Followers

Sunday, September 7, 2008

KAD RAYA - BANGKITKAN RINDU

Sudah beberapa waktu saya tidak menulis blog. Hanya sesekali meninggalkan puisi sekadar berkongsi pemikiran dengan pembaca budiman. Waktu begitu pantas berlari, tanpa kita sedari kita telahpun berada di hari ketujuh Ramadhan. Selamat berpuasa kepada semua pembaca. Hendaknya ia belum lagi terlambat.

Semalam saya ke kedai buku di bandar Kuala Terengganu. Kedai yang sering saya kunjungi setiap ada kelapangan waktu atau pada hujung-hujung minggu. Sambil menilik pada rak-rak novel, saya sempat menjeling pada rak yang dipenuhi dengan kad-kad raya berbagai rupa dan konsep. Saya membelek-belek dan beberapa kad lukisan-lukisan kartun dengan berbagai lakaran karektor. Tampak pada bahagian hadapan bersahaja dan sesuai dengan konsep kartunnya, namun bila dibaca pada bahagian dalam, ternyata kata-kata agak menyentuh. Antara kata-kata yang sempat saya rakam di kotak ingatan saya.
”Sekalipun awak tidak mesra, namun saya tahu, saya tetap ada di hati awak!”

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya hanya menghantar kad-kad raya maya melalui emel dan sejak itu, saya tidak menunggu kehadiran posmen ke rumah atau ke ofis untuk kad-kad raya. Pada saya kad maya lebih baik. Ia tidak memerlukan duit stem, tidak perlu ke pejabat pos, tidak perlu beratur dan berbagai alasan yang saya ada-adakan. Apalagi kad-kad maya itu disediakan secara interaktif dan begitu kreatif. Namun pada tahun ini saya mula merasakan satu kelainan. Saya mula merasa rindu untuk menerima kad-kad seperti beberapa tahun yang lalu. Kad yang boleh dipegang, disimpan dan dibuka bila-bila masa bila diperlukan. Saya rindu untuk menerima kad-kad yang boleh saya buka sampulnya, kemudian saya belek dan saya baca. Saya juga ingin teman-teman saya merasai apa yang saya rasa saat itu. Lantas saya membelek beberapa keping kad sambil mencongak-congak teman-teman yang sempat muncul di ingatan saya saat itu. Saya ingin kembali kepada masa lalu.

Sesampai di rumah saya kembali memikirkan beberapa orang teman-teman yang tercicir. Saya senaraikan sebagaimana yang muncul di benak. Subhanallah! Rupanya masih ramai teman-teman saya yang melekat di dada saya. Saya perlu menambah sejumlah lagi kad-kad untuk mereka. Insya-ALLAH tengahari nanti saya akan mengambil sedikit waktu untuk ke kedai itu lagi. Dan kepada rakan pembaca yang teringin untuk menerima kad raya tulislah alamat lengkap. Mudahan silaturahim sesama ummah makin berkembang. Sekali lagi saya ucapkan selama menjalani ibadah puasa dan selamat menyambut Hari Raya Idilfitri.

4 comments:

Anonymous said...

rembulan menangis
menumpah selaut kasih
dan bermukim di hati
dalam waktu yang sekian lama
kuuntai awan
lalu kuusap wajah rembulan
dan airmata yang gugur
sempat menimpa hati-hati kita
......hanya sebatas ini!

Indah Hairani said...

Terima kasih cempaka sari..datanglah dan berkunjunglah. Kehadiran anda akan saya tunggu-tunggu. Terima kerana sudi menghayati hanya sebatas ini. Perkongsian ini amat bermakna buat saya.

Anonymous said...

sdr indah...
menghayati blog sdr...sy trperasan sesuatu...sdr dan coleoptera seakan sinonim sekali...sepertinya agk rapat sekali...teman?
sy mnghrapkn sdr terus succes dlm arena yg dceburi!

Indah Hairani said...

Coleoptera?
semua yang mengunjungi anjung adalah teman saya...bukan hanya coleoptera..cempaka juga..