Followers

Saturday, October 31, 2009

RINDUKU


Sesekali engkau datang
lantas mengetuk kamar ingatku
tentang pertemuan itu
di ladang yang kita pernah
memetik buah cinta
yang ranum
dan merasa hampa
saat ingin menikmatinya
ia terlepas dari genggaman.

Lalu kita sama-sama
membiarkan ia kering
dan dihembus angin

Kini aku menjadi rindu
saat pertama kita bertemu.

Wednesday, October 28, 2009

Renung-renungkan...

Assalamualaikum,
Mereka kadang-kadang terabai oleh kesibukan. Membesar tanpa sedar di depan mata. Malah dibesar dan di didik oleh orang asing dalam rumah sendiri, tanpa kita sedar anak kita terpenjara, terdera emosi yang diselindungi oleh senyum bicara manis di depan kita. Apa yang bakal kita depani nanti oleh anak-anak kita yang hilang kepercayaan diri, keberanian dan yang paling kita takuti hilang kemerdekaan jiwa. Belum lagi aspek kepupusan jati diri dan budaya...Renung-renungkanlah.





















Saturday, October 24, 2009

BIAR AYAH YANG BACA...

Assalamualaikum dan salam hormat buat semua,
Merenung ketiga-tiga karya saya, sebak dan ngilu di dada. Saya kembali melihat zaman lalu saya, yang sarat mimpi. Saya menulis dan menulis apa saja, lalu saya hasilkan menjadi cerpen. Ia dibaca di sekolah, dibaca oleh guru di depan kelas, mendapat pujian bukan hanya di kelas saya, tetapi juga si kelas-kelas lain. Saya hanya tersenyum dan pulang memberitahu ayah mengenai kejayaan saya itu. Ayah yang hanya saya panggil Chek itu tersenyum dan mengelus-negelus bahu saya. Kata ayah, menulislah! Anak ayah mampu menulis. Selepas itu ayahlah yang menjadi editor saya, bukan dengan membaca karya-karya saya, sebaliknya mendengar karya yang saya bacakan kemudian ayah menegur cara garapan dan penggunaan dialog-dialog yang saya utarakan. Kata ayah, kalau ingin jadi penulis, jadilah penulis yang mampu mendidik. Mata pena itu lebih tajam dari mata pedang. Apa yang kita tulis itu adalah saham untuk dibawa ke akhirat. Dan kata ayah lagi, setiap penulisan harus memikirkan, bahawa kita akan tinggalkan pada anak cucu dan genarasi akan datang. Jangan sampai anak cucu kita mengutuknya. Tulislah dengan ikhlas, maka orang yang membaca juga menerimanya dengan ikhlas. Saya hanya mengangguk tanpa mengerti apa-apapun maksud yang ingin disampaikan oleh ayah pada saya. Seperti janji ALLAH, Ayah pergi tanpa sempat menjadi ‘editor’ pada karya saya namun pesan dan kata-kata ayah sentiasa mengekori saya. Penuliskah saya sebagaimana acuan ayah? Saya merenung karya-karya saya. Saya tidak sehebat rakan-rakan penulis yang lain, rata-rata mencatat jualan yang begitu tinggi, diperkatakan peminat novel tanahair. Itu bermakna karya-karya rakan-rakan saya diterima pembaca tanahair. Di mana saya sebenarnya. Di penjuru mana saya terpinggir? Kadang-kadang saya tidak mampu menahan sebak. Andainya saat ini ayah masih ada, sudah pasti ayah akan katakan pada saya, sabarlah! Biar ayah yang baca. Airmata saya menitis. Saya tahu ayahlah peminat saya. Semasa hayat ayah sering menunggu saya menulis hingga jauh malam, dah ayah akan tidur setelah saya meletak pena di lantai. Kadang-kadang saya tertidur mendahului ayah. Dah ayahlah yang akan menyimpan pena dan kertas-kertas penulisan saya yang berselerak di hujung kepala saya. Semua itu membuat saya rindu masa lalu.
Kepada pembaca yang sudi membaca karya-karya saya, saya ucapkan jutaan terima kasih. Kepada penerbit, DBP dan Buku PRIMA dan seluruh kru penerbitannya saya kalungkan ucapan terima kasih. Kepada KARANGKRAF iaitu Team Majalah MIDI dan Team Mingguan Wanita terima kasih dan terima kerana sudi memilih novel saya untuk diterbitkan dalam siri novel mereka. ALFATIHAH buat ayah yang saya rindu.
Salam sayang dari Indah untuk semua.



