YANG MEMILIKI SELURUH KEKUASAAN. RINGAN DAN SEMBUHKAN PENYAKIT LIN. RINGANLAH DERITA YANG DITANGGUNG OLEH LIN. HANYA ENGKAULAH TUHAN KU PENYEMBUH SEGALA PENYAKIT, SEMBUHKANLAH SAHABAT KAMI. AMIN.