Followers

Wednesday, October 12, 2011

SEPINTAS LALU DUNIA PENULISAN INDAH HAIRANI..saya tersenyum setiap kali saya membacanya..apalah saya ni!



Melihat masa lalu, saya tidak pernah terfikir bahawa hari ini saya sudah disebut penulis. Walaupun pada hakikatnya, saya mengimpikan untuk menjadi pengarang ( merujuk sepertimana kata-kata seorang rakan penulis, pengarang adalah penulis yang mampu menyusun aksara dengan indah dan baik )Saya tersenyum..

Saya bermula dengan mudah. Pada pandangan saya, untuk mula menulis kita harus menulis perkara-perkara yang dekat dengan kita. Kita akan mampu menulis dengan baik dan berkesan. Penulisan berkesan akan memberi kesan yang besar juga di hati dan dikenang pembaca sampai bila-bila. Saya masih ingat antara karya-karya besar yang kekal hidup di hati dan ingatan saya, adalah seperti karya HAMKA, TENGGELAMNYA KAPAL VANDERWICH, HARTINI karya AZIZ AFKAR dan SAGA, MERPATI PUTIH TERBANG LAGI dan beberapa karya lain. Saya sering bermimpi untuk melahirkan karya-karya sebaik itu.
Penulisan saya sebenarnya bermula dengan genre puisi kemudian melangkah setapak ke penulisan skrip drama radio, akhirnya saya tidak mampu menipu perasaan saya, bahawa saya meminati genre penulisan novel. Lantas pada awal tahun 2000, saya kembali membeli novel-novel dan kembali menjadikan novel sebagai sebahagian daripada teman hidup saya. Anehnya setiap kali selesai menghayatinya, berbagai persoalan berlegar di benak saya, kenapa begitu dan kenapa begini. Saya sering tidak berpuas hati dengan apa yang baru saya baca. Dari situlah terdetik di hati saya untuk menulis novel dan menghasilkan karya-karya mengikut keinginan sendiri. Setelah menulis, saya mula sedar, untuk menjadi seorang penulis dan memenuhi kehendak dan kepuasan setiap pembaca tidak semudah yang saya fikirkan sebelumnya. Seorang penulis harus mampu menjadi sesiapa juga. Dia harus mampu menjadi doktor, jurutera, hakim, polis dan sebagainya malah juga harus mampu menjadi penjenayah. Kemampuan mewujudkan watak dengan berkesan akan membuat pembaca boleh menjiwainya dan penulisan dianggap berjaya.
Novel pertama saya, RINDU BERBISIK terbitan DBP, 2008 setelah mengambil masa hampir 2tahun untuk diterbitkan dan telah meraih anugerah Buku Terbaik Kategori Remaja 2008. Pada tahun yang sama, novel kedua pula muncul, HANYA SEBATAS INI terbitan Buku Prima di bawah Grup Buku Karangkraf. Sementara tahun-tahun selepasnya lahir DI HUJUNG RANTING, CASTLE CINTA DEADAY terbitan yang sama. Terbaru dan telah dilancarkan baru-baru ini berjudul BERIKAN AKU RINDU juga diterbitkan oleh Buku Prima.

Saya sering ditanya, bagaimana saya mendapat idea untuk melahirkan sesebuah novel. Kehidupan kita seharian dikelilingi oleh alam dan khalayak yang berbagai karakter. Saban hari kita berdepan dengan pelbagai kisah masyarakat. Semua itu menjadi sumber inspirasi kepada setiap penulis termasuk saya sendiri. Gabungan idea dan garapan akan dapat menghasilkan sebuah novel. Dunia penulisan menuntut kita banyak berfikir. Malah untuk menghasilkan satu-satu penulisan, kita harus kreatif dan inovatif. Pada saya seorang penulis adalah seorang pendidik dan mempunyai tanggungjawab sosial yang besar. Mereka harus menyediakan penulisan yang bermutu yang mampu mendidik masyarakat. Tema-tema keganasan dan penyakit sosial perlu diteliti terlebih dahulu agar tidak menjadi pendorong masalah tersebut berleluasa seperti yang kita depani hari ini. Dan setiap penulis harus berani bertanggung jawab terhadap apa yang dituliskan.

Dewasa ini, kemunculan penulis muda yang berbakat begitu ketara. Syarikat penerbitan juga tumbuh dengan agak pesat, sudah tentu karya-karya juga diterbitkan dengan cepat. Senario ini merupakan satu perkembangan positif kepada dunia penulisan tanah air. Penulis-penulis sedia ada tidak harus merasa terpinggir sebaliknya jadikannya sebagai satu perangsang untuk bersaing dalam nada yang sihat.

Sekadar catatan skrip untuk wartawan dan setiap kali saya membacanya saya pasti tersenyum. Malupun ada...berlewah-lewah saya ni.
Salam sayang buat semua pengunjung Pena Indah Hairani.

No comments: