Followers

Thursday, February 25, 2010

PESTA BUKU TERENGGANU 2010 - Menemukan kami..


Anita Aruszi, Fatin Nabila dan Dyza Ainun.

Wednesday, February 24, 2010

PESTA BUKU NEGERI TERENGGANU-Berkumpulnya penulis2 anak Terengganu..

Assalamualaikum…
Seronoknya dapat berjumpa dengan rakan-rakan penulis hebat di PESTA BUKU TERENGGANU 2010 di PUSAT DAGANGAN TERENGGANU ( TTC ) Saya salah seorang yang dijemput bersama penulis anak Terengganu yang lain. Adalah sangat membanggakan apa bila orang-orang seperti kami dihargai sebegitu rupa.Sebanyak 19 karya dilancarkan hasil karya 15 orang penulis Terengganu dan DI HUJUNG RANTING antara yang turut tersenarai. Alhamdulillah ini kali kedua karya saya telah dilancarkan oleh Y.B. HAJI AHMAD RAZIF BIN ABDUL RAHMAN. Teringat saya dua buah novel terdahulu saya RINDU BERBISIK dan HANYA SEBATAS INI juga telah dilancarkan oleh beliau sempena majlis persaraan sifu, ALI JUSOH pada tahun lepas. Dan siang tadi, sewaktu saya naik ke pentas menerima sijil penghargaan, beliau sempat berseloroh, “ siapa beri nama INDAH HAIRANI.” Tidak terjawab oleh saya pertanyaan itu. Sekali lagi beliau mengajukan soalan yang serupa. Saya tersenyum sambil dengan pantas menjawab. Milik saya Y.B. Fuh! Apapun majlis itu menemukan saya dengan nama sedang meniti di bibir peminat novel tanahair, antaranya FATIMAH SYARHA, AIMI HUSNA, SHEILA WANI, RANIA FIRDAUS, HANNI RAMSUL sudah tentu ANITA ARUSZI, DYZA AINUN / AZAH KHALIDA, NUR HEZMA/ FATIN NABILA dan ANA WENTA. Orang lama tetapi masih hebat, NAWAWEE MOHAMMAD dengan dua buah tangan KUMPULAN PUISI & KUMPULAN SAJAK REMAJA. Itulah antara nama penulis-penulis Terengganu dan sebenarnya masih ada yang tertinggal. Sebagai anak Terengganu saya bangga dengan perkembangan ini. Tahniah kepada semua rakan-rakan saya. Saya teringat pada ungkapan, MATA PENA LEBIH TAJAM DARI MATA PEDANG. Sama-sama kita memaknainya….
Salam sayang dari Indah buat semua.
Wassalam.

Sunday, February 21, 2010

RINDU


Ketika resahku mengintai
di celah dedaun rhu
dan buih-buih ombak
di muara pertemuan itu
Kubisikkan namamu
pada malam yang sangat diam
agar kau bisa mendengarnya
ketika angin mendesir

Kulakarkan wajahmu pada dada pantai
ketika rembulan berwajah emas
agar kau bisa melihatnya
ketika ombak pergi
dan sebelum ombak datang
agar kau bisa mengerti
rinduku tidak pernah padam.

Saturday, February 20, 2010

CASTLE CINTA DEADAY akan menjawabnya...


Assalamualaikum…
Semalam saya terima panggilan dari Aishah yang lebih mesra dengan sebutan Chah sahaja. Suara manja turut membuat saya rindu pada Su, teman sebilik Chah.
“Kak Indah, sms saya kak ndah tak dapat ke?” Chah memulakan. Saya mengerutkan kening. Buzzle sms kedengaran sebelumnya, tapi saya biarkan.
“Tak pulak? Kenapa Chah?”
“Saya ada emel akak proof terakhir CCD, akak tengoklah.” Saya teruja mendengar kata-kata Chah.
“Covernya macamana Chah?”
“Ya nanti kami emel untuk akak.” Jawab Chah dengan nada ceria.
“Kak Ndah dah tak sabar ni…” Chah ketawa mendengar kata-kata saya.
“Ok..akak jangan risau. Ohya, kalau boleh akak send ASAP ya.”Ujar Chah. Saya tersenyum. As soon as possible.
“Ya sayang, Kak Ndah akak segera.” Balas saya pantas.
Malam tadi saya menyemaknya. Alhamdullillah pagi ni selesai. Lega rasanya. Menghayati CASTLE CINTA DEADAY dalam adunan dan doh padu. Saya tak sabar. Satu percubaan saya, HUMOR ROMANTIS. Semasa menggarapnya, adalah kalanya saya tersengih, adakalanya saya ketawa dan dia juga buat saya hiba. CASTLE CINTA DEADAY satu pencarian. Mana yang lebih akrab dengan saya, Remaja? Dewasa? Serius? Atau Humor? CCD akan menjawabnya nanti…
Salam sayang buat semua,
Wassalam.

