Followers

Sunday, November 15, 2009

Rindu menggigit seluruh jiwa saya..


Assalamualaikum..
Hujan datang lagi, dari tempat saya menulis jelas dapat dilihat butir-butir hujan yang jatuh di cermin tingkap. Di langit masih kelihatan gelap. Ini bermakna hujan susulan akan turun lagi. Fikiran juga turut beku. Idea mungkin turut sejuk. Terasa kosong sangat. Untuk menulis sebaik puisipun tak mampu. Ke mana hilang semua yang pernah berlabuh dalam fikiran saya selama ini?. Saya memerhati lagi butir-butir hujan yang jatuh. Ingatan saya berlari mendekat kengangan berdekad. Musim yang basah. Hari pertama ke sekolah. Saya memegang lengan ayah sementara ayah menggalas adik lelaki saya untuk dihantar ke sekolah. Sebelah tangan ayah membimbit sebaldi air untuk mencuci kaki yang dicemari selut. Ayah akan mencuci kaki saya dan adik kemudian menyarungkan sepatu dan stoking. Setelah selesai ayah akan mengangkat kami melepasi pagar. Dalam hujan ayah menunggu sehingga saya dan adik hilang dari pandangannya. Ia berlangsung sehingga musim hujan berhenti dan saya dan adik tidak perlu lagi dicuci kaki dan disarungkan kasut dan stoking. Semua memori itu telah berlalu, namun setiap kali musim-musim hujan datang, saya seakan terdengar nafas ayah. Kini saya melihat butir-butir hujan seperti melihat butir-butir kenangan. Butir-butir kenangan yang sempurna sifatnya. Tanpa sedar terasa panas di sudut mata. Pandangan saya berbalam. Subhanallah…hanya DIA yang mengerti perasaan saya saat ini. Rindu menggigit seluruh jiwa saya. Ya ALLAH…
Kepada semua pembaca, maafkan saya kerana membawa semua ke dunia kesedihan saya. Salam sayang buat semua.

2 comments:

Bang Aswi said...

kenangan itu telah menjadi bagian dari kehidupan kita yang luar biasa kompleksnya. nikmati kenangan itu sebebas-bebasnya, laksana burung yang terbang tanpa dibatasi oleh daratan yang terbatas....

Indah Hairani said...

Makasih bang Aswi,
banyak kenangan yg tidak terkutip..alangkah baiknya andai ia bisa kita kembali nikmati..
wassalam.