Followers

Wednesday, January 1, 2020

Sekian lama saya tidak mencoret di Pena Indah Hairani,
Kenapa ya? Barangkali FB dan IG banyak mengalih perhatian saya. Post-post tentang perkembangan dunia penulisan dan aktiviti saya banyak saya share di sana. Ruang inipun menjadi malap.Realitinya saya rindukan penulisan di blog.  Lantas hari ini, 1 Januari 2020 saya kembali di kamar ini, menguak jendela dan membetulkan tenda biarkan jalur mentari memasuki ruang kamar ini.  Tenda masih kemas dengan aroma ketika kali terakhir tinggalkannya. Maafkan saya kepada yang sering hadir menjengah di sini.  Salam tahun baru buat semua. Saya berbisik pada diri saya, 2020 ini akan saya usaikan sebuah karya baru saya setelah dua musim saya terhenti. Sepanjang tempoh tersebut, saya sibuk dengan research untuk siapkan tesis saya. Alhamdulillah segalanya usai. 2020 saya kembali berada menulis dan berkarya untuk yang masih menunggu.

Dan sayapun ingin berkongsi segala yang tertinggal,
2018 sebuah karya seram pertama saya terbit - Cindai Berdarah di bawah rumah penerbitan Karnadya. Telah juga menghasilkan telefilem FASIQ yang pada asalnya berjudul DI PINGGIR NERAKA. Perkembangan drama-drama radio saya juga memberangsangkan. Alhamdulillah.

2019 DIA MENANTU RAHSIA  telah diadaptasi dan bersiaran di Slot Akasia TV3 dan 2019 juga baru usai siaran adaptasi DIA YANG KUCINTA dalam slot Samarinda TV3. Alhamdulillah. Lebih bererti DYKC melalui skrip sendiri bersama adik dan teman saya Fatin Nabila. Siapa yang tak kenal Fatin Nabila juga novelis anak Terengganu. Alhamdulillah..semuanya Allah permudahkan.

Terima kasih kepada semua yang menyokong perjalanan saya selama ini. Sokongan semua beri saya semangat untuk terus berkarya. Doakan saya untuk menghasilkan karya-karya yang mampu hidup di hati semua. Salam sayang buat semua.









Tuesday, November 18, 2014


Assalamualaikum tetamu blog Pena Indah Hairani,

Berkongsi dengan anda sesuatu yang sangat menggembirakan saya. di atas adalah cover, karya terbaru yang telahpun saya muat naik di Ilham.  Saya begitu teruja untuk melihat respon pembaca terhadap naskhah ini, ingin mendengar pandangan dan komen2 anda untuk mematangkan karya-karya saya selepasnya. Jemput ke http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=3743&idc=19994.  Saya menunggu anda di sana..

Sunday, November 9, 2014






Thursday, November 6, 2014

Assalamualaikum buat semua,
Lamanya tidak menitipkan pesan di blog. Dah kembali rindu untuk mencoret di sini. Setahun berlalu dengan sangat pantas, setahun mendiamkan diri kini saya datang dengan karya baru, judul pilihan pembaca AWAK...JANGAN PERGI...memaparkan kisah seorang  gadis berdepan dengan dilema; Rindu pada insan yang  tidak dicintai dan membenci insan yang mencintainya. Cinta sememangnya aneh. Bagaimana akhirnya....Kepada pembaca ikuti bab demi bab yang saya uploadkan dalam Ilham Grup Buku.
Salam terindah buat semua.

Friday, December 20, 2013





Dunia buku yang tak pernah ada pengakhirannya.
Saya masih menginginkan kelainan dalam konsep garapan dan tema karya-karya saya. kepada semua doakan saya.

Sunday, September 8, 2013

AKU BUKAN SERIGALA


AKU BUKAN SERIGALA
 Indah Hairani


HUJAN renyai-renyai. Amanda memandu penuh hati-hati. Suasana di luar bersatu dengan suasana dalam kenderaannya membuat lengan Amanda berbiji kesejukan. Amanda memulas penunu pendingin hawa ke angka satu. Dingin mula berkurangan. Sayu tiba-tiba menyusup dadanya. Dua hari kebelakangan ini, perasaannya sayu tak menentu. Airmatanya tiba-tiba menitis. Amanda menyeka pipinya. Namun airmata itu tetap meluruh. Sudah beberapa kali lelaki itu mungkir janji. Beberapa kali juga dia tertipu. Namun setiap kali terniat di hatinya untuk meninggalkan lelaki itu, lelaki itu muncul dengan kata maaf. Setiap kali itu hatinya akan mencair. Dan kali ini lelaki itu mungkir lagi.
“Aku dah cakap, kau tak percaya Manda.” Suara Farhan terngiang-ngiang di pendengarannya. Farhan marah bila diberitahu dia tertipu.
“Kau cemburu!” Marahnya pada Farhan.
“Kalau aku cakap, kau selalu tuduh aku cemburu. Lelaki tu tiba-tiba muncul kat kolej kita?”
“Apa maksud kau?” Selanya.
“Hah!” Keluh Farhan sambil mengepal-ngepal tangannya.
“Kita dah lama kawan Manda. Aku tak nak kau kecewa. Lawa sangat ke mamat tu? Sampai kaupun gila kat mamat tu?”Sambung Farhan lagi.
Dada Amanda panas mendengar kata-kata Farhan. Tajam matanya merenung lelaki itu. Farhan melawan renungannya tanpa berkelip.
“Apa yang kau tak puas hati dengan aku ni?”
“Aku bukan setakat tak puas hati, tapi hati aku sakit. Sakit sangat!.” Luahan Farhan terngiang-ngiang dan tergiang di telinganya.
“Aku nak tanya kau, betul ke dia sukakan kau, Manda? Betul ke dia cakap yang dia cintakan kau?” Pertikaman lidah berlaku lagi sehari sebelum dia pulang ke kampung. Sehari selepasnya, Farhan datang dengan wajah mencuka.
“Kalau ya aku sukakan dia, kau nak apakan aku?”
“Aku akan bunuh dia kalau dia permainkan kau! Aku akan cincang dia”
“Sengal!!” Sela Amanda. Wajah lelaki itu direnung dengan penuh geram. Apa pulak sampai bunuh-bunuh dan cincang-cincang? Gila ke apa lelaki ni?
. “Kau tau tak Manda?”
“Kalau kau tak cakap mana aku tau?” Balas Amanda segaja menyakitkan hati Farhan.
Farhan menjeling.
“Juling nanti mata kau tu, kau jeling-jeling aku tu kenapa?”Marahnya pada Farhan membalas renungannya.
“Mamat yang bernama Benjy tu tak pernah wujud di kolej kita!” Tiba-tiba ucap Farhan buat dia tersentak.
“Apa kau mengarut ni?”Marahnya dengan kata-kata Farhan.
“Mana kau kenal mamat tu?”
“Ah! Sudah! Malas nak layan orang cemburu. Cemburu!”
Tiba-tiba satu cahaya terang dari arah hadapan menerjah pandangannya. Amanda tersentak. Bayangan wajah dan kata-kata Farhan berkecai. Dengan pantas kaki Amanda menekan pedal brek. Kereta yang dipandunya terbelok ke kiri dan terhenti di bahu jalan. Badan Amanda menggigil. Dia merenung ke arah cahaya yang terang itu. Di hujung jalan yang lurus kelihatan tiga lembaga legam, besar dan berdiri di bawah cahaya. Amanda pantas mematikan lampu keretanya. Pancaran lampu keretanya akan menarik perhatian lembaga-lembaga itu. Tiba-tiba salah satu daripada makhluk itu menoleh ke arah kereta Amanda. Lembaga itu merenung ke arahnya. Debaran semakin kencang. Amanda menjeling sekeliling. Semuanya kelihatan gelap. Lembaga itu melangkah semakin hampir. Seluruh badan Amanda menggeletar. Dia menolak pintu keretanya. Amanda menjatuhkan badannya ke tanah. Dia merangkak keluar dan menuju ke belakang semak di sebelah kiri bahu jalan. Amanda merenung wajah lembaga itu melalui cecelah daun tempat dia bersembunyi. Kelihatan wajah dalam samar-samar cahaya menghala kea rah lembaga yang telah berdiri di hadapannya. Amanda menahan nafas. Matanya masih tidak dialihkan dari lembaga itu. Lelaki itu memusingkan kepalanya. Ketika wajah itu memandan ke arh semak tempat dia bersembunyi, kelihatan sepasang mata merah menyala. Sesaat kedengaran bunyi mengerang dari lembaga itu. Semakin lama semakin kuat kedengaran. Bunyi pelik itu menarik perhatian dua lagi lembaga agam yang berdiri di bawah cahaya. Keduanya melangkah ke arah lembaga yang berdiri di depannya. Semakin gementar tubuh Amanda. Amanda merangkak pantas tanpa memikirkan apa-apa kecuali ingin menyelamatkan diri. Lembaga itu berdiri di sebelah keretanya.
Prap!! Bunyi ranting patah. Amanda tersentak. Dia mendongak. Ketiga-tiga lembaga itu telah berada betul-betul di hadapannya. Dia menahan nafas. Ketakutan menghantui perasaannya. Kini dia telah nampak dengan jelas.  Bulu tebal memenuhi lengan dan hampir seluruh badannya. Amanda menangis di dalam hati. Dia menahan nafas. Jika tidak berusaha untuk menyelamatkan diri, dia akan ditangkap. Ya Tuhan, apa yang harus dia lakukan. Amanda bangkit perlahan-lahan dan cuba melangkah. Belumpun dia mengangkat kakinya tiba-tiba tangannya disentap keras. Badannya di tarik dan dia terseret dengan kuat. Amanda ingin menjerit, namun satu tangan menekup mulutnya. Dia meronta kelemasan. Pinggul dan belakangnya berasa perit dan sakit. Dia hanya mampu menahannya dengan mengatap bibirnya. Sakit pinggulnya makin dirasa bila satu lagi hentakan terkena pada batu. Pandangannya seakan berbintang. Amanda memejamkan matanya. Selepas itu, dia tidak tahu apa yang terjadi. Semuanya berlaku begitu pantas. sewaktu dia membuka mata, dia sudapun berada dalam sebuah ruang yang kelam dan sejuk.
Amanda meraba-raba di bawah punggungnya. Terasa tangannya sejuk. Dia meraba lagi sehingga jemarinya menyentuh dinding. Ya, terasa sejuk dan licin berlumut. Ya Tuhan! Di mana aku? Amanda menangis. Dia gagahkan diri bangkit dan menyusur dinding perlahan-lahan. Jaringya tersentuh satu lubang kecil. Amanda mengintai dan terlihat bulan mengambang terang penuh. Dan sayup-sayup kelihatan pucuk pokok-pokok besar terbentang. Ini bermakna Amanda berada di tempat tinggi. Dia mana dia sebenarnya? Tangannya meraba saku jeansnya, mencari telefon bimbitnya. Sayangnya, kedua sakunya kosong. Di mana tercicir telefonnya itu? Di kereta atau terjatuh sewaktu dia ditarik dari tepi jalanraya tadi. Amanda mengerut keningnya. Dia semakin mengingati peristiwa tadi. Amanda semakin ketakutan. Amanda memeluk kedua lututnya dan kepalanya berteleku di lutut. Pada saat-saat genting ini, hanya doa yang mampu menolongnya. Bibirnya gementar membaca apa saja doa agar dia diselamatkan. Dia kesal kenapa dia mesti menyakitkan hati Farhan? Farhan lelaki yang baik dan sahabat semenjak dari semester satu hingga sekarang. Farhanlah satu-satunya sahabat tempat dia berkongsi susah senang. Namun semuanya berubah sejak perkenalan dia dengan lelaki kacukan yang tiba-tiba muncul di kolejnya. Lelaki itu jadi perhatian teman-teman pelajarnya, namun lelaki itu lebih memberi perhatian padanya. Farhan tidak senang dengan semua itu. Sejak mengetahui Amanda semakin dirapati lelaki itu, Farhan sering marahkan Amanda. Amanda marah dengan sikap Farhan. Jika Farhan benar-benar menganggap dia sahabat baik, kenapa lelaki itu harus marah-marah? Sabahat yang baik harus ikut gembira jika sahabatnya gembira. Tetapi tidak pada Farhan?Farhan mencurigai lelaki itu. Malah Farhan menuduh lelaki itu sebenarnya tidak wujud di kolej. Bukan sebagai pelajar dan bukan juga sebagai pensyarah. Apa Farhan ni? Gila ke apa? Kalau tidak wujud, kenapa lelaki itu muncul di depannya? Ketika Amanda di perpustakaan, ketika Amanda di cafe malah ketika Amanda di kawasan letak keretapun lelaki itu muncul. Mana mungkin Farhan menuduh begitu? Kalau Farhan tidak marah-marah sudah tentu, dia akan mengajak Farhan menemaninya menemui lelaki itu. Kini dia terpaksa merahsiakan temujanjinya dengan lelaki itu. Biarlah Farhan tidak tahu ke mana dia pergi, Amanda tak kisah. Hati Amandapun tidak sakit mendengar sindiran dan kutukan Farhan. Tapi saat cemas dan ketakutan begini, dia teringatkan lelaki itu. Farhan...tiba-tiba nama itu meluncur dari bibir gementar Amanda.
Krikkk....tiba-tiba bunyi ensel pintu kedengaran. Kedengaran derap tapak kaki menghala ke arah nya dan beberapa langkah, bunyi iyu terhenti. Jantung Amanda berdegup. Amanda mengangkat kepalanya. Mengintai arah bunyi yang datang. Dadanya turun naik. Kelihatan satu susuk melangkah masuk. Semakin lama susuk itu semakin dekat dengannya. Tiba-tiba kedengaran bunyi pemetik api di mainkan. Suasana yang membuat nafas Amanda seakan terhenti.
“Siapa? Siapa kau?” Suara Amanda bergema. Namun tidak ada suara yang menjawabnya kecuali bunyi pemetik api.
“Siapa kau hah??” Semakin kuat suara Amanda dan gema suara Amanda kedengaran sambung bersambung. Masih tidak ada jawapan. Sekali lagi Amanda ingin menjerit namun baru satu tangan menekap mulitnya, terasa tangan menekap bibirnya.
“Syttt! Kalau nak selamat.” Satu suara, suara yang seakan sering didengarnya. Tapi di mana? Suara siapa?
“Nah! Awak mesti lapar dan haus kan?” Suara itu kedengaran sambil sesuatu diletakkan di tangannya. Sebotol minuman dan sebuku roti.
“Jangan ke mana-mana, kalau mau selamat.” Sekali lagi kedengaran suara itu. Sejenak kemudian, sekali lagi kedengaran keriukan engsel pintu dan kedengaran pintu ditutup kembali. Amanda menangis sambil memulas penutup botol minuman. Amanda meneguknya puas-puas sehingga dahaganya hilang. Siapa sebenarnya lelaki itu? Siapa pula yang dilihat di bawah cahaya terang di jalan raya tadi? Siapa yang menariknya? Culik? Ini bukan satu penculikan. Untuk apa dia diculik? Dia bukan anak orang kaya. Dia juga bukan artis atau ahli politik. Dia bukan siapa-siapa. Amanda tidak menjamah roti yang diberi tadi. Kepalanya mula sakit dan berdenyut. Tidak akan ada yang akan menyelamatkannya. Tidak ada sesiapapun yang tahu dia di sini, di belantara ini. Jika tidak ada yang datang selamatkannya di sini, dia akan mati. Amanda cemas.
Amanda menginsut sehingga ke dinding dan menyandarkan badannya. Matanya terasa pedih dan berat. Dia memajamkan matanya. Dia tidak tersedar dia terlelap dan ketika dia membuka mata, dia dikelililingi dinding-dinding batu. Kelihatan di sebelah kanannya sebuah pintu kayu. Amanda bangkit perlahan. Seluruh badannya sakit dan lemah. Jeans yang dipakainya kotor dan berselut. Amanda melangkah penuh hati-hati dan menolak pintu. Pintu tidak berkunci. Dia melilau sekeliling. Dia berada di sebuah banglo usang dan dia yakin banglo itu berada di atas sebuah bukit. Amanda melangkah lagi selangkah. Pandangannya tertancap pada sebuah pintu bertombol. Dia mendekatinya. Tombol pintu dipulasnya, namun pintu itu berkunci dari dalam. Dadanya berdebar. Dia meninjau mencari lubang untuk mengintai ke dalamnya. Matanya tertancap pada satu lubang sebesar syiling sepuluh sen berhampiran tombol pintu. Tanpa berlengah, Amanda merapatkan mata sebelah kirinya ke lubang. Dadanya berdegup kencang. Dia tersentak. Sesuatu yang mengerikan. Dia ingin menjerit tetapi kerongkongnya terasa tersumbat. Nafas Amanda tercungap-cungap. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dia harus keluar mendapatkan pertolongan. Baru sahaja dia menoleh untuk melangkah, satu tangan besar menyentapnya. Amanda meronta. Semakin kuat dia meronta, semakin kuat cengkaman itu. Tombol pintu dipulas dengan sebelah tangan kiri susuk yang menyetapnya. Sebaik masuk,  Amanda dihumban dan terjelepuk tepi kaki seorang lelaki. Pintu ditutup kembali dengan kuat.
Amanda gagahi dan bangkit. Wajah yang berlumuran darah direnungnya. Farhan?? Jerit Amanda. Lututnya mengigil. Amanda tnduk mendekati lelaki itu. Lutut Farhan di goncang berkali-kali. Lelaki itu tiba-tiba membuka matanya. Amanda semakin cemas. Farhan! Kaki dan tangan Farhan terikat pada sebuah kerusi kayu. Badan Farhan dipenuhi calar-calar berdarah. n Calar-calar serupa turut kelihatan di muka dan di dada Farhan. Sebelah peha kanan Farhan kelihatan robek sebesar tapak tangan. Mengerikan. Apa semua ini?? Ya Tuhanku! Jeritan Amanda hanya bergema di dadanya. Dia mesti selamatkan Farhan.
“Apa yang terjadi? Kenapa kau ada di sini?” Farhan hanya mengeleng-eleng. Amanda membuka ikatan tangan dan kaki Farhan, sebaik sahaja ikatan dilucutkan, Farhan terus terjatuh di riba Amanda. Amanda menjerit. Darah kelihatan mengalir dari belakang badan Farhan. Bunyi Farhan mengerang kesakitan memecah kesepian bilik itu. Bau hanyir menyusup hidung Amanda. Amanda memandang sekeliling. Ada sebotol kecil mineral kelihatan di tepi dinding. Dengan pantas Amanda mendapatkannya dan terus dibuka penutup dan diletakkan di bibir Farhan. Lelaki itu meneguknya dengan rakus. Airmata Amanda semakin laju menuruni pipi melihat keadaan Farhan. Fikirannya keliru. Kenapa semua itu berlaku. Farhan menarik nafas sebaik sahaja minuman dihabiskan.
“Manda...Manda..” Suara berbisik Farhan kedengaran. Amanda membetulkan badan Farhan sehingga kepala lelaki itu betul-betul di ribanya.
“Ya Han..aku dengar. Cakap Han, kenapa kau ada di sini.”
“Manda...lari, se selamatkan diri.” Bisik Farhan terketar.
“Kita lari Han, kita lari bersama.” Balas Amanda sambil menangis. Farhan menggeleng-eleng.
“Kau..kau yang pergi Manda.” Sungguh-sungguh Farhan merayunya.
“Han...aku takut Han, aku takut. Biar aku kat sini. Aku nak bersama kau Han.” Bisik Amanda. Farhan tiba-tiba menolak Amanda.
PleaseManda...tak selamat ni. Aku..aku sakit.”
“Kenapa jadi macam ni Han? Siapa yang buat kau jadi begini?”
“Tak ada masa lagi...tolong pergi selamatkan diri Manda. Aku nak kau selamat.
“Ya Han..aku akan pergi tapi kau cakap siapa yang buat kat kau ni..”Soal Amanda lagi. Dia perlukan jawaban Farhan. Hanya Farhan yang akan menjawabnya. Pertanyaan yang menyesak dadanya. Farhan mengangguk-angguk. Tangan Farhan yang penuh darah menarik pipi Amanda mendekat ke bibirnya. Hangat nafas lelaki itu menyentuh pipinya yang basah.
“Ya..ya, aku akan ca...cakap Manda, tapi kau..kau mesti pergi segera...”
“Ya..ya..aku janji Han. Aku janji aku akan selamatkan kita.” Farhan mengangguk perlahan.
“Cepat Han, cakap pada aku. Aku nak tahu” Desak Amanda. Nafas Fahan turun naik. Dadanya berombak. Lelaki itu menahan sakitnya. Bibir Farhan bergerak-gerak. Seperti menyatakan sesuatu. Tiba-tiba kedengaran keriukan pintu. Wajah Farhan cemas. Amanda mengangkat wajah dan menoleh ke arah pintu. Dadanya berdegup kencang dan tangkai jantungnya seperti ingin terputus.
“Benjy!!” Jerit Amanda. Lelaki itu memandang ke arah Amanda tanpa senyum. Badan Farhan menggeletar sementara tangan Farhan kuat mencengkam lengan Amanda. Amanda memandang wajah Farhan di ribanya. Wajah itu penuh ketakutan. Bibir Farhan terketar-ketar. Benjy mendekati Farhan. Lelaki itu tiba-tiba menarik Farhan dari riba dengan kasar. Tangan Farhan masih memegang lengan Amanda. Lelaki itu memandang ke arah Farhan dengan wajah marah. Tiba-tiba satu tendangan singgah di perut Farhan.. Farhan mengeringkuk kesakitan. Amanda menjerit.
“Diam!!!Kau nak selamat atau mati? Suara Benjy kali ini membuat Amanda tersentak. Suara yang sama dengan suara lelaki malam tadi. Apakah Benjy lelaki malam tadi?Apa hubungan lelaki itu dengan peristiwa ngeri yang sedang dilaluinya
“Kenapa kau buat kami macam ni?”Rayu Amanda. Amanda memandang wajah Farhan yang berdarah. Mata lelaki itu memandang ke arahnya dengan sayu Seperti ada sesuatu yang ingin diperkatakan lelaki itu. Namun seperti tidak terungkap.
“Demi keselamatan kamu berdua, aku terpaksa pisahkan kamu.” Suara Benjy sambil merenung tajam ke wajah Farhan.
“Biarlah aku di sini. Aku nak di sini.” Tegas Amanda mempertahankannya. Dia tidak rela berpisah lagi dengan Farhan. Tangan Farhan masih belum dilepaskan digenggam kemas. Wajah Benji berubah. Wajahnya putih dan berjambang pendek itu berubah kemerahan. Ketulan-ketulan besar mula tumbuh di wajah lelaki itu. Mata lelaki itu berubah menjadi merah seperti saga. Seperti ada sesuatu mula menjulur dari bibir lelaki itu. Lelaki itu benar-benar berubah. Inikah lelaki yang disukainya selama ini?
“Tidak Manda, aku tak kan biarkan kau dengan dia. Kalau kau nak selamat, dengar cakap aku.” Jerkah Benji dengan suara parau.
“Apa semua ni? Cuba kau cakap! Kenapa kau buat macam ni. Kau ni apa ha?” Jerit Amanda dan bangkit dengan berani lantas mendekati lelaki itu.
“Cakap pada aku!. Siapa yang buat semua ni? Binatang!” Jerit Amanda. Dada lelaki itu tiba-tiba ditumbuk sekuat hati. Wajah lelaki itu semakin merah..
“Manda...Manda..” Kedengaran suara Farhan yang lemah. Amanda menoleh ke arah Farhan. Airmata lelaki itu mengalir. Merah darah bercampur airmata mengalir di pipi. Hati Amanda sakit melihat kesakitan Farhan.
“Kalau kau nak siksa dia, kenapa kau tak siksa aku? Siksalah! Nah siksa aku. Binatang!” Jerit Amanda seperti hilang akal. Lelaki itu dia merenungnya tanpa berkelip.
“Syaitan! Penakut!” Jerit Amanda lagi. Seperti hilang ketakutan yang dirasainya detik itu.
Aku sayang kau.”Jawab lelaki itu ringkas dengan suara parau dan menderam.
“Kau gila! Kau yang lakukan semua ini.”Balas Amanda menjerit.
“Bukan aku yang buat.” Tambah lelaki itu.
“Pembohong!! Habis siapa? Aku benci kau binatang!”Jerit Amanda dan sekali lagi menumbuk dada lelaki itu. Benjy merenung dalam ke anak mata Amanda. Amanda membalas renungan itu tanpa berkelip.
“Pembohong!” Jerit Amanda. Lelaki itu tertekan dan mendengus keluar. Amanda kembali terduduk di sisi Farhan. Diribanya semula kepala Farhan. Airmatanya bercucuran menimpa wajah Farhan yang berdarah. Airmata Farhan ikut mengalir. Kelihatan airmata itu mengalir bersama darah ke dagu Farhan dan terus menitis di peha Amanda. Tidak dapat dibayangkan siksanya Farhan menanggung kesakitan itu.
“Han, kita akan keluar dari tempat ni, Han. Ni tempat puaka Han.” Bisik Amanda.
Farhan mengangguk-angguk.
“Kau kena kuat Han. Kita kena bersedia apapun terjadi.”
Sekali lagi Farhan mengangguk. Amanda mengosok-gosok pipi dan bahu Farhan. Dalam hatinya jenuh berdoa supaya hari cepat bergerak. Beberapa jam menunggu. Farhan tertidur. Dia biarkan Farhan berehat sementara menunggu waktu yang dikira sesuai. Jika hari terlalu siang, sudah tentu mereka akan mudah dijumpai lelaki itu. Dia tidak mahu mereka tertangkap lagi. Amanda mengangkat perlahan kepala Farhan lantas diletaknya di atas lantai. Farhan bangkit dan mengintai keluar. Hari sudah hampir gelap. Amanda kembali mendekati Farhan dan mengoncang bahu Farhan.
“Han...Han bangun.” Bisik Amanda ke telinga Farhan.
“Bangun Han, kita kena pergi.” Bisik Amanda. Farhan membuka matanya. Amanda membantu Farhan bangkit. Lelaki itu dipapah.
“Kita berusaha dan kita pasrah Han. Kalau kita mati, kita mati bersama.” Ucap Amanda perlahan. Tangan sebelah kanannya memeluk pinggang Farhan, sementara tangan kirinya memegang lengan lelaki itu. Amanda menarik Farhan keluar dari banglo itu menyusur semak ke sisi jalan menuruni bukit. Perlahan-lahan dan penuh hati-hati. Farhan kelihatan siksa dengan perjalanan itu. Wajahnya berkerut, sementara lukanya ada yang kembali berdarah tercucuk ranting-ranting kayu.
“Han, aku tahu kau sakit. Tapi kita kena cepat. Kita tak boleh berhenti.” Bisik Amanda. Farhan hanya mengangguk.
“Maafkan aku Han..” Bisik Amanda. Farhan terdiam. Perjalanan menjadi semakin sukar.
“Sakit Manda..aku sakit”Ujar Farhan dengan suara menggeletar.
“Ya aku tahu. Kau sabar Han.”
Malam datang. Bunyi cengkerek dan binatang hutan mula kedengaran. Pandangan semakin tertutup. Di hutan, senja sudah seperti malam. Bila betul-betul malam. Keadaan lebih gelap dan kelam. Bulan muncul. Bulat dan sangat cantik. Tetapi keindahan itu tidak sempat dinikmati. Farhan semakin mencengkam lengannya.
“Han...sakit aku. Jangan kuat sangat.” Ujar Amanda apabila cengkaman tangan Farhan menyakitkan. Farhan tidak menjawab. Kecuali bunyi desah nafasnya. Bau hanyir darah semakin naik ke rongga hidungnya. Tak semena angin deras melanda daun-daun berdekatan mereka. Dada Amanda bergegar. Nafas Farhan juga kedengaran semakin pantas. Hati Amanda mula gelisah.
“Ma..Manda..” Bisik Farhan.
“Sabar Han..” Bisik Amanda berkali-kali. Airmata Amanda mengalir laju.
Prap! Prap!! Bunyi ranting dipijak pula kedengaran. Amanda semakin laju menarik Farhan. Tiba-tiba kedengaran suara lengkingan seperti suara seekor serigala membelah malam sayup dan panjang. Ya Allah...Ya Allah...Ya Allah..nama itu disebut Amanda berkali-kali. Bunyi itu hilang. Amanda menarik nafas, namun belum sempat melepaskannya,   suara mengerang dan mendengus kedengaran. Amanda kembali cemas.  Bunyi itu  terlalu hampir dengan mereka. Farhan menggeletar. Lengan dan tengkuk Amanda meremang.
Ya Allah selamatkanlah kami. Bisik hati Amanda. Amanda memeluk pinggang Farhan kuat. Langkahnya dipanjangkan. Perjalanan yang sangat sukar hanya berpandukan bintang dan cahaya bulan. Tiba-tiba suara mengaum dan menggelegak kedengaran silih berganti. Belum sempat Amanda bersuara, satu libasan menyambar badan Farhan dari pelukannya. Amanda cuba menariknya namun sia-sia. Badan lelaki itu melayang. Jeritan Farhan membelah malam. Amanda terbungkam dan terduduk. nafasnya sesak. Melalui cahaya bulan dia menyaksikan sesuatu yang mengerikan. Susuk lembaga itu sama dengan susuk lembaga yang dilihatnya malam sebelumnya. Kelihatan sepasang mata merah seperti saga. Badan lembaga itu agam dan membongkok dipenuhi bulu panjang dan lebat. Mukanya memancang ke hadapan, sementara giginya tajam menyeringai. Jeritan Farhan membelah malam penuh siksa. Amanda menjerit. Jeritannya tidak terlahir dada dadanya. Tiba-tiba makhluk mengangkat badan Farhan tinggi. Dipusingnya laju kemudian badan Farhan dibanting ke batang sepohon pokok besar di hadapan Amanda. Mata Amanda terbuntang. Kemudian makluk itu mengambil tubuh Farhan yang tidak berdaya lantas disiat-siatnya dada dan perut Farhan. Dengan lahapnya makhluk itu meratah daging Farhan disusuli bunyi dengusan kuat makhluk itu. Bau hanyir semakin menyimbah ke rongga hidungnya. Allahuakbar! Allahuakbar! Dia sedang berdepan serigala. Amanda kumpulkan seluruh kekuatan meredah malam sekuat hati. Tanpa mengira dia tersangkut pada onak dan duri, dia berlari dan lari sehingga dia tersadai pada pada sebuah kereta di bahu jalan. Dengan pantas dia menarik daun pintu dan masuk dan terjelepuk di dalamnya. Dia tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.
Ketika Amanda membuka mata. Semuanya kelihatan putih. Dia menoleh, kelihatan beberapa orang yang tidak dikenali berdiri di sekelilingnya. Dia cuba bergerak tetapi dia tidak mampu. Kedua tangannya terikat di birai katil.
“Han! Farhan!” Amanda menjerit nama Farhan.
“Cik..cik sabar cik. “Salah seorang menjawab dengan nada lembut.
“Di mana? Di mana Farhan?”Soalnya dalam nada ketakutan. Apa yang terjadi pada Farhan.
“Cik, cik selamat. Cik sekarang berada di hospital.”
“Aku nak tahu di mana Farhan.” Jerit Amanda ke arah orang-orang yang berdiri di sebelah katilnya.
“Farhan Far..di mana Farhan?”
“Cik kemalangan jalanraya...Harap cik bersabar. Kawan cik, En. Farhan meninggal” Beritahu petugas beruniform putih itu penuh hati-hati.
“Farhan!Han!!” Amanda menjerit sekuat hati. Perasaannya tidak mampu ditahan lagi. Dia dan Farhan bukan kemalangan. Dia dan Farhan dari rumah puaka. Mereka bukan kemalangan jalanraya. Jerit Amanda tetapi tidak ada sesiapapun mendengarnya.
“Doktor, dok! Cepat...” Kedengaran salah seorang memanggil doktor dengan nada cemas. Amanda tidak peduli. Malah segala kesakitan juga hilang. Seorang lelaki berpakaian putih muncul dan berdiri di sebelah Amanda.
“Cik Amanda..” Namanya dipanggil. Suara itu, suara pernah didengarinya. Amanda membuka matanya. Dia tersentak. Seluruh badannya menggigil. Wajah lelaki itu, wajah lelaki di depannya itu adalah wajah yang tidak asing lagi di matanya. Amanda merenung tanda nama di dada doktor lelaki itu. DR. BENJY. Amanda mengelupur dan meronta. Lelaki itu bukan manusia. Lelaki itu puaka yang meratah Farhan. Amanda menjerit. Segala kesakitannya hilang. Semuanya kecoh
“Kamu semua jalankan tugas kamu. Biar saya uruskan.” Kedengaran doktor itu mengarah orang-orang yang berdiri di sebelah menyebelahnya. Lelaki itu tiba-tiba menarik langsir di kiri kanan katil Amanda.
“Syyyyt......sayang. Dia telah membebaskan segala sumpahan ke atasku. Selepas ini, aku tak akan mungkir janji lagi. Aku kini manusia seperti kamu, Manda. Bukan lagi apa yang kau nampak malam tadi. Bapak, datuk dan moyang aku tak akan menganggu kita lagi. Mereka telah kembali ke dunia kekal mereka.” Bisik Lelaki itu di telinga Amanda.
“Kau puaka! Kau serigala!” Jerit Amanda sekuat-kuat hati.
“Diam! Aku bukan serigala!” Suara Dr. Benji keras keluar dari dadanya disusuli senyum penuh bangga ke arah Amanda. Amanda meronta dan menjerit lagi. Tiba-tiba terasa satu jarum menusuk lengannya Amanda. Wajah Dr. Benjy semakin kabur dalam pandangannya.

&&&&&&&&&&&&& The End &&&&&&&&&&&&&&&











Thursday, July 11, 2013

Assalamualaikum buat semua pengunjung blog Indah,
Dah 2 hari menjalani puasa Ramadhan, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menjalani ibadat puasa. Semoga tahun ni lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu. Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucap ucapan yang sama kepada pembaca-pembaca karya-karya saya.  Anda adalah penguat semangat saya.  Salam terindah dari saya