Thursday, February 11, 2010

KALAULAH AKU MAMPU


Kalaulah aku mampu
mengejar senja yang pergi
akan kukutip bayang kita
yang tertinggal di batas padi
sambil mencari seruling yang tercicir
ketika kita berlari menjejak layang-layang
akan kurungkai
rindu masih tersimpan
pada senyum dan lirik matamu
ketika aku mengurai rambut
yang basah dan kuyup baju
ketika terjatuh di kali

Kalaulah aku mampu
kembali mengadap senja
tidak kubiarkan bayangmu hilang
agar kita bisa menjejak kenangan
dan kembali duduk di tepi kali
sambil aku membalas senyummu
yang tidak sempat kuberi
sewaktu kau melangkah pergi.

Kalaulah aku mampu
Aku akan kembali berlama di sini.

Monday, February 8, 2010

LEMARI SAYA KOSONG......Saya kehilangan..



ASSALAMUALAIKUM..
Saya tersentak...jam menunjukkan 3.00 pg. Suasana sgt. sepi. Ingatan sy berlari melihat 2 karya saya terbengkalai. MELUKIS REMBULAN dan DI HUJUNG RANTING 2. saya tidak mampu meneruskan tidur saya, dengan izin saya bangkit untuk mengadap laptop. Semalam saya dihubungi editor sy..."Ndah siapkan DHR 2...ramai pembaca meminta DHR disambung." Saya terkedu. Apa yang telah saya lakukan setelah usai CASTLE CINTA DEADAY? Jika dahulu, sebaik sahaja manuskrip dihantar ke publisher, kotak minda saya telah tersedia cerita baru. Dan saya sering menggunakan waktu-waktu seperti ini untuk menggarapnya. Baru saya sedar, lemari idea saya telah hampir kehilangan isinya...dan tanpa saya sedar saya banyak berubah? Kesungguhan yang saya miliki sebelum ini seakan telah luntur. Ke mana hilangnya motivasi diri yang selama ini saya sematkan dalam minda saya, untuk berjaya, kita harus korbankan banyak hal. Waktu bersenang lenang, tidur dan sebagainya. Teringat saya temubual Ahmad Fedtri Yahya dengan seorang penulis buku tentang lelaki, kata beliau setiap orang diberikan TUHAN waktu 24 jam, tidak terlebih dan terkurang. Jadi pergunakan waktu yang diberi itu sebaik mungkin. Kita yang mengurus masa. Bukan masa yang mengurus kita. Ya..mungkin selepas ini saya akan belajar mengurusnya dan kembali mengisi lemari yang yang hampir kosong. Dan merealisasikan impian saya untuk menyiapkan MELUKIS REMBULAN dan DI HUJUNG RANTING 2 serentak. MELUKIS REMBULAN besar maknanya pada saya. Selesai menyiapkannya merupakan satu penghargaan dan terima kasih saya buat insan-insan istimewa dalam hidup saya.

Mudahan ALLAH mengurniakan ilham buat saya dan mampu diterima pembaca, paling tidak, tidak ada pembaca yang ingin melontar karya saya ke dalam tong sampah sebagaimana nasib yang diterima DI HUJUNG RANTING. Sebagai insan yang lemah saya menerimanya dengan dada terbuka. Tidak semua yang baik di mata dan di hati kita, baik di mata orang lain. Sesungguhnya setiap yang baik itu datang dari ALLAH dan yang buruk dari saya. Dan saya telah memaafkan semua orang.

Salam dinihari dari Indah buat semua pembaca.
Wassalam.

Saturday, February 6, 2010

YANG INDAH....


