Followers

Saturday, December 27, 2008

Kecilnya saya.....

Salam bahagia..
Baru seminggu saya meninggalkan K.Lumpur, dua hari lepas saya kembali lagi ke sana. Sekalipun keletihan perjalanan masih dirasakan, namun jemputan sesi pertemuan penulis-penulis Buku PRIMA tetap saya penuhi. Apalagi sebagai penulis baru, jemputan itu merupakan satu penghormatan pada saya. Terima kasih Buku PRIMA.

Sepanjang perjalanan dari penginapan ke Seksyen 15, Shah Alam, perasaan saya resah. Keresahan semakin terasa bila perjalanan tersekat-sekat. Di mana silapnya, saya sendiri tidak mengerti. Lebih meresahkan lagi bila kami terpaksa berpusing beberapa sebelum tiba ke lokasi. Tepat jam 3.45 petang tiba, program dah berlangsung. Saya bersama Dyza Ainun melangkah masuk dengan perasaan serba salah. Salah melangkah ke sudut paling hujung. Ia bermakna saya dapat melihat semua orang-orang di sebelah menyebelah saya.

Sepanjang sesi pertemuan itu, tidak sepatahpun kata-kata lahir dari bibir saya. Sekalipun dalam benak saya terhimpun hasrat untuk disuarakan. Penghargaan, pengharapan dan perasaan saya saat itu. Saya hanya menelan segala ungkapan dan kata-kata dari Pn. Sarah. Pada saya kata-kata itu adalah harapan dan kepercayaan pihak penerbit kepada kami dan dalam masa yang sama ia adalah peluang yang tidak harus kami pandang ringan.

Nama-nama besar seperti Ramlah Rashid turut ada di hadapan saya. Saya memerhati setiap wajah yang ada termasuk Siti Rosmizah penulis Andai Itu Takdirnya. Saya merasa sangat kecil di sisi mereka. Saya berbisik sendiri, kelewatan saya ada hikmah. Saya tidak perlu memperkenalkan diri, karya saya yang telah diterbitkan dan sejauh mana pencapaian saya. Hanya satu karya. Apa yang nak dibanggakan. Getus hati saya. Saya memeluk kemas manuskrip di tangan saya yang saya bawa bersama. Sebaik sahaja sesi selesai, saya terus keluar dengan menjingjing beg berisi manuskrip DHR. Manuskrip yang sepatut sampai ke tangan penerbit beberapa bulan yang lalu. Manuskrip saya serahkan dengan penuh harapan, agar ia mendapat tempat di hati editor dan seterusnya di hati masyarakat. Paling penting ia mampu mendidik masyarakat.

Di sini saya mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua krue Buku Prima istimewanya Pn. Sarah, En. Mohd Ali, Su, Aishah dan semua yang terlibat dalam menjayakan sesi pertemuan tersebut. Saya doakan agar Buku PRIMA semakin maju dn berkembang.

Kepada rakan-rakan penulis, saya ingin sekali berbual bicara pada peluang keemasan itu. tapi sayangnya, kata-kata saya hanya tersekat di kerongkong. Saya sangat berharap karya-karya kita mendapat sambutan pembaca. Kepada Kak Ila, Nek Cun dan beberapa yang lain sempat bergambar dengan saya. Terima kasih...saya akan abadikan dalam ingatan. Gambar-gambar tidak sempat saya sertakan kali ini, insya-ALLAH pada kesempatan akan datang.

2 comments:

Anonymous said...

Kecilnya kita yang penting masih bermakna minimal untuk diri sendiri maupun untuk keluarga....

Indah Hairani said...

salam...salam buat bang aswi..lama tak nampak..makasih kerana sudi singgah di anjung ndah...makasih juga atas komen yg diberi..