Followers

Wednesday, January 5, 2011

INGATAN TERMAHAL - Sebuah dedikasi buatmu

Saya dedikasikan puisi ini buat semua guru-guru, menghargai jasa mereka sebagai insan yang mendidik masyarakat menjadi siapa yang mereka inginkan. Puisi ini saya pernah deklamasikan semasa majlis pelancaran novel saya RINDU BERBISIK ( DBP ) dan HANYA SEBATAS INI ( BUKU PRIMA) yang disempurnakan oleh yg. Berhormat Tn. Hj. Razif Abd. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu. Pelancaran tersebut adalah bersempena majlis persaraan sifu saya Ali Jusoh yang lalu. Sifu yang sering merasa bangga dengan pencapaian saya. Terima kasih cikgu.
INGATAN TERMAHAL

Ingatannya melingkar
saat pertama menjengah siang
dan memberi salam pada matahari
di perbukitan daerah ilmu yang kumuh itu
seorang anak tidak bersepatu
dan berbaju putih lusuh
terduduk di bangku kayu
menunggu di bawah atap rumbia
dan berlantai tanah hitam
tanpa kertas dan pena.

Mata polos itu merenung tajam.

Dengan penuh rasa cinta
dia menghulur
sejumlah abjad
sebatang pena
selembar kertas
untuk disusun menjadi kosa kata
mencatat mimpi
dan melakar cita
yang sebelumnya tersangkut pada batu-batu sungai.

Dengan penuh rasa kasih
dia mengutip setiap abjad yang gugur
menajamkan pena yang tumpul
dan melakar kembali lembar yang luntur
pada setiap kali anak itu tertidur.

Kelmarin
saat dia terduduk
menakung lelah yang berdekad itu
seorang anak muda berdiri dengan senyum
menghulur selembar kertas
ada tercatat kata-kata.

“ TERIMA KASIH CIKGU”


Indah Hairani

Tuesday, December 7, 2010



Barangkali inilah ungkapan terbaik yang harus saya ungkapkan dan telah telah saya coretkan pada manuskrip terbaru saya DIA BERIKAN AKU RINDU yang telahpun usai pembikinannya sebagai sedikit penghargaan dari saya yang kadangkala mengabaikan mereka demi untuk sebuah penulisan. Tanpa pengorbanan, barangkali saya tidak mampu menghasilkan penulisan sebelumnya. Alhamdulillah.

Dengan kalimah Bismillahirahmanirahim
Kutitipkan naskah rindu
buat insan yang aku cintai
dan kuntum flamboyan cinta kami
yang sedang mekar
dan harum di taman
Oyie, Onie, Osyie, Bella
‘Dia berikan aku Rindu’
kupersiapkan di atas hamparan
pengorbanan kalian.

Thursday, December 2, 2010

Tuesday, October 26, 2010

Saturday, October 9, 2010

CINTA YANG PERGI

Pada remang senja berdarah

di atas tanah merah

kuletakkan jasad cinta

di tepi pusara

di bawah gerimis yang meluruh

ketika aku bersimpuh

ketika kutatap sengsaranya

airmataku menimpa

pada wajah yang bening

dan di atas bibir yang garing

telah pergi buat selamanya

meninggalkan setiaku yang dewasa

dan rindu-rindu yang melata

tidak akan kulihat lagi senyum

dan jeling mesranya

ketika menunggu

dan menghantarku

tidak akanku dengar lagi

zikir cinta kalimah rindunya

di telingaku.



Lalu ketika talkin dibaca

kubisikan dengan rawan

agar dia dengari

aku tidak ingin dia pergi

dan….

kuulangi berkali

Friday, October 1, 2010

TEMANI AKU REMBULAN


Temani aku rembulan

biarkan bintang-bintang lena

di kasur malam

dan mentari melepas lelah

di jidar senja

ketika ombak beristiharat

di labuhan



Temani aku rembulan

kita bersunyi berdua

melakar mata pena

mengalirkan tinta

mengatur askara

dalam bahasa cinta

yang dewasa



Temani aku rembulan

aku ingin menyebutnya

ketika hanya kita berdua.

KERANA SAYA BUKAN SIAPA-SIAPA


Beliau memandang ke arah saya dengan senyum. Tahniah! teruslah menulis..semuga berjaya. Ungkap beliau, sambil mencapai sebatang pena lantas mencoret sesuatu pada DHR. Saya terharu dengan kerendahan hati beliau kerana saya bukan siapa-siapa. Beliau yang saya maksudkan adalah YAB Menteri Besar Terengganu..catatan i...ni sangat bermakna buat saya. Terima kasih Dato' Seri..