Assalamualaikum….
Pagi ini sangat berbeza dari hari-hari biasa. Selesai subuh saya terus menarik langsir dan menguak jendela membiarkan sinar mentari pagi meyelinap masuk ke kamar. Saya berdiri sejenak di jendela. Kicau burung jelas di pendegaran saya. Ya ALLAH, sekian lama saya tidak menghayati suasana seperti itu. Selalunya waktu-waktu begini saya telahpun berada di dalam kenderaan untuk ke tempat kerja. Dan kalau hari-hari cuti begini, saya lebih menumpukan pada kerja-kerja rumah yang lain.
Damainya perasaan saya. Saya seakan baru pindah ke rumah ini sedangkan hakikatnya telah bertahun-tahun ia didirikan di sini. Lokasi yang jauh dari hiruk pikuk dan kebisingan kenderaan yang lalulalang. Baru pagi ini benar-benar saya nikmati suasana pagi sindah dan damai sebegini. Terasa betapa ruginya membiarkan keindahan yang selama ini terlalu dekat dengan kehidupan saya. Saya menyedut udara dalam-dalam. Keindahan dan kedamaian ini membuat saya kembali mengenangkan perasaan saya sewaktu menyiapkan HANYA SEBATAS INI. Dalam HSI, saya begitu banyak menggambarkan keindahan dan kedamaian alam ciptaan TUHAN untuk dikongsi bersama pembaca.
Sejenak dia merenung sekeliling, kebiruan pergunungan Ciremai; terakam dalam anak matannya dan terus ke halaman minda. Dia terkedu. Betapa indah bumi tumpah darahnya. (ms 184 )
Dia terbatuk kecil kemudian terhenti seketika di tepi anak sungai kecil yang bersih. Dasarnya pasir yang memutih bersama batu-batu kecil jelas dapat dilihat dari tempat dia berdiri.
Ah! Dia mengeluh kecil. Lantas dia melabuh duduk pada sebatang titian kecil yang menghubungkan ke dua batas pagi. Dia menjatuhkan kaki ke air. Sejuk mencengkam saat air menyentuh kulitnya.(ms 184 )
Mentari hampir terbenam menyerlahkan kuning keemasan mengensut perlahan di sebalik pergunungan. Dani Ramdani menarik kaki ke permukaan air lalu bangkit dan mengatur langkah menuju ke pondok. Sessampai di pondok dicapainya buku dan pena lalu terus melangkah meninggalkan sawah menuju ke rumah. (ms 186 )
Di negeri Nur Qaseh tidak ada gunung yang tinggi seperti di negara tumpah darahnya. Dia masih ingat negara Nur Qaseh memiliki jaluran pantai yang cantik dengan pulau-pulau yang indah. Alangkah enaknya kalau bisa menjejak kaki di dada pantai sambil berjalan beriringan dengan Nur Qaseh dan menikmati saat mentari menjengah dari perut laut. ( ms 187
)
Dua suasana keindahan yang berbeza antara dua negara yang tergarap dalam HSI. Kerana itu, setiap kali saya menghayati keindahan, ingatan mesti mengimbau pada kenangan sewaktu saya menyiapkan HSI. Kerana itu saya kategori HSI sebagai novel cinta romantic dan menikam kalbu.
CINTA TIDAK MEMILIKI WILAYAH ATAU PEMILIK KHUSUS. CINTA BOLEH DATANG DAN PERGI KEPADA SESIAPA JUA, TANPA MENGIRA STATUS, USIA DAN KEDUDUKAN.
Salam terindah dan sayang buat semua dari Indah.
Wassalam.

Wednesday, February 3, 2010

KATAMU....kataku...


Katamu,
akan kubawa engkau
ke satu daerah damai
pada malam yang indah
mendengar desir air
gemersik angin
dan syair cengkerik
di bawah cahaya purnama
di sebalik kemilau wajah di air
sambil kuajarkan engkau
mengukir puisi
pada dada batu
tempat kita diam berdua


Katamu,
Akan kudendangkan
syair rinduku padamu
sambil kau rebahkan kepala di bahuku
dan menyandarkan resah di dadaku
kita saling bercerita
dan berhenti
ketika kicau burung menyambut pagi
sesudahnya kita berangkat
menyalami perpisahan
dengan salam wangi

Kataku,
akan kuajak engkau
berlama di serambi
sambil menghitung
realiti.