Followers

Monday, September 8, 2008

IDIL FITRI YANG KULEWATI

Salam pagi, salam seindah matahari kepada semua pembaca yang singgah di anjung saya pagi ini. Dan hendaknya hari ini hari yang lebih baik dari hari semalam.

Pagi ini senyum saya seceria matahari, saat melangkah ke anjung blog, mata saya tertancap pada sekuntum matahari. Terima kasih Bikash menghadiahkan kak Indah sekuntum senyum matahari. Wah! terasa ceria bila anjung bertukar wajah dan warna. Lantas saya cuba meninggalkan jejak pagi di sini. Malam tadi sms dari Bikash, dan pagi ini, inilah hasilnya. Terima kasih dan terima kasih sekali lagi dik!. Setiap kebaikan walaupun sedikit ia tetap akan mendapat ganjaran, apatah lagi pada bulan-bulan mulia ini. Setiap ibadah sunat akan mendapat pahala wajib dan ibadah wajib akan berganda-ganda mendapat pahalanya. Sebut tentang puasa, kita tidak dapat memisahkannya daripada hari raya. Dan sebut tentang raya, mengingatkan saya kepada banyak nostalgia-nostalgia manis pahit pada raya yang pernah di lewati.
Zaman anak-anak saya tidak semanis zaman anak-anak yang lain. Anak-anak mewah akan sentiasa mendapat pakaian baru bila-bila masa yang mereka inginkan, paling tidak pada akhir bulan bila mak dan ayah masing-masing mendapat gaji. Namun hal itu tidak berlaku dalam zaman kanak-kanak saya. Saya dilahirkan dalam keluarga petani yang pendapatan hanya cukup menampung makan dan perbelanjaan sekolah. Kami lima beradik tidak mampu bermimpi untuk selalu bertukar-tukar pakaian. Lalu kehadiran hari raya setiap tahun adalah hari-hari yang sangat-sangat kami tunggu-tunggu. Selalunya kak long yang diberi perhatian, selebihnya baru adik-adik. Dan sebagai anak ke tiga dan anak perempuan yang paling akhir, saya paling terpinggir. Bukan kerana ibu dan ayah tidak adil, tetapi hakikatnya saya bukanlah dapat keluar beraya sebebas sebagaimana kakak-kakak yang lain. Selalunya pakaian untuk saya, Ibu akan belikan saiz yang ngam-ngam dengan badan saya tidak seperti baju-baju kak long dan kak ngah yang lain. Alasan ibu, pakaian kakak nanti boleh diberikan pada saya, sebaliknya pakaian saya, tidak dapat diberikan pada adik-adik yang lain. Kerana dua adik selepas saya adalah lelaki.
Dasar-dasar penjimatan telah ada dalam keluarga kami. Kami beruntung, kerana ibu pandai menjahit, jadi pakaian kami tidak pernah bertempah termasuk pakaian kedua adik lelaki. Selalunya pakaian saya dijahit paling akhir oleh Ibu selepas pakaian adik beradik lain selesai. Sehingga hari ini saya tidak mengerti kenapa ibu berbuat demikian. Dan setiap kali Ibu menjahit pakaian untuk saya, saya akan duduk di hadapan Ibu menunggu hingga siap. Pada satu tahun perayaan, Ibu ubah trend, pakaian untuk saya dijahit terdahulu daripada adik beradik yang lain. Saya menunggu saat-saat ibu menjahit baju untuk saya, sehingga pada malam raya, Ibu langsung tidak menyebut tentang baju untuk saya sedangkan adik beradik yang lain telahpun siap tersangkut di dalam almari dengan rapi. Saya mendapatkan arwah ayah yang saya panggil Chek, langsung saya menangis. Chek hanya diam sambil mengelus kepala saya. Pada malam raya tersebut saya tidak dapat melelapkan mata sedangkan adik beradik yang lain telah berdengkur kerana tidak sabar menunggu hari esok.
Pada awal pagi kak long, kak ngah dan adik-adik telah bangkit untuk mandi sedangkan saya masih di tempat tidur menyembunyikan tangis di sebalik selimut. Saat itu tidak tersapu airmata saya. Beberapa kali kak ngah dan kak long mengejutkan saya, namun saya hanya membatu. Pada saya tidak ada hari raya pada tahun itu. Akhirnya suara kakak dan adik-adik saya tidak kedengaran lagi. Saya membuka gebar menatap lelangit kelambu yang kosong. Hiba dan terasa pilu. Tiba-tiba terdengar tapak kaki mendekati ruang tidur saya. Saya kembali memejamkan mata. Terasa tangan kepala saya diusap.
”Adik bangun, tengok Chek bawak apa ni?” Suara lembut Chek menyentuh pendengaran saya.
Waktu itu saya dibahasakan sebagai adik, kerana saya anak perempuan yang paling akhir. Saya membuka mata. Kelihatan Chek dan Ibu berdiri di hadapan saya dan di tangan Ibu ada sepasang baju kurung berkerawang benang berwarna keemasan yang sering saya merengek memintak dari ibu sebelumnya. Saya kembali menangis sambil memegang tangan Chek dan Ibu dan bangkit untuk ke perigi.
”Jangan menangis lagi. Nanti tak cantik” ujar ibu dengan senyum sambil memandang ke arah
Chek yang sedang menyarungkan baju untuk saya. Chek menyeka airmata di pipi saya.
Sehingga hari ini kenangan itu sangat menyentuh hati saya, dan sehingga ke saat ini saya tidak mengerti kenapa ibu membuat kejutan sehingga sedemikian rupa. Namun saya tetap menyedari bahawa Chek dah Ibu sangat-sangat menyanyangi saya dan anak-anak yang lain. Dan bila mengenangkan semuanya airmata saya sering tergenang.
Terima kasih Ibu dan Alfatihah buat arwah Chek.
”Chek , chek adalah seorang ayah terbaik di dunia ini.”

4 comments:

cempaka_sari said...

salam seindah mentari..

terkesan dihati dgn aidil fitri sdr indah..pasti ssiapa yg singgah di blog ini sedemikian rupa!!

kenangan..emmm..bagaimana rupa kenangan tp ia tetap terindah!!

faisol said...

terima kasih sharing info/ilmunya...
saya membuat tulisan tentang "Mengapa Pahala Tidak Berbentuk Harta Saja, Ya?"
silakan berkunjung ke:

http://achmadfaisol.blogspot.com/2008/08/mengapa-pahala-tidak-berbentuk-harta.html

semoga Allah menyatukan dan melembutkan hati semua umat Islam, amin...

salam,
achmad faisol
http://achmadfaisol.blogspot.com/

Indah Hairani said...

Terima kasih cempaka..kita saling memiliki nostalgia dan ia tetap indah bila ia semakin kita tinggalkan

Indah Hairani said...

Terima kasih juga kepada sdr.faisol kerana sudi kunjungi blog saya...ya sesutu yg baik harus dikongsi..mudahan manfaatnya juga diperolehi bersama..