Followers

Wednesday, July 23, 2008

Siapa Idham..dan RINDU BERBISIK

Assalamualaikum dan salam pagi..

Saya baru saja menjengah blog saya si esasterawan dan membaca respon dari Sue_Prima. Sebelum itu saya ingin ungkapkan rasa terima kasih saya kepada Sue kerana sudi singgah di blog yang tak seberapa itu..bercakap tentang RINDU BERBISIK dan harapan sue agar direviewkan sedikit...langsung saya kembali menghayati catatan saya, SIAPA IDHAM dalam blog tersebut.

RINDU BERBISIK telah lama bermukim dan bermastautin di dada saya. Kelahirannya merupakan satu proses penghijrahan dalam bentuk penulisan. Hasilnya maka lahirlah RINDU BERBISIK. Watak-wataknya adalah orang-orang di sekeliling saya..di sini saya bawa kembali tulisan "siapa Idham" ini untuk tatapan pembaca budiman, kerana Idham adalah watak yang saya hidupkan dalam RINDU BERBISIK.

Kepada Sue,insyallah RINDU BERBISIK akan menjadi miliknya. Ikhlas dari saya.

Saya merenung Rindu Berbisik di atas meja di hadapan saya. Saya memejamkan mata sejenak. Wajar ke selama ini saya mewar-warkan pada rakan dan sahabat terdekat, bacalah Rindu Berbisik! Dapatkan Rindu Berbisik! Saya akan puas bila teman-teman cakap, bagusnya Ndah! tersentuh hati saya menghayatinya. Namun ada juga yang diam membisu. Teringat saya dengan kata-kata Wikunilla.

"Tulislah sesuatu yang akan dikenang oleh generasi dan masyarakat sampai bila-bila. Kita harus jujur dalam berkarya." Saya terpanggil untuk kembali menghayati karya sendiri sebagai orang lain bukan sebagai seorang penulis.

Saya mula menilai, RB adalah sebuah kisah yang menyayatkan. Idham..Adam...saya mula menyoal. Untuk apa saya mencincang hati pembaca. Saya menzalimi Idham dengan mewatakkannya sebagai lelaki yang tabah dan sarat dengan pengorbanan. Sanggup buat apa saja demi orang yang dicintai, sekalipun diri sendiri terluka dan terhiris.
Saya ingat pada seorang pembaca, Azihani menemui saya dengan RB di tangan.

"Boleh saya tanya Ndah?"

"Sdri. membacanya?" tanya saya. Pandangan saya tertancap pada RB.

"Ya...maafkan saya. Pengawalannya agak hambar. Tapi dipertengahannya, saya tak nak berhenti." Katanya entah jujur atau sekadar ingin melihat reaksi saya terhadap kata-katanya. Saya senyum. Saya tahu, bukan beliau sahaja yang menyuarakan sedemikian.

"Siapa Idham?" Dia menyoal saya tiba-tiba. Hati saya terdetak. Kenapa Idham? Bukan Iskandar? atau Adam?

"Kenapa?"

"Saya sangat suka watak Idham, sehingga saya tak sanggup nak biarkan RB tamat dengan keadaan Idham begitu." Saya teruja mendengarnya. Azihani orang pertama yang menghayati watak Idham sedang sebelum ini ratanya menjadikan Adam sebagai watak yang paling disukai dalam RB. Wah! bisik hati saya, ini sudah cukup memberangsangkan.

"Sayapun suka Idham" tiba-tiba kata-kata itu terungkap dari bibir saya.

"Ya saya dapat rasakannya"

"Kenapa?"

"Sebab saya merasa Ndah terlalu dekat dengan watak tu." Azihani mengerling saya.

"Saya seharusnya dekat dengan semua watak-watak yang saya garapkan." Azihani mengangguk.

"Apapun tahniah untuk Rindu berbisik. Sampaikan salam saya pada Idham" Katanya. Saya ketawa.

"Erm...untuk projek terdekat ni, Ndah hantar proposal. ADAM dah ok, cuma kembangkan. tiga lagi proposal tu, Ndah emailkan saya. Jika menepati format kita, Ndah boleh proceed je." Pegawai DBP itu memandang saya dengan wajah serius.

Tiga proposal untuk 2 novel kanak, 1 novel remaja akan cuba saya ketengahkan. Sewaktu berpisah selepas diskusi pemurnian karya berlangsung, Azihani membisikan pada saya sekali.

"Siapa Idham?"
Apa yang telah saya lakukan? Lantas saya membelek kembali surat dari penilai.

"Kekuatan Rindu Bebisik adalah pada falsafah dan latar yang mampu mengembalikan ingatan pembaca yang pernah melewatinya"

Saya tersenyum. Ingatan pada kata-kata teman saya, Wikunilla kembali menusuk hati.

Salam bahagia kepada semua pembaca yang sudi berkongsi dengan saya.

No comments: