Followers

Friday, September 25, 2009

Terima kasih…terima kasih dan maafkan saya..saya berbisik sendirian.

Assalamualaikum dan salam hormat buat semua pengunjung blog Indah,
Masih belum terlambat untuk saya ucapkan Selama Hari Raya Idil Fitri, Maaf Zahir dan Batin dan saya secara jujurnya mengatakan bahawa saya telah memaafkan semua orang yang pernah saya kenali dalam hidup saya dengan sepenuh-penuhnya. Tidak ada sedikitpun tersisa di hati saya.
Telah empat hari berlalu 1 Syawal, dan Syawal kali ini sangat berbeza buat saya. Tidak ada sehelai baju rayapun. Sangat aneh, tidak seperti tahun-tahun yang lepas, saya seperti zaman anak-anak menunggu kehadiran Idilfitri sekalipun agak sedih untuk berpisah dengan Ramadhan AlMubarak, bulan yang sangat berkah itu. Dan saya seperti tidak percaya, membawa kamera ke hulu ke hilir, namun tidak ada satu gambarpun yang saya rakamkan. Sedangkan insan-insan yang saya cintai begitu bergaya dengan pakaian hari raya. Bahagia melihat Oyie, Onie, Oshie, Nabill dan sudah tentu gembira melihat insan tercinta lengkap dengan Baju Melayu Cekak Musang daripada kain tenun corak berdiri, bersamping songket teluk berantai dipakai secara berdagang luar. Saya tersenyum merenung sebuah wajah teduh dan membahagiakan itu. Sangat segak. Malah lebih segak dari waktu bercinta dulu. Selepas bersalaman dan memohon diampunkan segala dosa-dosa dan kesilapan saya sepanjang kami berkongsi hidup samada kesilapan itu secara sedar mahupun sebaliknya. sempat saya membisikkan.
“Abang terlalu segak.”
“Thank you very much” Jawabnya sambil merenung saya.
“Awak juga tetap cantik sekalipun tidak berbaju baru.” Saya hanya tersenyum sambil mengalih pandangan saya dari renungannya. Entah kenapa rasa sebak menyusulnya. Tiba-tiba dia mengeluarkan sesuatu dari belakang duduknya. Sebuah beg kertas dihulurkan pada. Saya memandangnya. Dia mengangguk. Saya terus membukanya, sepasang baju kurung teluk belanga berwarna unggu muda berada di tangan saya. Warna kesukaan saya.
“Pergi tukar. Sunat berbaju baru pada hari raya.” Ujarnya. Tersentuh hati saya. Pada saya bukan pakaian yang menjadi perkara utama, apa yang saya inginkan adalah keampunan dan kemaafan darinya dan dari semua orang yang akan saya temui pada Syawal itu. Saya manusia yang tidak lepas dari salah dan silap. Lebih-lebih lagi kemaafan darinya yang begitu banyak mengorbankan waktu dan emosi untuk saya sepanjang saya memberi perhatian kepada bidang penulisan. Dan saya tetap merasa bersalah terhadap pengorbanan itu. Terima kasih…terima kasih dan maafkan saya..saya berbisik sendirian.
Semalam saya terima dua pasang lagi baju dari tukang jahit tetap saya. Katanya, sepatutnya baju-baju tu dihantar pada saya dua hari sebelum hari raya sebagaimana dijanjikan dengan suami. Tidak hairanlah, baju yang dihadiahkan pada saya pada hari raya pertama tempoh hari masih bertanda harga. Sekali lagi saya terkedu. Bukan hanya kerana hadiah itu, tetapi kepekaan suami terhadap kesibukan saya selama ini. Saya memejamkan mata saya dan bersyukur pada ALLAH yang menemukan kami dan menyatukan kami seterusnya mengurniakan beberapa permata hati buat kami. Semuanya buat hari raya menjadi lebih bererti daripada pakaian baru buat saya.
Kepada pembaca, semua yang saya tulis adalah perkongsian perasaan saya dengan pembaca. Salam hormat dan bahagia dari Indah.

4 comments:

kakcikseroja said...

Salam Indah..
Selamat Hari Raya.. terharu kakcik baca ttg keprihatinan suami Indah.. Mudah2an dia setiasa membahagiakan sepanjang hayat, InsyaAllah.

Semalam kakcik pergi kedai buka. Cari juga novel Indah, tapi tak jumpa! :(

Indah Hairani said...

Waalaikumussalam kakcik, terima kasih kerana sudi mengunjungi blog Indah, tak ada perabut menarik kak.. apa lagi kuih yang enak-enak. Terima kasih atas doa akak untuk Ndah, pada Ndah selagi insan2 yang kita cinta masih ada, seluruh penghargaan perlu diberi, jika telah hilang dari kita, kita tidak dapat menebusnya terhadap orang lain...akak blum jumpa novel Ndah...mungkin akan ditambah nanti di toko2 buku di tempat akak. Salam hormat dari Ndah.

Rasha_rz said...

memang layak bergelar novelis romantis. macam cerita dlm novel, cerita Indah. penuh jiwa...

Indah Hairani said...

salam buat Illa....terima kasih...apapun genre, ada yg kita tidak dapat sembunyikan...diri kita. Syg dari Ndah..