Followers

Sunday, May 24, 2009

KITA SEPERTI SATU.....

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sudah beberapa hari saya tidak berkesempatan untuk menulis di blog. Waktu dan kesibukan seakan menghalang hasrat saya untuk sering menulis dan menulis di blog. Selama seminggu saya sibuk dengan Perayaan Hari Muzium Antarabangsa dan Terengganu dipilih sebagai tuan rumah. Seluruh muzium di Malaysia mengambil bahagia dan termasuk tiga buah muzium dari Sumatera Selatan. Pertemuan dengan ’adik beradik’ muzium di celah-celah kesibukan tetap menggembirakan. Dan saat berpisah pilu sempat bergayut di jantung masing-masing. . Alhamdulillah malam kelmarin penyudahnya. Lega satu babak rasanya. Namun letihnya masih terasa. Hari ini saya ke ofis seperti biasa. Merenung fail-fail yang menimbun. Aduhai...masih ada projek besar yang belum selesai. Saya termenung jauh. Jauh dan jauh. Ingatan saya terjamah pada penulisan yang belum juga saya siapkan. Saya seperti hilang semangat. Saya tercari di mana kekuatan saya selama ini. Ingatan saya menular pada teman-teman penulis. Siti Rosmizah...wajah jernih dengan senyumnya tergambar di ingatan saya sewaktu pesta buku yang baru lalu. Setelah mendapatkan nombor contact Siti terus saya menelefon beliau. Wah! Bukan main gembira saya mendengar suaranya. Kami bersembang panjang. Sempat Siti memberi komen terhadap HANYA SEBATAS INI. Meremang bulu roma saya saat Siti berbicara tentas HSI. Ternyata Siti telah berada di dala HSI sewaktu menghayatinya. Terima kasih dik. Itulah yang kak Ndah ingin untuk setiap karya. Paling berharga ungkapan Siti. ” Saya dapat banyak belajar melalui HANYA SEBATAS INI. Dan, Kak Ndah, setelah saya membacanya saya bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini dan tidak diuji seperti watak2 dalam novel Kak Ndah” Saya terharu mendengarnya. Komen dari seorang penulis yang namanya disebut-sebut oleh peminat novel tanahair. Akhir kata Siti menamatkan perbualan dengan ungkapan, ”sangat senang kenal dengan kak Ndah dan Dyza.” Terima kasih dik. Kita adalah satu. Tidak ada yang ingin naik dan memijak orang lain. ”Kak Ndahpun bahagia degnan pertemuan dan persahabatan kita.” Ungkap saya datang dari sudut hati yang paling dalam. Mudah-mudahan saya dikelilingi oleh sahabat, rakan-rakan yang menyenangkan hati. Salam terindah buat semua pembaca dan buat Siti Rosmizah. Teruskan sekalipun daam sejuta rintangan dan ujian.
Wassalam.....

Thursday, May 14, 2009

SEMINAR ANTARABANGSA TENUN NUSANTARA

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Saya baru pulang dari Kuantan, menghadiri satu seminar anjuran Jabatan Kerajaan Negeri Pahang, Muzium Malaysia (JMM), Muzium Negeri Pahang dan Akademi Pengajian Melayu UM. SEMINAR ANTARABANGSA TENUN NUSANTARA: Kesinambungan Tradisi dan Budaya yang diadakan di Hotel Vistana, Jalan Teluk Sisek, Kuantan. Merupakan satu pengalaman yang sangat berharga. Apa tidaknya, peluang berjumpa dengan teman-teman dan orang-orang hebat luar dan dalam negara. TENAS AFFENDY, PROF. SITI ZAINON ISMAIL, DRS. HIRFAN NUR M. SN, FADLIN MUHAMMAD DJAFAR, DR. NORWANI HJ. NAWAWI, ERLINDA FITRIAWATI, DR. MOHD NEFI IMRAN dan beberapa orang lagi antara presenter yang membuat saya tidak rasa letih terlekat di kerusi. Tajuk-tajuk yang dibentangkan adalah akrab dengan jiwa dan bidang tugas saya. Apa yang lebih membangga lagi, seminar tersebut turut dihadiri KEBAWAH DULI YANG TERAMAT MULIA TENGKU PUAN PAHANG, TUNKU HAJJAH AZIZAH AMINAH MAIMUNAH ISKANDARIAH yang begitu mesra rakyat dan begitu mencintai seni warisan budaya tradisi. Semuanya membuat saya tidak letih malah jika ada peluang dan diberi kesempatan, peluang-peluang seperti itu tidak mungkin saya lepaskan. Saya lampirkan foto yang sempat saya rakamkan di sana. Wassalam.

ANTARA KOLEKSI NOVEL PRIBADI






Assalamualaikum dan salam bahagia..
Penyakit membeli buku telah lama menjangkiti saya..kadang-kadang tanpa dirancang. Bila melintasi toko-toko buku saya akan singgah dan pasti berdiri sambil membelek-belek novel-novel di rak. Saya akan mengambil waktu untuk membaca sinopsis. Bahasa akan menjadi tarikan utama selebihnya jalan ceritanya, namun nama-nama watak turut saya perhatikan. Pelikkan? Pada awalnya, novel penulis wanita menjadi pilihan utama saya. Namun, mutakhir ini, pilihan saya berubah kepada penulis lelaki. Nama-nama seperti Faisal Tehrani, Habbiburahman, Murad Arsyad, Harun Abdulmajid, H.M Tuah dan lain-lain penulis tanahair mula menjadi pilihan saya. Saya ingin menyelami wanita dari sudut pandangan dan pemikiran seorang lelaki. Ayat-ayat Cinta misalnya yang meruntun hati tersohor dan mendapat pujian hebat. Saya mula ingat, Novel cinta yang pertama pernah saya baca adalah karya HAMKA, Tenggelamnya Kapal Vanderwich dan HARTINI karya Aziz Afka. Waktu itu saya baru berusia 13 tahun. Sepanjang menghabiskan kedua novel tersebut, saya menangis tersedu. Nama-nama watak seperti Zainudin, Hayati, Hartini dan Amli masih bermain di ingatan saya sehingga ke saat ini. Hebatnya. Kehebatan dan kekuatan keduanya masih diperkatakan sehingga ke hari ini. Semua itu menjadi sumber inspirasi kepada saya yang masih terkial-kial dan merangkak ini dalam dunia penulisan novel.

Kesungguhan, keikhlasan, berdoa dan tawakkal pada saya penentunya. Salam Bahagia.

Monday, May 11, 2009

IBU dalam mata dan hatiku

Assalamualaikum...
Saya seakan tersentak menerima ucapan Selamat Hari Ibu. Ingatan saya terus tertancap pada wajah ibu. Wajah wanita yang melebihi 80 tahun usia itu jelas di mata saya. Entah kenapa saya menjadi rindu sekali wajah itu dapat saya tatapi saban hari. Saya mula terpikir banyak perkara tentang ibu dan tentang perhatian saya pada ibu selama ini. Kesibukan saya dengan tugas-tugas dan urusan peribadi membuat saya lupa untuk mengukir ucapan yang serupa buat ibu. Subhanallah..anak apakah saya ini? Sedangkan saban petang ibu menapak ke rumah saya dan selepas subuh ibu akan menapak pulang ke rumahnya yang hanya beberapa ratus meter dari rumah saya. Tanpa rasa jemu dan marah dengan rutinnya seperti itu. Dada saya mula dihimpit rasa sebak. Saya masih ingat bagaimana ibu meriba kepala saya dan adik beradik yang lain bila kami diserang demam. Dengan menceduk air dengan jemari, ibu menjelum kepala kami sehingga kami tertidur di ribaan ibu. Sarung yang dipakai ibu pasti basah, tanpa berganjak ibuntetap menjelum sehingga kami kembali tersedar. Malah sehingga ke saat inipun, ibu akan berbuat demikian pada setiap kali saya mengadu panas kepala. Ya Allah Tetapi saya tidak pernah berbuat demikian pada setiap kali ibu mengalami situasi demikian. Ini disebabkan ibu tidak pernah merungut atau mengadu kepada saya dan adik beradik yang lain bila setiap kali ibu demam atau sakit kepala. Pada ibu, anak-anak tidak perlu diganggu. Anak-anak ada komitment pada keluarga dan diri sendiri. Itulah ibu saya.

Saya mula menghitung waktu. Saya tidak sabar untuk pulang menemui ibu. Saya tidak sabar untuk memeluk, mengucup dahi dan menciumi ibu. Saya memandu dengan laju. Sesampai di rumah, wajah ibu menyambut saya dengan senyum. Subhanallah hanya Tuhan yang tehu perasaan saya. Dada saya ringan dan badan saya melihat ibu berdiri di depan. Saya bersyukur kepada Tuhan yang masih memberi ruang dan kesempatan untuk saya membaiki kesilapan saya selama ini. Mudah-mudahan ruang dan kesempatan emas ini memberi peluang sepenuh untuk saya berkhidmat kepada ibu, Kepada pembaca yang masih ada ibu, marila kita sama-sama berbuat segala kebaiikan untuk insan yang bergelar ’ibu’. Selamat hari Ibu kepada semua yang bergelar ibu.

Wassallam.

Friday, May 1, 2009

'KEEP IN TOUCH' Saya hanya tersenyum..

Alhamdulillah...
Kini saya kembali di meja kerja. Kerja yang menimbun. Bukan terletak di fail tetapi dalam kepala dan separuhnya dalam beg yang saya jinjing ke sana ke mari. Pertemuan dengan beberapa informer yang mewakili setiap kaum di Malaysia memberansangkan. Mr. Cedric, Mr. Jaya Kumar, Pn. Marina Danker mewakili masyarakat Portugis dan yang terbaru, Saya mampu tersenyum dengan usaha awal yang agak berbaloi. Dan pertemuan terbaru saya dengan En. Amran Nasarudin yang mengaturkan pertemuan saya dengan Mr. Harchran Sigh, wakil masyarakat Sikh. Semuanya membuat saya merasa lega. Usaha awal untuk projek yang agak besar yang akan dirasmikan pada awal Jun nanti. Dan pertemuan dengan En. Amran Nasarudin mengejutkan saya. Sudah beberapa kali bercakap melalui telefon, tidak pernah saya terfikir orang di depan saya itu adalah pelakon drama akhir 90 an dahulu dan masih lagi ada wajah-wajah beliau dalam drama-drama TV mutakhir ini. Saya masih ingat satu drama lakonan beliau menjadi kontroversi dan hangat diperkatakan di media seluruh negara. Dia tersenyum, bila saya menyentuh tentang isu tersebut. Pada saya beliau lebih segak di luar kaca TV dengan wajah yang bersih dan senang ditatap (Mungkin kerana saya salah seorang peminat beliau. Maafkan saya En. Amran ) Mungkin kerana itu saya hampir tidak mengenalinya. Namun bukan itu saya utamakan, yang penting perbincangan dan usaha saya pada pertemuan singkat itu menampakkan laluan yang mudah dan saya berharap ia pembuka jalan untuk urusan-urusan seterusnya.
”InsyaALLAH, pihak kami akan memberi kerjasama.” Janji beliau. Sewaktu saya melangkah meninggalkan beliau yang menghantar hingga ke pintu hadapan pejabatnya.
”Ndah, keep in touch!” ungkapnya disusuli senyum. Saya ikut tersenyum. Terima kasih atas segalanya bisik saya dalam diam. Bidang tugas yang memerlukan saya berhadapan dengan ramai orang membuat saya agak mewah dengan watak dan perwatakan. Benarlah ungkap Aisyah dan Siti Rosmizah pada pertemuan yang baru berlalu.
”Menarik kak Ndah. Pasti kak Ndah banyak bahan untuk dituliskan.” Saya hanya tersenyum. Mana mungkin kalau hanya mewah bahan, tetapi ketandusan idea untuk menggarap. Ah! Itulah masalah utama untuk seorang penulis kecil seperti saya. Terima kasih pada semua pembaca.
Wassalam.