Majalah MIDI


Mingguan Wanita

Ayah...ini hadiah saya untuk ayah, di celah-celahnya ada terselit cinta ayah

Thursday, October 22, 2009

CASTLE CINTA DEADAY dan Bila Sifu enggan pinjamkan bukunya..

Salam buat semua…
Alhamdulillah….saya pusing2 tengkuk dan leher, luruskan tangan dan jari-jari..saya nak tidur lena selepas ni. Lupa sejenak pasal menulis. Castle Cinta Deaday dah siap. Alhandulillah. Syukur sgt kepada ALLAH. Siap jugak CCD tu..So nak tumpukan pulak pada novel-novel baru. Kawan-kawan. Saya tak sabar nak cari novel baru Hani Fazuha dan tak sabar nak habiskan novel Fatin Nabila setelah berhempas pulas mempertahankan SYURGA DI HATI tak terbang ke Korea ke, Jepun ke... Dan janji pada diri sendiri tak akan meminjamkan pada sesiapa lagi novel koleksi pripadi. Kecil hati bila peminjam tak pulangkannya. Rasa mcm nak ketuk2 je jari…Mungkin ada yang cakap keterlaluan, bila di rak buku saya ada tertulis, sorry tidak untuk dipinjamkan. Kadang2 rasa mcm nak ketawa. Dalam rumah kita, rak kita, milik kita, kita labelkan macam tu…mungkin ramai yang senasib dengan saya. Tidak hairanlah, ramai penulis-penulis yang saya jumpa, mereka tidak sekali-kali meminjamkan koleksi peribadi pada orang lain. Saya pernah meminta dipinjamkan sebuah novel koleksi Ali Jusoh. Waktu itu dia hanya menjawab. “Oh…maaf, saya tak dapat pinjaman awak…” dalam hati saya, “sampainya hati sifu.” atau mungkin hanya pada saya? Kini baru saya faham, bila rak buku kelihatan longgar. Mungkin novel Hani Fazuha dan beberapa buah lagi yang menarik perhatian saya dan dah ada dalam kepala untuk dibeli dan ditelaah..Dan sekarang benar2 nak rihat. Jam dah 3 pagi.. Lenguh2 semuanya. Tidur saya sgt telat kebelakangan ini, buat saya terfikir bagaimana penulis-penulis dahulu menulis tanpa kemudahan spt hari ini namun dapat menghasilkan karya2 hebat dan harum dalam ingatan setiap pembaca. Fuh! Takjub. Tahniah kepada sifu dan orang 2 terdahulu. Salam sayang buat semua.

Monday, October 12, 2009

CUAINYA SAYA................

Hujan sangat lebat. Wiper kenderaan saya bergerak dalam kadar pantas. Sesekali lampu kenderaan dari arah hadapan menyilaukan pandangan saya. Emak di tempat duduk belakang hanya diam dan jarang bercakap dengan saya, bila saya memandu padaq waktu malam dan dalam hujan lebat begini. Mungkin bimbang mengganggu konsentrasi saya sewaktu memandu. Tiba-tiba deringan telefon di sebelah saya kedengaran. Ada rasa anih dengan nada deringan. Bila pulak nada saya ditukarkan. Saya mnengetap bibir. Tidak lain dan tidak bukan ini kerja Nabila.
Saya menjeling telefon sambil mencapainya. Subhanallah! Kenapa telefon suami, yang saya bawak. Rungut saya dalam diam. Saya menekan punat.
“Hello…”Suara seorang perempuan menyentuh pendengaran saya.
“Hello…ya?” Jawab saya sambil memberi perhatian pada pemanduan saya.
“Siapa awak ni?” Soalan yang paling saya tidak suka bila menerima panggilan. Tegang perasaan saya sejenak berdepan dengan soalan dan silau lampu dari arah hadapan.
“Awak call saya, awak tanya siapa saya?” terlupa saya telefon yg saya pegang adalah telefon suami saya.
“Saya Kakcik.” Jawab perempuan itu.
“Kakcik? Kakcik mana ni?” Soal saya pantas.
“Baik-baik..hujan lebat ni.” Emak saya mencelah.
“Saya Kakcik, saya nak call adik saya, ni nombor adik saya.” Suara perempuan di hujung panggilan jelas di telinga saya. Saya menjeling telefon di tangan saya. Dari cahaya lampu kenderaan dari arah hadapan saya dapat melihat telefon di tangan saya dengan jelas. Jantung saya berdegup.
“Subhanallah!”
“Adik saudari di mana?”
“Adik saya di klinik. Saya nak jemput dia.”
“Ya..ya..saya dari klinik jugak” Dah sah telefon di tangan saya milik orang lain.
“Ya ALLAH, saya jugak dari klinik ni. Telefon kami bertukar ni.” Jawab saya.
“Telefon ada dgn mak ni.” Celah mak saya di belakang. Saya menepuk dahi dan terus membelok ke Seven Eleven di hadapan saya.
“Macam ni, berdekatan dgn Seven E, jap lagi saya pusing dan hantar telefon awak.”
“Tak apa, saya akan ke sana.” Jawabnya. Saya terkedu. Cuainya saya. Andai kata dia memarahi sayapun, saya harus terima kemarahan itu. Baiknya pemilik telefon itu. Saya menunggu sebagaimana yang dijanjikan. Hampir setengah jam menunggu. Mak mula gelisah. Saya terpaksa menekan nombor panggilan masuk menggunakan telefon itu.
“Maafkan saya, sy terpaksa guna phone ni. Awak di mana?”
“Saya dah lama di Seven Eleven, UDM.” Jawabnya. Ya ALLAH, sekali lagi saya membuat silap besar.
“Saya di Seven Eleven Gong Badak. Tak apa awak tunggu saya yang hantar.” Jawab saya.
“Tak..tak apa, biar saya yang ke sana.” Jawabnya pendek. Hampir sepuluh minit,saya menunggu dan memerhati setiap kereta yang berhenti di hadapan saya. Dalam hujan lebat itu tiba-tiba seorang gadis berlari keluar dari VIVA lantas mendekati saya dengan basah kuyup. Ya ALLAH kesilapan dan dosa apa yang telah saya lakukan ni? Berkali-kali saya memohon maaf. Namun dalam basah kuyup itu, gadis itu tetap tersenyum.
“Maafkan saya kak dan Terima kasih.”
Saya benar-benar terpukul. Ia mengajar saya banyak hal. Ada orang yang sedia memohon pada kesilapan yang tidak dilakukannya dan sedia berterima kasih pada kebaikan yang tidak dilakukan oleh orang lain terhadapnya. Mudahan ALLAH memudahkan segala urusan dalam hidupnya. Amin.

Saturday, October 10, 2009

YA ALLAH..MASIH ADAKAH MEREKA INI?



Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog Indah,
Kota Padang digoncang dahsyat. Sangat menyayatkan hati saya, lebih-lebih lagi bumi itu pernah saya pijak. Pesisir pantai yang begitu indah juga pernah saya jejak. Malah beberapa gadis dan masyarakat tempat yang pernah saya interview untuk kajian saya juga masih terbayang di mata saya. Apa yang telah terjadi pada mereka. Saya membelek wajah-wajah mereka yang tersimpan dalam folder , wajah Arti, Diyan dan beberapa teman senyum segar dalam di sisi saya. Saya masih ingat, bagaimana Arti begitu beriya-iya mengucapkan terima kasih bila saya menghulurkan seratus ribu rupiah. ( kerana hanya note, nilai yg paling kecil dalam tas saya) Beberapa kawasan yang disebut-sebut, Pariaman, Sawah Lunto juga bermain dalam ingatan saya. Kawasan yang indah dalam pandangan mata dan hati saya. Gunung Singgalang, Merapi masih dalam ingatan saya. Perjalanan pergi balik dari Kota Padang ke Bukit Tinggi dan besoknya dari Bukit Tinggi ke Kota Padang. Semuanya masih panas di ingatan saya. Saat ini saya kembali membelek-belek wajah-wajah itu. Masih adakah mereka? Ya ALLAH kiranya mereka antara yang terkorban, cucurilah Rahmat ke atas roh-roh mereka.
Arti gadis yang saya temui berkerja di pusat

tenunan milik persendirian di Kota Padang.

Lapangan terbang Padang Padang dari udara, sempat saya ambil dalam penerbangan
ke Jakarta. Dan pada 17 Ogos 2008 saya sempat bersama
rakyat Indonesia merayakan Hari Kemerdekaan mereka.
Dan pada 17 Ogos 2009 yang lepas saya juga berada di Indonesia.